Powered by Blogger.

Projek Adun DAP Sekinchan Menyalahi Dasar Jabatan Perancang Bandar dan Desa

Sunday 15 July 2012

Anggota Parlimen Tanjong Karang Datuk Seri Noh Omar hari ini mendakwa berlaku penyelewengan dalam dua projek perumahan di Sekinchan di Tanjong Karang, termasuk melanggar dasar yang ditetapkan pihak berkuasa.

Beliau mendakwa projek pembinaan Kondominium Sekinchan Perdana di sini dibina tidak mengikut dasar Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) yang menetapkan setiap pembinaan di atas 0.4 hektar tanah hanya boleh membabitkan 60 unit rumah.

"Malah mengikut dasar itu, rumah yang dibina tidak boleh melebihi 12 tingkat," dakwa Noh dalam satu sidang media selepas melancarkan dua produk Agrobank Paddy-i dan Paddy Cash-i di Tanjong Karang hari ini.

Noh yang juga menteri pertanian dan industri asas tani, mendakwa pembinaan kondominium itu membabitkan 94 unit rumah dengan ketinggian 18 tingkat jelas tidak mengikut dasar yang ditetapkan JPBD.

Beliau turut mempersoalkan penjualan 24 unit rumah di Pangsapuri Damai di Taman Sekinchan Damai yang sepatutnya diperuntukkan kepada Majlis Daerah Sabak Bernam tetapi dijual kepada sebuah syarikat swasta.

"Saya bertanya dan saya harapkan jawapan. Ini bukan tuduhan tetapi pertanyaan yang memerlukan penjelasan," kata Noh, yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor.

Noh berkata ADUN Sekinchan Ng Sue Lim perlu memberi penjelasan mengenai perkara itu memandangkan projek berkenaan berada dalam kawasannya.

Noh berkata perkara itu juga sepatutnya dibawa ke Jawatankuasa Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) sekiranya kerajaan negeri benar-benar mengutamakan ketelusan.

-Bernama

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP