Isu Syabas: Selangor timbang referendum
Friday 24 August 2012
PUTRAJAYA - Kerajaan Negeri Selangor tidak terkejut apabila Kerajaan Pusat mengambil pendirian tidak membenarkan pihaknya mengambil alih Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dan kini bersedia untuk mengadakan "referendum."
Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Negeri, Dr Xavier Jayakumar berkata, pihaknya kesal apabila Kerajaan Pusat lebih optimistik menyerahkan pengurusan kepada Syabas daripada beri kepada Kerajaan Negeri.
“Kerajaan Negeri Selangor bersedia untuk mengadakan referendum rakyat, di mana rakyat boleh mengundi dan memberi pendapat sama ada menerima atau tidak usaha Kerajaan Negeri untuk mengambil alih Syabas,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Loji Rawatan Air Sungai Semenyih, Presint 19 di sini, hari ini.
Xavier turut menegaskan, krisis kekurangan air untuk Selangor sebenarnya tidak berlaku seperti didakwa Syabas dan Kerajaan Pusat yang hanya bertindak menakutkan rakyat.
“Pihak kerajaan negeri telah memohon peruntukan sebanyak RM225 juta daripada Kementerian Kewangan untuk melengkapkan Projek Mitigasi melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) tapi masih dalam menunggu kelulusan.
"Peruntukan itu diperlukan untuk menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) SSP1 dan LRA Sungai Selangor Fasa Tiga (SSP3) yang sedang beroperasi di bawah pengeluaran kapasiti maksimum,” katanya
Xavier berkata, adalah mustahil krisis air boleh berlaku secara tiba-tiba malah pihaknya sebelum ini tidak dimaklumkan bahawa Selangor akan dilanda krisis air pada 2012 melainkan krisis hanya akan berlaku pada 2015 sekiranya Projek Langat 2 tidak dilaksanakan.
“Namun jika Projek Mitigasi yang dirancang ini dilaksanakan maka tidak akan ada krisis air walaupun pada 2015,” katanya.
Pagi tadi, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Kabinet berkata, Putrajaya menolak permohonan Selangor untuk mengambil alih pengurusan Syabas.
Muhyiddin berkata, ini memandangkan kedua-dua pihak terbabit gagal mematuhi perjanjian konsesi yang telah dimertai.-sinar
0 comments:
Post a Comment