Powered by Blogger.

Kerajaan Selangor Hutang Rakyat Air Percuma

Saturday, 25 August 2012


Kenyataan akhbar


Kerajaan Selangor Hutang Rakyat Air Percuma


KUALA LUMPUR – Kata pepatah Melayu ada mengatakan: jika lembu dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya.

Manusia yang tidak berpegang pada janji adalah manusia yang tidak amanah dan munafik seperti mana firman Allah SWT dalam Surah Al-Israk yang bermaksud: “Dan penuhilah janji sesungguhnya janji itu akan ditanya.”

Kalau cuma tahu berjanji tetapi tidak tahu untuk menepatinya, lebih baik jangan cuba untuk berjanji. Inilah yang berlaku pada kerajaan negeri Selangor pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang hanya bijak berjanji umpama ‘menanam tebu di bibir’.

Pada pilihan raya umum yang lalu, pakatan pembangkang yang diwakili PKR, Pas dan DAP melalui slogan Negeri Berkebajikan’ telah berjanji untuk memberi air percuma kepada seluruh rakyat di negeri Selangor sekiranya berjaya memegang tampuk pemerintahan negeri.

Malangnya selepas diberi mandat oleh rakyat untuk mentadbir negeri ini, mereka lupa janji. Pelaksanaan pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu atau subsidi RM11.40 oleh kerajaan negeri Selangor hanya sekadar melepaskan ‘batuk di tangga’.

Ini kerana air percuma hanya dinikmati oleh pengguna yang menggunakan meter individu, itupun setelah desakan bertubi-tubi oleh pelbagai pihak agar kerajaan negeri Selangor menunaikan janji itu.

Pengguna meter pukal seperti di flat kos rendah, pangsapuri dan kondominium sehingga kini masih menggigit jari dan kempunan untuk menikmati air percuma itu, sedangkan orang kaya dan berkemampuan menikmatinya. Adakah ini yang dikatakan adil?

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batang Kali, Datuk Isa Abu Kassim pernah mendedahkan bahawa terdapat 765 blok kondominium dan 643 blok pangsapuri masih belum menikmati subsidi air percuma kerana masih menggunakan meter air pukal.

Walaupun kerajaan negeri Selangor mengeluarkan kupon kepada penghuni pangsapuri yang masih menggunakan meter pukal hanyak 35,000 orang sahaja yang mendapat kupon bagi subsidi air percuma setakat ini.

Sebagai rakyat atau pengguna, kami berasa amat dukacita atas sikap kerajaan negeri Selangor yang tidak mempedulikan kepentingan dan nasib penghuni pangsapuri yang kebanyakannya kurang berkemampuan.

Oleh itu, rakyat Selangor perlu bertindak agresif, bangkit menuntut agar kerajaan negeri Selangor menunaikan janji dengan apa juga cara sekalipun, sama ada menukar meter pukal kepada individu atau membayar kembali dalam bentuk rebat tunai.

Kerajaan negeri Selangor sepatutnya membayar hutang bagi tempoh kira-kira 50 bulan sejak skim itu dilaksanakan, dianggarkan berkjumlah RM570 kepada setiap isi rumah yang menggunakan meter pukal.

Demonstrasi secara aman yang dilakukan oleh penduduk di Pangsapuri Mentari Court hari ini adalah manifestasi tidak puas hati terhadap sikap tidak prihatin kerajaan negeri Selangor dalam pelaksanaan pemberian air percuma.

Sebagai rakyat Selangor, tiada istilah pilih bulu atau pilih kasih dalam pemberian air percuma. Seluruh rakyat Selangor berhak merasai segala nikmat dari janji-janji yang ditabur oleh pakatan pembangkang semasa pilihan raya umum yang lalu. - GPRS


DATO’ SOHAIMI SHAHADAN
Pengerusi
Gerakan Prihatin Rakyat Selangor
25 Ogos 2012

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP