Powered by Blogger.

Jumlah air sesuai dirawat kurang 25%!

Thursday, 23 August 2012


Krisis air di Selangor yang dijangka berlaku pada 2014 akan menjadi kenyataan jika kuantiti air bersih iaitu mencapai standard kelas 1,2 dan 2b yang ketika ini hanya tinggal kurang daripada 25 peratus diambil kira.

Ia bermakna, hanya bekalan air di sepanjang 49 kilometer daripada keseluruhan 142.38 kilometer Sungai Langat bermula dari Pangsun dan Hulu Lui hingga ke Batu 11 Hulu Langat mempunyai kualiti air menepati piawaian air minuman bersih iaitu sesuai untuk dirawat.

Selebihnya iaitu 93.38 kilometer lagi bermula dari stesen di Batu 11 (persimpangan Serdang dan Cheras) hingga ke muara sungai sebelum mengalir keluar ke laut dikategorikan sebagai separa tercemar atau tercemar.

Sehubungan itu, Ketua Unit Pemodelan Alam Sekitar, Pusat Kecemerlangan Forensik Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Hafizan Juahir yang mendedahkan perkara itu menyarankan projek Loji Rawatan Air Langat 2 diteruskan bagi menjamin bekalan air bersih.


Bagaimanapun, menurut beliau yang pernah menjalankan kajian khusus mengenai Sungai Langat menjelaskan, jumlah peratusan dan panjang sungai bagi sumber air bersih berubah-ubah mengikut perkembangan semasa.

"Perubahan itu yang perlu dibimbangi kerana kita tidak boleh menolak beberapa evolusi pencemar terhadap pencemaran sungai seperti evolusi perindustrian, peningkatan ekonomi dan pelaburan.

"Isu-isu ini amat sukar ditangani, tambahan pula apabila sistem rawatan konvensional tidak lagi relevan untuk menyahkan pencemar baru (evolusi pencemar), sebaliknya memerlukan kaedah rawatan yang lebih canggih," katanya di sini baru-baru ini.

Hafizan berkata, ada pihak mengandaikan krisis air tidak akan berlaku berikutan air sungai dan empangan yang masih banyak meskipun telah jatuh pada standard kelas 3 dan 4 iaitu tidak sesuai dirawat memandangkan proses rawatan akan menelan kos yang tinggi.

"Saya bersetuju isi padu air masih banyak seperti yang dinyatakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tetapi isunya sekarang, siapa hendak rawat air yang telah masuk ke kelas 3 dan 4 itu? Siapa akan tanggung kos yang mahal itu?


"Atas alasan itu, Projek Langat 2 adalah perlu kerana Sungai Langat tidak dapat lagi membekalkan air bersih. Maka, pilihan kita adalah mengambil bekalan air daripada Sungai Pahang yang masih tidak tercemar secara ekstrem. Ia hanya dicemari pepejal terampai akibat daripada hakisan dasar dan tebing sungai,'' katanya.

Menurut beliau, tanda-tanda krisis air akan berlaku pada hujung tahun ini semakin jelas berikutan kejadian bekalan air terputus pada Julai lalu seperti di Taman Bukit Belimbing, Seri Kembangan dan beberapa daerah lain.

Katanya, adalah tidak adil untuk menyalahkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) sebagai punca masalah yang berlaku dengan dakwaan Syabas menutup loji air, sedangkan hakikatnya Selangor sememangnya memang kekurangan air bersih serta air terawat.

"Apatah lagi apabila populasi terus meningkat setiap tahun, rumah dan kilang makin banyak tetapi isipadu empangan tetap sama dan air Sungai Langat pula tidak dapat digunakan ekoran pencemaran, sebab itu saya berpendapat projek Langat 2 wajar diteruskan," katanya.

Sumber : Belantan

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP