Powered by Blogger.

Lagi Khalid TERkantoi - Mana Nak Sorok "Egg" !

Saturday 28 July 2012


KENYATAAN MEDIA KETTHA

PEMBETULAN FAKTA MENGENAI ISU-ISU PEMBEKALAN AIR SELANGOR

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air ingin membetulkan kenyataan-kenyataan yang telah dibuat oleh YAB. Menteri Besar Selangor dan beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor sejak 23 Julai 2012 mengenai isu bekalan air Selangor.

Pembetulan ini dibuat kerana kenyataan-kenyataan tersebut adalah tidak tepat dan menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai.

Penjelasan ini seperti di Jadual 1 diharap dapat memberi gambaran sebenar tentang isu-isu yang telah dibangkitkan itu.

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air

Putrajaya.

26 Julai 2012

JADUAL 1

PEMBETULAN TERHADAP KENYATAAN-KENYATAAN YANG DIBUAT OLEH KERAJAAN NEGERI SELANGOR SEJAK 23 JULAI 2012

1) Perkara Yang Dibangkitkan Oleh Kerajaan Negeri Selangor :

Kerajaan Selangor memohon RM225 juta dari Kerajaan Pusat bagi meningkatkan penjanaan air terawat di Loji Rawatan Air Sungai Selangor 1 (SSP1) dan Sungai Selangor 3 (SSP3).

Sumber Kenyataan :

YB. Dr. Xavier Jayakumar,

Laman Web Selangorku

23 Julai 2012

Penjelasan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air :

Kerajaan Persekutuan yang sebenarnya telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan projek-projek mitigasi bagi mengelakkan krisis air berlaku di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya walaupun mendapat tentangan daripada Kerajaan Negeri Selangor.

Walaupun Kerajaan Persekutuan telah memaklumkan bahawa krisis air akan berlaku pada tahun 2014 sekiranya tiada langkah-langkah diambil untuk menanganinya, Kerajaan Negeri Selangor masih berkeras dan berpendirian bahawa bekalan air terawat adalah mencukupi sehingga tahun 2019.

Disebabkan Kerajaan Negeri Selangor tidak mengambil sebarang tindakan sedangkan tanggung jawab untuk memastikan loji-loji rawatan air di negeri Selangor membekalkan air terawat yang mencukupi untuk diagihkan kepada pengguna adalah merupakan tanggung jawab Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk meluluskan peruntukan sebanyak RM606 juta untuk melaksanakan projek-projek mitigasi supaya rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak mengalami krisis air pada tahun 2014.

Walau bagaimanapun, apabila Kerajaan Persekutuan meluluskan projek-projek tersebut, Kerajaan Negeri Selangor telah bersetuju untuk melaksanakan 5 daripada 8 projek tersebut yang bernilai RM301 juta.

Persetujuan Kerajaan Negeri Selangor untuk melaksanakan projek-projek tersebut menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri sememangnya mengakui bahawa krisis air akan berlaku pada tahun 2014 jika tiada sebarang langkah diambil untuk menanganinya.

Ini menunjukkan bahawa pendirian Kerajaan Negeri Selangor yang mengatakan bahawa bekalan air terawat adalah mencukupi sehingga tahun 2019 adalah merupakan kenyataan yang tidak disokong oleh fakta.

2) Perkara Yang Dibangkitkan Oleh Kerajaan Negeri Selangor :

Adalah menjadi tanggung jawab Kerajaan Pusat dan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) untuk menyelenggara dan meningkatkan kemampuan aset-aset air di Selangor seperti loji-loji kerana ia dipajak kepada mereka.

Sumber Kenyataan :

YB. Dr. Xavier Jayakumar,

Laman Web Selangorku

23 Julai 2012

Penjelasan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air :

Kerajaan Negeri Selangor, sebagai pemilik aset-aset air negeri Selangor yang telah diberi kuasa oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara di bawah Seksyen 188 Akta Industri perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), bertanggungjawab bagi memastikan ketersediaan atau water supply availability di loji-loji rawatan air di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Manakala tanggung jawab Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) sebagai operator pengagihan air di negeri Selangor hanyalah untuk membekalkan dan mengagihkan bekalan air terawat dan bukannya berperanan untuk memastikan ketersediaan bekalan air terawat atau water supply availability.

SYABAS telah diberi kuasa di bawah Seksyen 191 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) oleh SPAN.

Adalah ditegaskan bahawa Kerajaan Negeri Selangor sebagai pemilik aset-aset air negeri, tidak pernah memajak mana-mana aset air negeri kepada Kerajaan Persekutuan.

3) Perkara Yang Dibangkitkan Oleh Kerajaan Negeri Selangor :

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri bahawa tidak ada keperluan catuan air dalam masa terdekat jelas menunjukkan Selangor tidak mengalami krisis bekalan air sekaligus menafikan keperluan pembinaan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 seperti yang didesak oleh Kerajaan Persekutuan.

Sumber Kenyataan :

YB. Charles Santiago

Laman Web Selangorku

23 Julai 2012

Penjelasan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air :

Ketiadaan keperluan catuan air pada masa ini bukan bermakna krisis air tidak akan berlaku pada tahun 2014.

Kerajaan Persekutuan sentiasa konsisten dalam pendiriannya bahawa krisis air akan berlaku pada tahun 2014 disebabkan Kerajaan Negeri Selangor enggan memberi kelulusan bagi membina Loji Rawatan Air Langat 2 untuk membolehkan loji tersebut disiapkan pada tahun 2014.

Atas dasar inilah Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM606 juta untuk melaksanakan projek-projek mitigasi untuk mengelakkan krisis air pada tahun 2014 berikutan kedegilan Kerajaan Negeri Selangor untuk memberi kelulusan development order bagi projek Loji Rawatan Air Langat 2.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah memaklumkan bahawa sungguhpun kedudukan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya secara keseluruhannya masih terkawal, terdapat beberapa kawasan yang telah dikenalpasti seringkali mengalami gangguan bekalan air disebabkan rizab simpanan air yang sangat rendah iaitu secara puratanya ialah 2.5% sahaja berbanding dengan paras optimum iaitu 10%.

Berdasarkan pandangan SPAN ini, Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Isu-Isu Bekalan Air Selangor telah membuat keputusan bahawa catuan air tidak perlu dilaksanakan sekarang ini kerana kedudukan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya secara keseluruhannya adalah mencukupi.

Walau bagaimanapun, SPAN telah diminta mengenal pasti kawasan-kawasan yang kerap menghadapi gangguan bekalan air dan menyediakan pelan kontingensi bagi kawasan-kawasan ini sebagai persediaan menghadapi catuan, sekiranya diperlukan, melalui perbincangan dengan SYABAS dan Kerajaan Negeri Selangor.

Pelan ini penting bagi memastikan orang ramai di kawasan-kawasan yang terlibat mendapat maklumat yang jelas mengenai sebarang catuan air yang akan dilaksanakan untuk membolehkan mereka membuat persediaan yang sewajarnya.

4) Perkara Yang Dibangkitkan Oleh Kerajaan Negeri Selangor :

Kalau tidak ada catuan air, maka tidak ada masalah air.

Kalau tidak ada masalah air, mengapa mereka ingin membina Loji Rawatan Air Langat 2 ?

Ini tidak masuk akal.

Sumber Kenyataan:

YB. Charles Santiago

Laman Web Selangorku

23 Julai 2012

Penjelasan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air :

Ketiadaan keperluan untuk mencatu air pada masa sekarang tidak bermakna bahawa tiada masalah air pada masa akan datang.

Loji Rawatan Air Langat 2 dirancang untuk dibina bagi memenuhi permintaan bekalan air pada tahun 2014 berdasarkan kajian yang telah dibuat pada tahun 2000.

Hasil kajian tersebut terbukti benar apabila SPAN turut mengunjurkan bahawa jumlah bekalan air dalam sistem bekalan air sedia ada tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan pada tahun 2014.

Malah, SPAN mengunjurkan bahawa bekalan air yang dapat dikeluarkan oleh 34 loji rawatan air di Selangor hanya dapat memenuhi permintaan air sehingga penghujung tahun 2012 sahaja.

Selain itu, pembinaan infrastruktur bekalan air memerlukan tempoh masa yang panjang untuk disiapkan.

Oleh itu, Loji Rawatan Air Langat 2 perlu dibina sekarang bagi memastikan para pengguna tidak menghadapi masalah bekalan air pada masa akan datang.

5) Perkara Yang Dibangkitkan Oleh Kerajaan Negeri Selangor :

Tindakan terdesak ini (untuk membina Loji Rawatan Air Langat 2) antara lain bertujuan memastikan kroni UMNO-BN mendapat kontrak pembinaan dan mencongak keuntungan berlipat-ganda sekiranya usaha berkenaan diluluskan.

Sumber Kenyataan:

YB. Charles Santiago

Laman Web Selangorku

23 Julai 2012

Penjelasan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air :

Kerajaan Persekutuan akan melaksanakan projek Loji Rawatan Air Langat 2 secara tender terbuka kepada semua syarikat yang berkelayakan dan mengalu-alukan anak-anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor untuk menyertai tender tersebut apabila diiklankan kelak.

6) Perkara Yang Dibangkitkan Oleh Kerajaan Negeri Selangor :

Kerajaan Negeri Selangor mahu ambil alih operasi SYABAS kerana SYABAS tidak mampu urus bekalan air.

Namun tidak diluluskan oleh Kerajaan Pusat.

Sumber Kenyataan :

YB. Rodziah Ismail

Laman Web Selangorku

24 Julai 2012

Penjelasan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air :

Kerajaan Persekutuan tidak dapat mempertimbangkan permohonan Kerajaan Negeri Selangor untuk mengambil alih operasi SYABAS kerana:

1. Kes mahkamah yang masih belum selesai. Kes tersebut difailkan oleh SYABAS untuk menuntut pampasan kerana Kerajaan Negeri Selangor tidak bersetuju untuk menaikkan tarif air di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sejak tahun 2009 ; dan

2. Kedua-dua pihak iaitu Kerajaan Negeri Selangor dan SYABAS didapati telah melakukan keingkaran dan tuduhan Kerajaan Negeri Selangor ke atas keingkaran yang dilakukan oleh SYABAS didapati tidak mencukupi untuk membolehkan Kerajaan Negeri Selangor mengambil alih operasi SYABAS berdasarkan Klausa 32 Perjanjian Konsesi.

Walaubagaimanapun, Kerajaan akan mendapatkan pandangan muktamad daripada Peguam Negara sebelum mengambil sebarang tindakan.

7) Perkara Yang Dibangkitkan Oleh Kerajaan Negeri Selangor :

The production capacity of the 34 treatment plants at present is 4,807MLD, compared to Syabas’ distributive capacity of 4,371MLD.

Sumber Kenyataan:

YAB. Menteri Besar Selangor

Suratkhabar The Star

26 Julai 2012

Penjelasan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air :

Berdasarkan maklumat SPAN, 34 buah loji rawatan air di Selangor direka bentuk untuk menghasilkan 4,581 juta liter sehari (JLH).

Walau bagaimanapun, terdapat kekangan dalam sistem pengeluaran beberapa loji dan sistem pengagihan pada ketika ini yang hanya membolehkan kapasiti air diagihkan kepada pengguna sebanyak 4,371 JLH sahaja.

Projek-projek Mitigasi 1 dan 2 yang berjumlah RM606 juta yang merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan apabila siap kelak, akan dapat mengoptimumkan pengeluaran air kepada 4,581 JLH.

Kementerian ingin menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak pernah mencadangkan sebarang projek mitigasi seperti yang dinyatakan oleh YAB. Menteri Besar dan beberapa EXCOnya di media massa untuk meningkatkan kapasiti loji-loji rawatan air sedia ada di negeri Selangor baharu-baharu ini walaupun 33 daripada 34 buah loji tersebut merupakan milik Kerajaan Negeri Selangor.

Jumlah kapasiti pengeluaran yang dinyatakan oleh Kerajaan Negeri Selangor pula iaitu sebanyak 4,807 JLH merupakan jumlah kapasiti reka bentuk loji dan mengambil kira kapasiti lebihan yang dihasilkan oleh 5 buah loji yang sedang dioperasikan melebihi tahap reka bentuk iaitu Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor 2, LRA Sungai Semenyih, LRA Sungai Langat, LRA Sungai Batu dan LRA Bukit Tampoi.

Dalam merancang bekalan air kepada pengguna, kapasiti yang perlu diambil kira ialah kapasiti yang boleh diagihkan iaitu 4,371JLH kerana ia menentukan jumlah air yang sampai ke premis pengguna.

Sekiranya kapasiti reka bentuk iaitu 4,581JLH atau kapasiti pengeluaran loji yang dinyatakan oleh Kerajaan Negeri Selangor iaitu 4,807 JLH diguna pakai, ia tidak akan mencerminkan jumlah bekalan air sebenar yang boleh diagihkan kepada pengguna dan seterusnya memberikan gambaran yang salah tentang kadar rizab simpanan bekalan air di Selangor pada ketika ini.

Penggunaan fakta yang salah dalam membuat perancangan bekalan air akan menyebabkan para pengguna air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menghadapi risiko krisis air pada masa hadapan.

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air

Putrajaya.

26 Julai 2012


Sumber : Kita Gempur

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP