Powered by Blogger.

Harap jangan ada berhari raya tanpa air?

Tuesday, 21 August 2012


Jika bukan esok, maknanya hari Isnin kita menyambut Hari Raya Aidilfitri. Tetapi banyak orang mengharapkan esok hari raya.

Dengan itu tamatlah puasa di bulan Ramadan. Kalau ada yang ingin berpuasa, boleh lakukan puasa enam hari dalam bulan Syawal. Pada hari raya macam-macam rupa juadah yang menyelerakan terutama ketupat, lemang dan rendang. Air pun akan ada bermacam warna dan rasa.

Ada makanan sedap tapi tak ada air, tak jadi hari raya kali ini. Air amat penting dalam kehidupan kita. Tanpa air, macam-macam urusan tidak dapat dijalankan. Pada hari raya ini, air amat penting.

Janganlah mentang-mentang penduduk Lembah Klang sudah ramai pulang ke kampung halaman masing-masing, ada pula kawasan tiba-tiba tiada air. Kena pula sekarang musim panas yang dijangka berterusan hingga Oktober.

Jangan terkejut kalau ini berlaku. Sebab kira-kira 3,800 penduduk Taman Putra Budiman, Balakong, Selangor sudah mengalami keperitan apabila terputus bekalan air selama seminggu dalam bulan puasa.

Jangan ingat nasib serupa tidak dialami penduduk kawasan lain di Selangor. Malaysia sudah 55 tahun merdeka tetapi kita masih lagi mengalami masalah pembekalan air bersih.

Jika masalah ini berlaku di kawasan-kawasan luar bandar terutama di pedalaman mungkin boleh terima alasannya. Tapi bagaimana jika ia terjadi di Selangor, iaitu negeri termaju di Malaysia.

Rakyat sudah muak dan jelak dengan masalah air ini. Bukan Kerajaan Negeri Selangor tidak tahu bahawa negeri itu, Kuala Lumpur dan Putrajaya sedang mengalami krisis air. Selangor sekarang berada di ambang krisis air kerana perkembangan ekonomi yang pesat melebihi penyediaan infrastruktur.

Permintaan air di Lembah Klang umpama jumlah kenderaan yang kian bertambah di jalan raya. Jika Kerajaan Pusat tidak membuat perancangan yang betul menambah baik jalan MRR1, MRR2 dan MRR3, jalan raya akan sesak kerana tidak mampu menampung permintaan ruang kenderaan yang banyak.

Begitu juga dengan permintaan air. Apabila tumbuh industri dan kawasan baru dibuka, ia memerlukan pekerja dan akan berlaku pertumbuhan penduduk. Pertambahan penduduk dan industri akan meningkatkan permintaan air. Jadi pertumbuhan itu sekarang menyebabkan Selangor berada di ambang krisis air.

Dalam tahun 2012 ini sahaja, sudah dua kali beberapa kawasan penempatan mengalami gangguan bekalan air iaitu bulan Mei dan Jun. Puncanya, permintaan yang melebihi daripada keupayaan.

Ini merupakan tanda-tanda awal dan mungkin dalam sedikit masa lagi rakyat akan menghadapi kekurangan air.

Kawasan-kawasan yang mengalami gangguan bekalan air adalah kerana loji-loji rawatan air sudah beroperasi melebihi tahap maksimum. Sekiranya permintaan terus meningkat sedangkan air terawat masih ditakuk lama maka kawasan tersebut akan mengalami kekurangan air dan mungkin perlu catuan. Ini bukan auta tapi benar dan fakta.

Semua ini berlaku kerana terdapat gangguan dalam perancangan pembekalan air di Selangor. Hakikatnya jika perancangan menyediakan bekalan air bersih tidak selari dengan kemajuan, maka kita akan menghadapi perkara ini.

Logiknya, jika kita tahu hendak meningkatkan kawasan pertumbuhan baru, sudah tentu kita merancang bekalan air, elektrik dan telekomunikasi supaya mencukupi.

Memanglah Selangor banyak sungai dan lombong sebagai sumber airnya. Walaupun negeri ini ada banyak air mentah, tapi siapa hendak memproses supaya ia menjadi air yang boleh diminum dan sebagainya.

Betul juga analogi diberi oleh Datuk Seri Noh Omar, kalau lembu banyak tapi tukang sembelihnya tiada maka daging lembu tak dapat dimakan. Begitu juga dengan beras, kalau tiada kilang sudi memproses padi, manakan dapat ia menjadi beras.

Walaupun Selangor banyak air lombong, air sungai dan air dalam tanah, tapi semua air itu perlu diproses. Tak mungkin Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin PKR mahu rakyatnya minum air lombong, air sungai yang belum diproses? Sebab itu, kenapa projek Langat 2 perlu disegerakan!

Di kesempatan hari yang mulia ini Oyabun ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hariraya Aidilfitri kepada semua para pembaca blog ini. Maaf zahir dan batin.

Sumber - Oyabun

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP