Skandal TALAM : Mengapa beli tanah ada kaveat?
Sunday 12 August 2012
Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor diminta menjelaskan mengapa sebahagian besar tanah yang dibeli daripada Talam Corporation Berhad (Talam) masih mempunyai kaveat pendaftar dan kaveat persendirian.
Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong berkata, sebagai contoh, tanah di Danau Putra mempunyai lebih daripada 100 kaveat.
Menurut beliau, pencarian tanah yang dilakukan baru-baru ini menunjukkan kepentingan tanah itu hanya dilindungi dengan satu kaveat yang dibuat oleh kerajaan PKR Selangor manakala kebanyakan tanah itu masih digadai kepada pihak bank.
"Kaveat membolehkan pihak-pihak berkepentingan untuk menuntut hak milik tanah itu. Lebih banyak kaveat, lebih banyak pihak yang berhak ke atas tanah itu.
"Sekiranya anda membeli tanah yang banyak kaveat, sudah tentu anda bimbang kerana ramai orang boleh menuntut tanah tersebut," katanya pada sidang akhbar berhubung isu pembelian tanah milik Talam oleh kerajaan PKR Selangor di Wisma MCA di sini hari ini.
Tee Yong memberitahu, kesemua kaveat berkenaan perlu dilupuskan sebelum tanah itu dapat dijual dengan harga lebih tinggi di pasaran kerana ia masih belum bebas daripada sebarang bebanan.
Tambah beliau, pendedahan itu menunjukkan satu lagi contoh ketidakcekapan kerajaan PKR Selangor dan sesiapa yang menjadi penasihat kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam transaksi tersebut sepatutnya dipecat.
"Saya rasa orang ini tentu bukan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua kerana dia sering menonjolkan diri sebagai seorang yang paling bijak dan ingin memberi gambaran bahawa dia seorang yang serba tahu," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Tee Yong turut mempersoalkan mengapa hak milik tanah tersebut masih belum ditukar kepada kerajaan negeri atau anak-anak syarikatnya walaupun selepas dua tahun pembayaran dibuat kepada Talam.
Menurut beliau, pencarian yang dibuat baru-baru ini menunjukkan nama Talam dan anak-anak syarikatnya termasuk Maxisegar Sdn. Bhd. dan Continental Heights Development Sdn. Bhd. masih tertera pada geran tanah sebagai pemilik.
"Kita mahu tahu apa status sebenar hak milik tanah itu. Kerajaan PKR Selangor kata semuanya sudah selesai.
"Siapakah yang berbohong? Dalam hal ini, geran tanah tidak berbohong," katanya.
Tambah Tee Yong, kerajaan PKR Selangor juga perlu menyelesaikan gadaian bank pada tanah-tanah terbabit dan memindahkan hak milik kepada pihak-pihak yang berhak untuk melindungi kepentingan rakyat.
Sementara itu, beliau mendesak kerajaan PKR Selangor menjelaskan tentang pemberian diskaun sebanyak RM64 juta kepada Talam sebagai insentif penyelesaian hutang lebih awal kepada Universiti Selangor (Unisel).
Menurutnya, diskaun berkenaan hanya boleh diberi sekiranya Talam membayar hutang sebanyak RM248 juta kepada Unisel sebelum tempoh Perjanjian Tambahan yang dimeterai dengan kerajaan negeri terdahulu tamat pada 8 Mac 2008.
"Bagaimanapun, insentif itu masih diberikan selepas kerajaan PKR Selangor dan Talam memeterai perjanjian baru pada 2010 iaitu dua tahun selepas perjanjian terdahulu tamat tempoh.
"Talam tidak berhak mendapat diskaun kerana gagal mematuhi perjanjian ini. Kenapa ada layanan istimewa? Adakah ini berlaku kerana terlepas pandang yang menunjukkan tidak kompetennya kerajaan PKR Selangor?" katanya.
Tee Yong berkata, pemberian diskaun tersebut amat tidak wajar dalam situasi Unisel sedang berdepan masalah kewangan yang meruncing pada masa ini.
Sumber : Belantan
0 comments:
Post a Comment