Powered by Blogger.

Makin Terbongkar!! Kerajaan Selangor Arah ABASS Kurangkan Bekalan Air Terawat

Thursday, 23 August 2012


Barisan Nasional Selangor hari ini mengemukakan bukti wujud arahan dari pihak Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) melalui Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) kepada pihak ABASS supaya menurunkan pengeluaran air kepada 120 juta galen sehari pada 10 Ogos 2012.

Koordinator BN Selangor, Dato' Sri Ir. Mohd Zin Mohamed berkata, pihak KPS telah mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa mereka telah mengarahkan ABASS untuk mengurangkan pengeluaran air terawat. Malah mereka juga memberikan data pengeluaran air dari pihak ABASS bermula dari Januari 2011 hingga Febuari 2012.

"Hakikatnya, memo yang dikeluarkan oleh pihak KPS kepada ABASS adalah bertarikh 29 Disember 2011. Ini bermaksud, arahan ini adalah baru dan bukannya bermula sejak Januari 2011. Memo ini juga turut disertakan bersama dengan surat yang ditujukan kepada pihak SPAN dan SYABAS bagi menyampaikan maksud yang sama.

Arahan ini dikatakan dicapai setelah perbincangan dengan pihak Lembaga Pengarah KPS. Apa yang mendukacitakan kami ialah, pihak Kerajaan Negeri melalui KPS sanggup mengeluarkan arahan ini. Tidak kisah apa jua alasan yang diberikan, namun arahan seperti ini dilihat membelakangkan kepentingan rakyat," ujarnya kepada pemberita dalam sidang media di BN Selangor sebentar tadi.

Tambahnya, Kerajaan Negeri juga bersikap retorik apabila sering kali mengatakan bahawa semua agenda mereka adalah demi kepentingan rakyat. Namun arahan pengurangan kapasiti air terawat ini jelas membuktikan bahawa mereka sebenarnya lebih mementingkan diri sendiri berbanding rakyat.

"Hakikatnya, rakyat Selangor memerlukan bekalan air terawat yang berterusan dan kerajaan negeri bertanggungjawab menyediakan sumber bekalan ini untuk diagihkan.

Kerjasama baik sekian lama antara pihak Loji Rawatan Air, pihak SYABAS dan kerajaan negeri dilihat semakin goyah sekarang ini apabila kerajaan negeri tidak mampu menguruskan sumber air ini dengan bijak dan telus," ujarnya yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri Selangor.

Dalam perkembangan yang lain, UMNO Selangor mengalu-alukan keputusan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memutuskan bahawa lidah rasmi PAS, Akhbar Harakah telah melemparkan fitnah terhadap UMNO apabila menuduh UMNO terlibat dengan kes serbuan di Gereja DUMC sebelum ini.

"Keputusan itu secara jelas membuktikan bahawa PAS dengan sengaja berniat jahat dan cuba mengelirukan rakyat Malaysia dan mengaitkan UMNO dalam isu tersebut sedangkan ianya adalah tindakan dari pihak JAIS sendiri.

Ini menunjukkan bahawa peristiwa serbuan ke atas DUMC dan pemecatan Hasan Ali yang dikaitkan dengan peristiwa tersebut adalah semata-mata kelemahan dari pihak PAS dan tanpa melibatkan UMNO.

Kami juga ingin menyeru supaya parti politik terutamanya PAS bertindak dengan lebih matang dan tidak sewenang-wenangnya menabur fitnah. Keputusan hakim dalam kes ini adalah lebih bermakna kepada kami berbanding jumlah tuntutan saman kerana membuktikan selama ini PAS menggunakan budaya fitnah dalam berpolitik," ujarnya lagi.- GPRS

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP