Powered by Blogger.

Beri lori sampah bukti Selangor gagal selesai isu sampah

Sunday 26 August 2012


SHAH ALAM - Tindakan kerajaan Selangor memperuntukkan 50 lori kompaktor kutipan sampah kepada dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri
ini dilihat sebagai cubaan kerajaan negeri menutup kegagalan mereka dalam menyelesaikan isu sampah di Selangor.

Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed juga menyifatkan tindakan itu hanya retorik dan permainan politik semata-mata menjelangnya Pilihan Raya Umum ke-13.

Beliau mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang hanya memberi lori sampah di kawasan Shah Alam dan Petaling Jaya sahaja sedangkan Pusat Khidmat Rakyat (Pakar) BN Selangor menerima berpuluh-puluh aduan mengenai masalah sampah yang tidak selesai dan majoritinya berlaku di kawasan lain seperti Klang serta Kota Raja.

"Tindakan kerajaan negeri boleh dianggap membazir dan hanya memenuhkan poket kroni sahaja apabila lori-lori sampah sebelum ini tidak digunakan sepenuhnya apabila mereka menamatkan konsesi itu," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mohd Zin berkata demikian sebagai mengulas penyerahan lori kompaktor kutipan sampah bernilai RM14.5 juta oleh anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) kepada Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya bagi menyelesaikan masalah kutipan sampah di kedua-dua kawasan itu.

Kesemua lori kompaktor itu dibeli oleh KDEB dan diberi kepada kedua-dua PBT berkenaan untuk disewakan kepada kontraktor yang terbabit dengan kerja kutipan sampah.

Pada sidang media selepas majlis penyerahan itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata melalui kaedah itu, kerajaan negeri boleh mengurangkan sehingga RM100 juta kos operasi pengumpulan dan pelupusan sampah di negeri itu.

Mohd Zin berkata, kegagalan kerajaan negeri menguruskan masalah sampah, longkang tersumbat dan semak-samun terutama di kawasan projek terbengkalai mengakibatkan masalah lain timbul seperti kes demam tinggi yang meningkat dengan ketara.

"Penafian bahawa isu sampah bukanlah masalah denggi di Selangor oleh pemimpin pembangkang menunjukkan bahawa mereka masih lagi cuba bermain politik dan mengelirukan rakyat. Kawasan sampah yang tidak diselia boleh menjadi punca pembiakan nyamuk," katanya.

Beliau berkata Pakar, yang masih menerima aduan mengenai masalah dan denggi, akan menghantar surat kepada PBT bersama-sama dengan maklumat aduan agar tindakan boleh dilakukan segera demi kepentingan rakyat. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP