Powered by Blogger.

Kerajaan Selangor Hutang Rakyat Air Percuma - GPRS

Sunday 26 August 2012

alt

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS) Dato' Sohaimi Shahadan membidas kerajaan negeri Selangor pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang didakwanya berbohong dalam isu pemberian air percuma kepada seluruh rakyat di negeri Selangor.
Beliau mendakwa kerajaan negeri hanya tahu berjanji namun tidak melaksanakan pemberian air percuma yang sebenarnya hanya dinikmati oleh segelintir rakyat Selangor.
Sohaimi berkata sewaktu pilihan raya umum yang lalu, Pakatan Rakyat melalui slogan Negeri Berkebajikan’ telah berjanji untuk memberi air percuma kepada seluruh rakyat di negeri Selangor sekiranya berjaya memegang tampuk pemerintahan negeri.
"Malangnya selepas diberi mandat oleh rakyat untuk mentadbir negeri ini, mereka lupa janji.
Pelaksanaan pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu atau subsidi RM11.40 oleh kerajaan negeri Selangor hanya sekadar melepaskan ‘batuk di tangga’." katanya.
Beliau turut membidas kerajaan negeri kerana melalui desakan pelbagai pihak, barulah pemberian air percuma ini dilaksanakan namun ia hanya dinikmati oleh pengguna yang menggunakan meter individu.
"Pengguna meter pukal seperti di flat kos rendah, pangsapuri dan kondominium sehingga kini masih menggigit jari dan kempunan untuk menikmati air percuma itu, sedangkan orang kaya dan berkemampuan menikmatinya. Adakah ini yang dikatakan adil?," katanya.
Beliau turut memberitahu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batang Kali, Datuk Isa Abu Kassim pernah mendedahkan bahawa terdapat 765 blok kondominium dan 643 blok pangsapuri masih belum menikmati subsidi air percuma kerana masih menggunakan meter air pukal.
"Walaupun kerajaan negeri Selangor mengeluarkan kupon kepada penghuni pangsapuri yang masih menggunakan meter pukal hanya 35,000 orang sahaja yang mendapat kupon bagi subsidi air percuma setakat ini.
"Sebagai rakyat atau pengguna, kami berasa amat dukacita atas sikap kerajaan negeri Selangor yang tidak mempedulikan kepentingan dan nasib penghuni pangsapuri yang kebanyakannya kurang berkemampuan.," kata Pengerusi GPRS ini.
Beliau menyeru rakyat Selangor untuk bertindak agresif dan menuntut janji dan hak yang masih belum ditunaikan oleh kerajaan negeri Selangor.
Sohaimi turut menyarankan kerajaan negeri Selangor tunaikan janji dengan apa juga cara sekalipun, sama ada menukar meter pukal kepada individu atau membayar kembali dalam bentuk rebat tunai.
"Kerajaan negeri Selangor sepatutnya membayar hutang bagi tempoh kira-kira 50 bulan sejak skim itu dilaksanakan, dianggarkan berjumlah RM570 kepada setiap isi rumah yang menggunakan meter pukal," katanya.
Beliau berkata demonstrasi secara aman yang dilakukan oleh penduduk di Pangsapuri Mentari Court semalam adalah manifestasi tidak puas hati terhadap sikap tidak prihatin kerajaan negeri Selangor dalam pelaksanaan pemberian air percuma.
"Sebagai rakyat Selangor, tiada istilah pilih bulu atau pilih kasih dalam pemberian air percuma. Seluruh rakyat Selangor berhak merasai segala nikmat dari janji-janji yang ditabur oleh pakatan pembangkang semasa pilihan raya umum yang lalu.," katanya.

Sumber : KLPOS

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP