Powered by Blogger.

Kerajaan negeri cuba kaut keuntungan politik dalam krisis air Selangor?

Friday, 27 July 2012


Tidak selamanya parti pembangkang boleh membanggakan diri bahawa apa yang mereka lakukan menguntungkan rakyat. Ukuran-ukuran dan label positif yang mereka cipta dan kemudian gembar-gemburkan tidak selamanya boleh dipertahankan.

Masa akan akhirnya menentukan. Konflik kepentingan kelompok dan kelemahan ketara di semua peringkat kepimpinan terutama di peringkat kerajaan negeri yang mereka perintah menjadi perangkap kepada parti pembangkang.

Sayangnya, mereka tetap tidak mahu mengambil peluang untuk memperbaiki diri walaupun telah melakukan kesilapan. Jauh sekali mahu meminta maaf apatah lagi mengundur diri atau melepaskan jawatan bagi membuktikan nilai-nilai integriti yang sepatutnya dijunjung.

Sebaliknya mereka menggunakan strategi menutup mulut pengkritik dengan saman dan ugutan saman. Jika tidak pun mereka akan bermain silap mata dengan berdolak-dalik, menyalahkan pihak lain dan memutar fakta untuk mengelirukan rakyat.

Inilah rumusan terhadap apa yang berlaku di negeri-negeri yang diperintah parti pembangkang. Senarionya hampir sama berlaku kepada kerajaan PKR Selangor mahupun kerajaan Pas di Kedah dan Kelantan serta kerajaan DAP Pulau Pinang.


Di Selangor, kerana tiada senjata ampuh lain mereka memperdagangkan bekalan air, keperluan paling dekat dengan rakyat. Kerajaan PKR Selangor yang sebenarnya dikuasai oleh kepentingan DAP kini sedang bertungkus-lumus menguasai persepsi rakyat agar menyalahkan kerajaan Persekutuan.

Ia dilakukan setelah gagal memerangkap Syabas dalam permainan politik mereka. Tiada yang jelas dan konkrit dalam tindakan kerajaan negeri.

Terlihat hajat besar mereka hanya mahu berbuat onar supaya rakyat nantinya akan menyalahkan kerajaan Persekutuan. Dari dulu mereka telah menyerang Syabas dengan memberi persepsi kononnya ia syarikat konsesi kroni UMNO yang tidak menguntungkan rakyat.

Sedangkan jika benar kerajaan PKR Selangor jujur dengan rakyat, mereka boleh memperbaiki lagi kualiti perkhidmatan Syabas yang diberi konsesi mengurus dan mengagih air bersih ke Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sejak 2005 untuk tempoh 30 tahun itu.


Kerajaan negeri mempunyai 30 peratus kepentingan dalam Syabas. Tentulah timbul tanda tanya mengapa tidak mereka betulkan Syabas dari dalam jika benar ada yang tidak kena dalam syarikat itu.

Tetapi mereka lebih suka dengan cara yang boleh menimbulkan kontroversi. Pandangan pakar termasuk ramalan krisis air pada 2014 dan keperluan pembinaan loji Langat 2 diketepikan begitu sahaja.

Catuan air yang bakal dilakukan oleh Syabas berikutan permintaan air terawat melebihi kapasiti yang semakin kritikal dijawab oleh kerajaan negeri dalam bahasa yang sukar difahami. Mereka tuduh pula Syabas tidak cekap selain alasan air di Lembah Klang melimpah ruah.

Yang terakhir Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim seperti dijangka mengumumkan untuk mengambilalih Syabas. Khalid memilih jalan kontroversi yang prosesnya rumit dan memakan masa panjang.

Mengambilalih sebuah syarikat konsesi yang selama ini tidak gagal melaksanakan tanggungjawabnya bukanlah mudah. Seperti juga penarik kereta, ada prosedur yang perlu dipatuhi sebelum kereta boleh ditarik.

Kecualilah jika cara-cara samseng digunakan. Mana mungkin kereta ditarik jika bayaran dibuat tepat pada masanya. Apatah lagi tiada satu pun notis amaran dikeluarkan.


Tindakan terbaru kerajaan PKR Selangor itu memperlihatkan aroma kepentingan pihak-pihak tertentu untuk menggagalkan operasi Syabas supaya ia boleh menjadi alasan pengambilalihan. Maklumlah operasi membekalkan air di Lembah Klang melibatkan nilai berbilion ringgit.

Elemen-elemen sensasi termasuk gaji pengurusan kanan Syabas terus ditabur untuk membolehkan mereka 'memasuki' syarikat utiliti itu, walaupun realitinya mereka sudahpun berada dalam syarikat tersebut.

Mujurlah kerajaan Pusat segera bertindak dengan membentuk Jawatankuasa Khas Kabinet dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menangani isu air yang semakin kritikal itu. Tidaklah Syabas seolah-olah dibiar keseorangan untuk berhadapan dengan ego besar kerajaan PKR itu.

Tetapi sekali lagi tindakan menyelamat lebih 3 juta penduduk Lembah Klang daripada berhadapan dengan krisis air sebagaimana dialami pada 1998 tidak dihargai oleh kerajaan PKR Selangor.


Mereka terus dengan perilaku menyalahkan pihak lain dan mengeluarkan kenyataan mengelirukan. Tanpa silu ada suara dari sana yang meminta Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui meletakkan jawatan kerana gagal mengatasi isu air di Selangor.

Begitulah permainan mereka. Kerajaan PKR Selangor sebenarnya sudah tiada jalan untuk menangani isu air ini kecuali mengikut nasihat dan pelan yang telah dirancang oleh pakar dan Syabas.

Tetapi kerana kepentingan politik terlampau, mereka sanggup gadaikan nasib rakyat dan mendedahkan penduduk Lembah Klang serta ibu negara kepada krisis bekalan air.

Persoalannya sejauhmanakah permainan politik seperti ini yang sekian lama telah menjadi modal utama dan mengakar umbi dalam parti pembangkang akan terus menguntungkan mereka?

Politik yang seharusnya menjadi medan perlumbaan meraih peradaban dan wadah memperjuangkan kepentingan rakyat sebaliknya dijadikan tempat untuk berebut kuasa. Tambah meloyakan, ia dilakukan dengan menghalalkan segala cara.

Sumber : Belantan

1 comments:

Global Products & Services Review 27 July 2012 at 04:23  
This comment has been removed by the author.

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP