Powered by Blogger.

Isu Air- Cabaran Kepada Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri Selangor

Monday 23 July 2012

Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata rancangan kerajaan Selangor untuk mengambil alih operasi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) adalah satu taktik supaya rakyat menyalahkan syarikat pengedar tunggal air bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sebagai penyebab krisis air.

"Air tak ada kena mengena dengan SYABAS. SYABAS hanya jual air yang terawat," katanya selepas menyampaikan sumbangan moreh kepada surau-surau dan masjid-masjid kawasan Parlimen Tanjong Karang hari ini.

Anggota Parlimen Tanjong Karang itu berkata kerajaan tadbiran Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim cuba mempolitikkan isu air dan menyalahkan SYABAS.

Beliau yang juga menteri pertanian dan industri asas tani itu mencabar Abdul Khalid dan Exco Kerajaan negeri Dr Xavier Jayakumar supaya turun bersama-sama beliau untuk melawat paras air di loji-loji rawatan air di Selangor yang paras rizabnya berada pada tahap 2.4 peratus daripada 20 peratus yang sepatutnya.

Beliau berkata Kerajaan Persekutuan yang menyedari keperluan bekalan air bagi menampung keperluan air yang meningkat di Lembah Klang dan tanpa mengira kepentingan politik telah menyediakan pelan mitigasi bekalan air berjumlah RM600 juta memandangkan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 masih belum mendapat kelulusan pembinaan daripada kerajaan negeri.

Di KUALA LUMPUR, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata isu bekalan air yang semakin meruncing di Selangor perlu lebih diutamakan berbanding cuba mempolitikkan isu dengan mengumumkan pengambilalihan SYABAS.

"Saya turut terkesan dengan situasi air di Selangor kerana ia melibatkan seluruh penduduk di Lembah Klang.

"Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui sudah beberapa kali berunding dengan Tan Sri Abdul Khalid (mengenai isu air), dan saya dimaklumkan persetujuan telah diperoleh daripada beliau secara lisan, tetapi apabila dibawa ke mesyuarat Exco ia dibatalkan," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis tamat latihan Kursus asas Perajurit Muda Sukarela Siri
Khas.

Ahmad Zahid berkata kerajaan negeri seharusnya tidak menjadikan Selangor sebagai sebuah badan korporat.

Abdul Khalid harus mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kehendak parti yang diwakilinya, kata beliau.

"Sebagai tokoh politik (Abdul Khalid) diharap tidak jadikan ia satu keutamaan peribadi tetapi kepentingan rakyat (Selangor) sebagaimana dijanjikan dalam manifesto (pilihan raya) harus diberikan keutamaan," kata Ahmad Zahid.

Sumber: nohomar.net

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP