Powered by Blogger.

Rakyat tuntut janji MB Selangor?

Tuesday 14 August 2012

Lu Hoi Kai (tiga, dari kanan) menyerahkan memorandum tuntutan pengecualian cukai kepada Shahril Said di ruang legar bangunan SUK, di Shah Alam, semalam.

Kira-kira 1,800 orang pemilik kedai pejabat di Jalan Kemboja, Bandar Bukit Sentosa, Hulu Selangor menuntut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya melunaskan janjinya untuk memberikan pengecualian cukai terhadap mana-mana premis yang tidak didiami atau disewa di kawasan berkenaan sebelum ini.

Tuntutan itu dikemukakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sementara Persatuan Pemilik-pemilik Kedai Pejabat Jalan Kemboja, Lu Hoi Kai yang mendakwa janji tersebut antara yang diumumkan oleh kerajaan negeri yang dipimpin Abdul Khalid sewaktu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Hulu Selangor, dua tahun lalu.

"Namun, janji itu kita tidak nampak dilaksanakan sehingga ke hari ini. Malah kita dikenakan cukai pintu sebanyak 11 peratus daripada nilai taksiran baru sebanyak RM9,220 setahun oleh Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

"Kami merasakan kadar itu terlalu tinggi kerana kawasan kedai pejabat yang dimiliki kami sebenarnya 'bandar mati' kerana tiada sebarang aktiviti perniagaan beroperasi di kawasan ini. Oleh itu, kami mahu Menteri Besar tunaikan janji, batalkan kutipan cukai pintu masa sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan bantahan aman serta menyerahkan memorandum tuntutan mereka itu kepada Pegawai Berita Pejabat Menteri Besar, Shahril Said.

Pada masa sama, Hoi Kai turut menggesa kerajaan negeri supaya segera menyelesaikan masalah kerosakan pada premis milik mereka yang didakwa berpunca daripada aktiviti pencerobohan oleh syarikat penyelenggaraan yang dilantik oleh MDHS pada 2009.

Beliau mendakwa, MDHS telah membenarkan syarikat penyelengaraan tersebut menyewakan premis kedai dan pejabat di kawasan berkenaan untuk menjalankan aktiviti penternakan, penanaman dan memproses baja tanpa pengetahuan atau kebenaran daripada para pemiliknya.

"Walaupun aktiviti itu telah dihentikan ketika ini, namun para pemilik masih menanggung kerugian apabila keadaan premis yang ditinggalkan dalam keadaan kotor, tingkap serta pintu rosak dan sebagainya. Kita dimaklumkan mereka yang menjalankan aktiviti itu di premis terbabit hanya membayar wang deposit sebanyak RM360 dan RM100 sebulan sebagai sewaan selama dua tahun.

"Kita juga telah membuat laporan polis mengenai pencerobohan itu di Balai Polis Bandar Bukit Sentosa pada November 2009. Selain itu, kita juga membuat bantahan kepada MDHS dan mereka berjanji penyewa akan membaik pulih premis berkenaan kepada keadaan asal," jelasnya.

Tambahnya, para pemilik bangunan itu juga mahu wang sewa yang dikutip harus ditolak daripada akaun yuran penyelenggaraan namun sehingga hari ini perkara itu tidak dilaksanakan.

"Malah, ada pemilik premis didakwa menerima surat peguam serta ugutan tindakan mahkamah daripada syarikat penyelenggaraan sedia ada ," katanya.

Dalam pada itu, Hoi Kai berkata, sebelum ini pihaknya telah mengemukakan tiga memorandum kepada Abdul Khalid mengenai masalah yang dihadapi iaitu pada 2010, 2011 dan yang terbaru pada Januari 2012.

"Namun, sehingga kini tiada langkah penyelesaian dapat diambil untuk kepentingan para pemilik premis kedai pejabat di Bandar Bukit Sentosa," katanya.

Sumber : Belantan

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP