Mereka Mangsa Krisis Air Selangor
Wednesday, 1 August 2012
Sengsara lebih 3,800 penduduk Taman Putra Budiman dan kawasan sekitar yang terputus bekalan air sejak lebih seminggu lalu terbela selepas Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS) tampil menghulurkan bantuan segera dengan membekalkan air menerusi lori milik Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).
Ia ekoran aduan penduduk yang tidak tahan selepas terpaksa mengangkut air setiap hari untuk kegunaan mereka di pangsapuri berkenaan dan keadaan menjadi lebih teruk terutamanya ketika umat Islam berpuasa.
Azizah Abu Bakar
Seorang penduduk, Azizah Abu Bakar, 34, berkata dia terpaksa mengangkut air ke rumahnya di tingkat tiga untuk kegunaan seharian dan ia menjejaskan kehidupan seharian dengan empat anaknya yang masih bersekolah.
Katanya, bekalan air hanya akan diterima pada waktu tengah malam dan awal pagi menyebabkan ada penduduk yang terpaksa menunggu di bawah pangsapuri semata-mata untuk mengambil air menggunakan baldi.
'Saya sendiri terpaksa bergilir-gilir dengan anak untuk mengangkut air sehingga tengah malam dan pada masa sama perlu menjaga anak kecil yang baru habis pantang. Kalau keadan begini berterusan, tak tahulah bagaimana persiapan hari raya Aidilfitri nanti,' katanya ketika ditemui selepas menerima bantuan tong air yang disampaikan Pengerusi GPRS, Datuk Sohaimi Shahadan, petang semalam.
Siti Aishah Adnan
Seorang lagi penduduk, Siti Aishah Adnan, 48, berkata sejak bekalan di kawasan itu terganggu, dia menghadapi kesukaran untuk melakukan kerja rumah termasuk menyiapkan dua cucunya yang masih kecil kerana perlu mengangkut air.
'Saya sudah penat kerana ia berlarutan dalam tempoh lama. Kalau sebelum ini pernah berlaku, tapi hanya sementara. Ini tidak, pihak yang berkenaan seolah-olah lepas tangan dengan apa yang berlaku walaupun di dalam bulan puasa,' katanya.
Sumber : Sahabat Gunung
0 comments:
Post a Comment