Powered by Blogger.

"MB Jangan Pandai "Buat" Wayang Saja" - GPRS

Friday 27 July 2012


Konflik isu air antara Kerajaan Negeri Selangor dengan syarikat pengendali konsesi air, Syabas tidak akan memberikan keuntungan kepada mana-mana pihak, tetapi hanya akan memberi kesan kepada rakyat.

Kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak perlu mempolitikkan perkara ini kerana masalah berlaku adalah kesilapan dan kelemahannya tetapi bijak mengalih pandangan rakyat kononnya Syabas yang bersalah, bukan kerajaan negeri.

Inilah permainan kotor kerajaan negeri. Isu sebenar ialah kekurangan bekalan air terawat akibat permintaan yang meningkat, bukan kerana kekeringan air sungai, air lombong atau air empangan. Memang tidak logik jika berlaku krisis air kalau empangan banyak air atau pada musim hujan sekarang ini.

Rakyat perlu faham bahawa pengeluaran air di loji rawatan yang ada tidak cukup untuk menampung penggunaan yang semakin meningkat kerana loji sedia ada hanya mampu merawat air dalam kapasiti tertentu walaupun beroperasi pada tahap maksimum, 24 jam sehari tanpa henti. Kerana itu ada kawasan yang terpaksa menerima catuan kerana bekalan air bersih dari loji rawatan tidak mencukupi.

Untuk menyelesaikan masalah ini, sebuah loji baru perlu dibina untuk meningkatkan pengeluaran air terawat. Ini bukan satu gurauan, jika air empangan sedia ada disalurkan kepada pengguna seperti mana saranan MB, tidak sampai 7 hari air empangan itu akan kering kontang.

Kita kesal kerana mempunyai Menteri Besar dan barisan exco yang dangkal pemikiran, yang cetek ilmunya tetapi mahu menjuarai isu air semata-mata survival politik dan mahu terus menipu rakyat. Kerajaan negeri gagal dalam menjalankan tanggungjawab tetapi mahu menjadikan Syabas sebagai kambing hitam.

Menteri Besar tidak perlu bersandiwara. Loji adalah di bawah tanggungjawan kerajaan negeri malah ada syarikat loji rawatan milik kerajaan negeri. Untuk pastikan bekalan cukup juga adalah tanggungjawab kerajaan negeri. Syabas hanya mengagihkan air yang dirawat oleh loji rawatan. Siapa yang perlu dipersalahkan jika air tidak cukup: kerajaan negeri atau Syabas? Ini hanya taktik lapok mereka supaya rakyat terus menyalahkan Syabas.

Meminjam analogi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar yang menggunakan padi dan beras sebagai contoh: rakyat mahukan beras, bukannya padi. Air empangan ibarat padi manakala air terawat ibarat beras. Kecuali Menteri Besar dan barisan exco mahu makan padi, mereka boleh guna air dari lombong atau air empangan sedia ada. Bagaimana mana mahu mendapatkan beras jika kilang memproses padi tidak mencukupi? Itulah senario yang pelru difahami sekarang.

Kita hairan kenapa Exco Ronnie Liu hanya menunjukkan air empangan yang penuh, kenapa tidak minum sahaja air empangan itu? Ini kerana mereka hanya berpolitik dan bersandiwara untuk menipu rakyat kerana mereka juga tahu air tersebut perlu dirawat terlebih dahulu sebelum diminum. Air mentah yang belum dirawat mempunya risiko bakteria dan sebagainya.

Tambah pelik apabila Menteri Besar mahu mengambil alih pengurusan Syabas dan mengumumkan pelantikan kumpulan professional yang tiada pengalaman untuk meneliti operasi harian Syabas sedangkan hakikatnya mereka mempunyai 30 peratus saham dalam syarikat itu dan Syabas sendiri diaudit oleh Audit Negara. Jadi apa relevan tindakan Menteri Besar ini?

Kerajaan negeri turut menuduh Datuk Seri Noh Omar mempunyai kepentingan dalam syarikat yang akan membina Loji Langat 2. Tuduhan ini sangat lucu kerana tender masih belum dibuka, bagaimana kerajaan negeri tahu Datuk Seri Noh ada kepentingan dalam syarikat yang membina loji. Buktikan tuduhan itu, jangan bersandiwara untuk menipu rakyat.

Kalau Menteri Besar telus, kita cabar beliau buka tender membina Loji Langat 2. Jangan bersandiwara lagi. Kita yakin jika Loji Langat 2 siap dibina kelak, harga air tidak akan naik malah akan menjadi lebih murah kerana bekalan sudah banyak dan lebih daripada mencukupi.

Belum buat loji macam mana Menteri Besar tahu harga air akan naik? Buat dahulu baru tahu. Kerajaan negeri hanya sedia tanah kerana kos pembinaan loji akan dikeluarkan oleh Kerajaan Pusat. Malah selepas siap, loji tersebut akan menjadi milik kerajaan negeri seperti mana loji-loji yang lain.

Kita nasihatkan Menteri Besar dan barisan exco, cukup-cukuplah menipu rakyat. Kalau tidak mampu menjalankan tanggungjawab, Menteri Besar dan exco boleh letak jawatan. Jangan nak berlagak pandai tapi tidak ubah seperti ‘ayam berkokok ekor bergelumang tahi’.

Kita cabar Menteri Besar dan Exco agar tidak lagi menggunakan air terawat, sebaliknya menggunakan air mentah yang disalurkan terus dari lombong atau Sungai Klang. Barulah cakap serupa bikin! Justeru rakyat jangan terus tertipu dengan permainan sandiwara pemimpin kerajaan pakatan pembangkang ini.

DATUK SOHAIMI SHAHADAN

Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS)

Sumber : Gerakan Timur

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP