Powered by Blogger.

Khalid dan Anwar perlu jelas isu Talam - Tan Tuan Tat?

Saturday, 18 August 2012



Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Penasihat Ekonomi negeri itu, Anwar Ibrahim didesak menjelaskan segala dakwaan yang dibuat ke atas pentadbiran kerajaan negeri berkenaan terutamanya berhubung isu Talam Corporation Bhd. (Talam).

Pengerusi Cawangan DAP Taman Sri Sungai Pelek, Tan Tuan Tat berkata, kedua-dua pemimpin tersebut dan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) seolah-olah tidak membela diri, sebaliknya hanya pemimpin DAP dilihat bersungguh-sungguh mempertahankannya.

"Pemimpin DAP dilihat berlagak seperti hero dan heroin dalam mempertahankan perkara itu tetapi memberi kenyataan yang bercanggah. Mereka seolah-olah cuba menjadi wira di mata rakyat.

"Mereka cuba menyembunyikan kebenaran sebenar berhubung isu Talam, malah, Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) pun masih berdiam diri dalam hal ini.

"Kenapa ini berlaku dan masyarakat akan beranggapan Selcat adalah mahkamah kanggaru atau lebih baik menjual kucing di pasar daripada terus menjadi hipokrit," katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Pada sidang akhbar itu, Tuan Tat turut mengajukan beberapa soalan, antaranya jika Talam telah menyerahkan segala aset yang bernilai RM676 juta, kenapa Permodalan Negeri Selangor Bhd. (PNSB) perlu memohon pinjaman sebanyak RM230 juta dan menanggung faedah RM86 juta?


Dalam perkembangan lain, Tuan Tat berkata, peletakan jawatannya dalam parti DAP berkuat kuasa hari ini.

Jelas beliau, surat peletakan jawatan akan diserahkan ke pejabat DAP Malaysia di Jalan Pudu bagi tindakan selanjutnya.

"Peletakan jawatan ini adalah disebabkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan DAP yang kini dilihat mengamalkan diskriminasi, kroni dan tidak jujur," katanya.

Sementara itu, Ketua Cawangan Pantai Sepang Putera, Sungai Pelek, R. Vellasamy yang sebelum ini dipecat DAP akibat kelantangan bersuara berkata, DAP langsung tidak mengambil berat soal kebajikan rakyat terutamanya kaum India di negeri itu.

Katanya, kelantangannya menyuarakan hak penduduk di Sungai Pelek mendapat bantahan sehingga digelar pengkritik kepimpinan parti.

"Apa yang saya buat adalah untuk rakyat tetapi mereka langsung tidak sensitif dan menjaga kebajikan penduduk terutamanya di Sungai Pelek," katanya.

Sumber - Belantan

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP