Powered by Blogger.

Penghuni pangsapuri tuntut janji air percuma Selangor

Tuesday 28 August 2012

Penghuni pangsapuri tuntut janji air percuma Selangor
Sebahagian penghuni Pangsapuri Mentari Court berpiket mendesak Kerajaan Negeri segera beri air percuma.

PETALING JAYA – Selepas empat tahun mentadbir Selangor, Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) didakwa gagal menepati janji untuk memberikan air percuma kepada penduduk yang menggunakan meter pukal seperti flat kos rendah dan pangsapuri.

Semalam, satu demonstrasi secara aman yang dilakukan oleh penduduk di Pangsapuri Mentari Court sebagai manifestasi rasa tidak puas hati terhadap sikap tidak prihatin Kerajaan Selangor dalam pelaksanaan pemberian air percuma.

Selain itu, mereka turut mendesak Kerajaan Negeri membayar tunggakan untuk tempoh 50 bulan sejak Ogos 2008 sehingga September 2012 sebanyak RM570 dalam tempoh seminggu.

Pengerusi Jawatankuasa Bersama (JMB), Kamarul Azman Kamarudin berkata, pada pilihan raya umum yang lalu, pakatan pembangkang yang diwakili PKR, Pas dan DAP melalui slogan Negeri Berkebajikan’ telah berjanji memberi air percuma kepada rakyat sekiranya berjaya memegang tampuk pemerintahan negeri.

Katanya, Kerajaan Negeri sepatutnya membayar hutang bagi tempoh kira-kira 50 bulan sejak skim itu dilaksanakan, dianggarkan berjumlah RM570 kepada setiap isi rumah yang menggunakan meter pukal.

"Malangnya selepas diberi mandat, mereka lupa janji. Pelaksanaan pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu atau subsidi RM11.40 hanya sekadar melepaskan ‘batuk di tangga’," katanya pada sidang media.

Beliau berkata, air percuma hanya dinikmati pengguna yang menggunakan meter individu.

Katanya, penduduk juga telah beberapa kali menuntut Kerajaan Negeri dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) menukar meter pukal kepada meter individu namun pelbagai ‘alasan’ telah diterima.

"Sebagai rakyat atau pengguna, kami berasa amat dukacita atas sikap kerajaan negeri Selangor yang tidak mempedulikan kepentingan dan nasib penghuni pangsapuri yang kebanyakannya kurang berkemampuan," katanya.

Sementara itu, peguam yang mewakili mereka, Hasnal Rezua Merican berkata, berdasarkan janji yang dibuat oleh Kerajaan Negeri dan representasi berulang kali, terdapat asas undang-undang untuk mencabar Kerajaan Negeri kerana telah membuat pengharapan yang sah kepada rakyat Selangor bahawa mereka berhak mendapat air percuma.

“Kita akan mulakan tindakan undang-undang untuk memaksa Kerajaan Negeri sama ada memberikan air percuma atau pampasan kepada penduduk dalam satu jumlah yang dirasakan munasabah bagi menggantikan air percuma yang tidak boleh dilaksanakan," katanya.

Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred memaklumkan, pemberian air percuma hanya layak diberikan kepada penghuni yang mendiami pangsapuri dikategorikan dalam kod 10.

"Penghuni pangsapuri hanya diberi air percuma selepas proses migrasi ke meter individu iaitu ke kod 10," katanya kepada Sinar Harian.

Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Datuk Sohaimi Shahadan ketika dihubungi berkata, seluruh rakyat Selangor berhak merasai segala nikmat daripada janji-janji yang ditabur oleh pakatan pembangkang semasa pilihan raya umum yang lalu.

"Tiada istilah pilih bulu atau pilih kasih dalam pemberian air percuma. Kalau cuma tahu berjanji tetapi tidak tahu untuk menepatinya, lebih baik jangan cuba untuk berjanji," katanya.

Sumber - Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP