Dialog air sekadar melepas batuk di tangga- GPRS
Wednesday, 15 August 2012
PETALING JAYA: Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Datuk Sohaimi Shahadan menganggap Majlis Dialog Air Negeri Selangor Tahun 2012 yang dianjurkan kerajaan negeri hari ini sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’.
Beliau yang turut menyertai sesi dialog tersebut memberitahu Antarapos, kerajaan negeri selaku penganjur dilihat tidak serius melaksanakan program tersebut apabila pengisiannya tidak seperti yang diharapkan.
Tambah beliau, banyak persoalan berkenaan isu air di Selangor bermain di fikiran rakyat yang dibangkitkan pada sesi dialog tersebut masih lagi tidak terjawab.
“Pada saya ini satu dialog yang biasa sahaja kerana tidak banyak perkara yang dijelaskan untuk rakyat atau yang hadir faham tentang struktur bagaimana proses sebenarnya.
“Tanggungjawab dan peranan perlu dimainkan oleh kerajaan negeri, persekutuan dan juga agensi-agensi yang terlibat. Kerana apa yang dikemukakan oleh peserta juga tidak dijawab dengan tepat dan pengerusinya juga menyerahkan pada ahli panel yang juga tidak memberikan jawapan yang memuaskan hati,” tegas beliau.
Katanya lagi, program tersebut boleh diibaratkan sekadar ‘buat syarat’ iaitu sekadar untuk memaklumkan kepada rakyat Selangor yang mereka sudah melunaskan tanggungjawab mereka.
“Pengisian program adalah penting, jadi keseluruhannya saya rasa ini satu dialog yang biasa-biasa dan sebenarnya kalau perlu untuk dianjurkan dialog air ini penganjur harus lebih bersedia.
“Program hari ini juga adalah satu program buat syarat, sekadar nak maklumkan kepada rakyat yang mereka sudah ambil tanggungjawab. Banyak perkara yang tidak dijelaskan secara terperinci,” katanya.
Ketua Pemuda Umno Selayang itu turut mencadangkan supaya dibuat satu majlis taklimat penerangan dan dialog yang membabitkan semua pihak yang terlibat dengan isu air di Selangor.
“Jadi kalau SYABAS dijadikan bahan untuk dikambing hitamkan, kita panggil SYABAS untuk jadi ahli panel. Kalau kerajaan persekutuan dipersalahkan kita panggil wakil kerajaan persekutuan. Kita patut juga memanggil kontraktor-kontraktor yang terlibat supaya semua jelas,” tegas beliau.
Sumber : Antara Pos
0 comments:
Post a Comment