Powered by Blogger.

Konflik Air Selangor: MB Atau Rakyat. Siapa Yang Tak Faham Dan Tak Cerdik Sebenarnya?

Sunday, 22 July 2012


Pada 04 Ogos 2010 Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim mendakwa bekalan air untuk kegunaan rakyat Selangor mencukupi sehingga tahun 2019 tanpa menerangkan sebarang perancangan selanjutnya bagi menghadapi situasi selepas tahun 2019.

Dua bulan kemudian yakni pada 06 Oktober 2010, kenyataan hampir sama diulangi sekali lagi oleh Khalid bagi menepis keperluan segera menyiapkan projek Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 (Langat 2) & Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PPAMPS).

17 Julai 2012 yang lepas pula, Exco kanan Selangor, Ronnie Liu mengulangi untuk sekian kalinya bahawa bekalan air untuk seluruh negeri Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur mencukupi dan tiada masalah untuk dirisaukan kerana kesemua tujuh empangan dan sungai masih dipenuhi air dan berada di paras yang tertinggi.

Sementara itu, dalam beberapa kenyataan lain oleh kerajaan negeri turut mempersoalkan apa perlunya catuan air dilaksanakan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) kerana sumber air di empangan dan sungai-sungai di seluruh Selangor masih berada di tahap yang stabil sekaligus cuba menggambarkan cadangan catuan air yang dikemukakan oleh SYABAS mempunyai niat jahat.

Dengan kata lain, pada fahaman mereka selagi air dalam sungai dan empangan yang statusnya masih mentah dan belum dirawat itu masih belum surut, maka dengan itu tiada sebab untuk berasa runsing atau bimbang akan berlakunya krisis bekalan air pada masa depan.

Ternampak jelas sejak dari mula isu air diperdebatkan, wujud ketidak fahaman isu dikalangan pemimpin pakatan pembangkang yang sedang memerintah Selangor. Apa yang mereka nampak tika ini ialah sungai penuh dan paras air di empangan stabil.

Hakikatnya, isu sekarang bukannya soal air empangan penuh atau sungai belum surut, tapi persoalan utama ialah selama mana loji-loji rawatan air sedia ada mampu menampung beban permintaan air bersih yang saban hari makin meningkat.

Jumlah loji rawatan air di Selangor ialah 34 buah termasuklah sebuah loji baru di Sungai Labu yang siap dibina oleh Kerajaan BN dan telah mula beroperasi sejak 20 Mac 2012 lepas.

Secara keseluruhan kapasiti air yang mampu dirawat dan disimpan oleh semua loji terbabit ialah 4,371 juta liter sehari.

Setiap hari pula lebih 4000 juta liter air bersih dibekalkan kepada berjuta-juta pengguna termasuk pihak industri.

Dengan rizab air bersih yang hanya tinggal lebih kurang 100 juta liter sehari sahaja, berapa lama lagi loji-loji tersebut mampu menampung keperluan harian kita semua?

Apatah lagi tika ini sebahagian besar loji rawatan air yang sedia ada terpaksa beroperasi melebih kapasiti sebenarnya. Terlalu kerap beroperasi melebihi kemampuannya bermakna proses selenggara loji perlu dilakukan lebih kerap dari biasa.

Setiap kali loji-loji tersebut diselenggara atau dinaiktaraf, sebahagian besar bekalan air bersih pula terpaksa dihentikan seketika. Lebih kerap selenggara dilakukan lebih kerap penyaluran bekalan air bersih kepada pengguna akan menghadapi masalah.

Di sinilah letaknya keperluan yang cukup mendesak yang menuntut kerajaan negeri di bawah PKR, DAP dan PAS segera meluluskan projek Langat 2 untuk kebaikan rakyat bawahan. Lebih lama Khalid Ibarhim berdolak dolik mempolemikkan isu ini, kesan buruknya mungkin lebih teruk dari krisis air 1998.

Sumber : Wak Jengkol

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP