Powered by Blogger.

Rakyat Belum Sedar Tentang Krisis Air Selangor

Saturday 21 July 2012

Rakyat negeri Selangor masih tidak menyedari betapa seriusnya krisis air yang bakal dihadapi negeri itu kerana sebahagian besar daripada mereka masih menikmati bekalan air tanpa gangguan, kata Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Noriah Kasnon.

Beliau berkata rakyat juga tidak menyedari masalah berkenaan kerana bekalan air di Selangor masih belum terjejas secara langsung.

"Ini kerana kerajaan persekutuan telah mengambil langkah menerusi pelan mitigasi untuk mengatasi masalah ini lebih awal dan menambah kapasiti air di Lembah Klang terutama untuk Selangor sehingga 2016," katanya semasa berucap pada forum mengenai isu bekalan air di Selangor di sini hari ini.

Kira-kira 200 peserta menyertai forum anjuran kementerian itu.

Noriah bagaimanapun berkata walaupun kerajaan persekutuan mengambil langkah membantu kerajaan negeri Selangor tetapi ia tidak boleh berterusan kerana membabitkan perbelanjaan ratusan juta.

Beliau berkata sebaliknya, jika kerajaan negeri benar-benar ikhlas dan memberi kerjasama untuk kerajaan persekutuan meneruskan Projek Loji Rawatan Air Langat 2, perbelanjaan ratusan juta berkenaan boleh disalurkan untuk projek pembangunan lain yang memberi manfaat kepada rakyat.

"Tanpa kelulusan daripada kerajaan negeri, projek Langat 2 ini tidak dapat dimulakan," katanya.

Pada persidangan Dewan Negara semalam, Noriah berkata projek itu adalah satu-satunya mekanisme yang dapat mengatasi masalah bekalan air di Selangor selain mengelak krisis air di Lembah Klang dan ia perlu dilaksanakan selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Beliau berkata penduduk di Lembah Klang juga mengalami masalah gangguan bekalan air sejak kebelakangan ini berikutan musim kemarau yang bermula pada bulan lalu dan dijangka berterusan sehingga September.

Menurutnya keadaan itu berlaku disebabkan tahap rizab simpanan air adalah terlalu rendah iaitu secara purata sekitar dua peratus berbanding tahap selesa sekitar 10 peratus. -

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP