Powered by Blogger.

Hutang Talam : Ah Chai didesak perjelas cara yakinkan PKNS?

Monday 16 July 2012


Pengerusi Talam Corporation Bhd. (Talam), Tan Sri Chan Ah Chai didesak menjelaskan cara yang digunakannya untuk meyakinkan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Othman Omar agar perbadanan itu mengambil alih hutang syarikat tersebut berjumlah RM392 juta.

Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, Ah Chai juga perlu menjawab sama ada benar hutang Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Universiti Selangor (Unisel) dan Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) diambil alih dengan harga RM10 setiap satu.

"Kita mahu pengesahan daripada beliau. JMM juga meminta Othman menjelaskan mengapa PKNS hanya mengambil alih hutang Talam.

"Rakyat seluruh Selangor ingin tahu mengapa hanya Ah Chai dan Talam yang mendapat kemudahan, manfaat dan keistimewaan yang amat besar daripada PKNS.

"Apakah rakyat Selangor yang lain tidak layak untuk mendapat hak dan keistimewaan yang sama," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.


Beliau mengulas pendedahan Ketua Biro Muda Profesional MCA, Datuk Chua Tee Yong yang mendakwa sebuah anak syarikat milik kerajaan negeri Selangor terpaksa menanggung beban hutang berjumlah RM316 juta untuk membayar balik hutang hasil pembelian aset Talam.

Katanya, PNSB iaitu anak syarikat milik penuh kerajaan negeri yang sebelum ini bebas hutang dan mempunyai simpanan kira-kira RM76 juta, terpaksa membuat pinjaman itu bagi membayar balik kepada kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang telah menjual aset berkenaan.

Sebelum itu, Tee Yong juga mendakwa, kerajaan PKR Selangor terbabit dalam penyelewengan hampir RM1 bilion yang dilakukan dengan berselindung di sebalik pelan 'menyelamat' Talam dua tahun lalu.

Azwanddin menambah, rakyat juga mahu mengetahui dari mulut Ah Chai sendiri sama ada urusan mengambil alih hutang RM392 juta itu telah mendapat kelulusan Suruhanjaya Sekuriti (SC) ataupun tidak.


Sementara itu, Presiden Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin pula mencabar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletakkan jawatan Menteri Besar sebagai jalan keluar beliau dalam menjamin ketelusan pentadbiran negeri.

Katanya, GAPS mencabar Abdul Khalid berbuat demikian atas pelbagai tindakannya yang merugikan kewangan negeri termasuk cadangan melantik lima firma audit antarabangsa bagi menyiasat salah guna kuasa pentadbiran kerajaan negeri pimpinan PKR itu.

"Apa relevan cadangannya itu sedangkan di peringkat negeri sememangnya sudah wujud Jabatan Audit Negeri yang melaksanakan tugas audit dengan penuh integriti serta berpengalaman luas, tambahan perkhidmatan mereka adalah percuma.

"Abdul Khalid perlu percaya kebolehan kakitangan awam, jangan pula mahu menjadikan mereka kambing hitam sahaja. Pendedahan itu akan terus dilakukan selagi beliau tidak meletakkan jawatannya," ujar beliau.

Sumber Belantan

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP