Powered by Blogger.

Penasihat Ekonomi Selangor gagal berfungsi - MB Khalid MB akui Unisel tidak mampu bayar hutang JNSB?

Monday 6 August 2012


Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengakui bahawa Universiti Selangor (Unisel) menanggung hutang sejak sekian lama sehingga menjejaskan kemampuan universiti itu untuk membayar tunggakan kos penyelenggaraan dan operasi asrama kepada syarikat Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB).

Beliau berkata walaupun pelajar membayar yuran pengajian, namun masih tidak mencukupi untuk menjelaskan hutang itu kerana perjanjian menetapkan Unisel perlu membayar sewa penuh kepada JNSB walaupun ketika cuti dan penuntut tidak menetap di asrama.

"Kita nak jaga pelajar dan kerajaan sudah maklumkan kepada Unisel supaya menumpukan kepada operasi universiti dan jangan susahkan diri tentang bayaran itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Tadarus dan Tadabbur Perdana Peringkat Selangor di sini hari ini.

Abdul Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar semalam bahawa Unisel berhutang hampir RM15 juta kepada JNSB, yang bertanggungjawab membangunkan dan menguruskan kediaman penuntut di kampus induk universiti itu di Bestari Jaya di sini.

Unisel didakwa tidak melunaskan yuran penyelenggaraan untuk 17 bulan dan bayaran asrama yang dikendalikan oleh JNSB bagi tempoh lapan bulan.


Datuk Seri Noh Omar berkata, tunggakan bayaran itu melibatkan kos penyelenggaraan di kampus induk dan operasi asrama universiti milik penuh kerajaan negeri Selangor tersebut.

Saya difahamkan Unisel sudah mengutip yuran daripada pelajar, tetapi kenapa tidak bayar kepada kontraktor (JNSB)? Mana pergi duit itu? Apabila tidak bayar selama beberapa bulan dan jika kontraktor tutup asrama, yang jadi mangsa ialah pelajar.

Ini jelas menunjukkan kelemahan kerajaan negeri Selangor, nak urus Unisel pun tidak reti, macam mana nak urus negeri. Menteri Besar Selangor dan Unisel kena jawab perkara ini, kalau benar-benar ikhlas, bayarlah hutang kontraktor dan jangan susahkan pelajar," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan zakat perniagaan Agrobank berjumlah RM170,087.43 kepada Lembaga Zakat Selangor di sini hari ini.

Dalam pada itu, Noh mengulangi cabarannya kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar mendedahkan laporan kewangan Unisel yang gagal dibentang pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Bahagian Residen Komuniti JNSB Noor Ashikeen Mohd. Stap ketika dihubungi menjelaskan tindakan menutup pejabat pengurusan asrama ketika sesi pendaftaran bermula adalah disebabkan pekerja syarikat itu tidak menerima gaji dalam tempoh yang lama sehingga menjejaskan urusan seharian.

Beliau berkata, JNSB tidak berniat menimbulkan masalah dan meminta semua pihak memahami beban yang ditanggung syarikat itu berikutan tiada bayaran untuk melangsaikan gaji pekerja, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan dan hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi umat Islam akan menyambut Aidilfitri.

Memang ramai yang seolah-olah menyalahkan JNSB, tetapi hakikatnya, pihak pengurusan Unisel gagal melangsaikan tunggakan bayaran yuran penyelenggaraan bagi tempoh 17 bulan dan bayaran asrama yang dikendalikan JNSB untuk tempoh lapan bulan.

Memang penuntut sudah membayar yuran asrama kepada Unisel, tetapi bayaran itu tidak sampai ke tangan JNSB, menyebabkan insiden ini berlaku," katanya.

Noor Ashikeen berkata, apabila masalah itu dibawa kepada pihak atasan JNSB, mereka tidak dapat memberi jaminan berhubung pembayaran gaji yang boleh dibuat dan beliau difahamkan sehingga kini, masih tiada perbincangan antara Unisel dan JNSB bagi mengatasi masalah tersebut.

Pihak pengurusan Unisel mengambil sikap mendiamkan diri menyebabkan kami kian tertekan dan keadaan itu menuntut kami untuk bercuti. Memang diakui sebelum ini, masalah yang sama turut berlaku sehingga pekerja gagal menerima gaji untuk tempoh dua bulan, namun akhirnya dibayar secara berperingkat.

Namun kini, kesabaran kami sudah sampai ke kemuncaknya dan apabila tiada jalan penyelesaian diambil, kami terpaksa menutup pejabat dan menunggu keputusan yang dibuat pihak atasan JNSB dan Unisel," katanya.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP