Powered by Blogger.

Debat Hasan Ali-Khalid Samad tentu lebih menarik...

Wednesday 11 July 2012

hasanalidankhalidsamadTajuk debatnya adalah “PRU-13: Di Manakah PAS Selangor?”. Dan apabila Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman menolak pelawaan Datuk Dr Hasan Ali untuk debat tersebut, maka tajuk debat itu sudah menceritakan segala-galanya.

Umum sudah mengetahui siapa Dr Hasan, ADUN Gombak Setia dan bekas Pesuruhjaya PAS yang kemudian digugurkan keahlian serta jawatan Exco Kerajaan Negeri Selangor, akhir tahun lalu.

Dr Rani, yang dikatakan jadi ‘tunggangan’ Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang sudah lama berseteru dengan Dr Hasan, hanya nama kecil dalam pimpinan PAS negeri mahupun Pusat.

Namun, atas kapasitinya sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Hasan mencabarnya berdebat anjuran sebuah NGO di Meru,Klang pada Rabu.

Malangnya, Dr Rani menolak cabaran Dr Hasan dan bersedia mewakilkan Khalid meneruskan debat tersebut.

Sebenarnya ramai pemerhati politik merasakan debat itu patut mempertemukan Dr Hasan dan Khalid.

Ini barulah ibarat ‘buku bertemu ruas’ .Namun apabila Presiden Jalur Tiga (Jati) itu tetap mahu berdepan Dr Rani, timbul persoalan sama ada beliau sanggup berdepan Khalid atau tidak.

Khalid pula setakat ini tidak mengulas keputusan mesyuarat PAS Selangor yang mahu beliau berdebat dengan Dr Hasan.

Pasti sesuatu yang menarik jika Khalid, kini timbalan pesuruhjaya PAS Selangor bertembung dengan Dr Hasan kerana perang mulut antara mereka di dada media bukan sedikit dan menggambarkan kedua-dua mereka memang patut bertarung di satu gelanggang.

Dr Hasan boleh mempertimbangkan hasrat PAS Selangor mahu menemukan beliau dengan Khalid.

Tentu beliau tidak bermasalah berdebat sama ada secara langsung atau tidak.

Betul kata Dr Rani bahawa Dr Hasan perlu bersikap profesional setelah dikatakan menguar-uarkan debat itu sedangkan belum ada persetujuan daripada Dr Rani.

"Siapa dia (Hasan) nak berdebat dengan kita? Nak berdebat maklumkan sebulan awal, beritahu tajuk apa nak debat. Kita banyak kerja nak buat," katanya pada sidang media pada Isnin.

Lebih mendukacita apabila Dr Rani menempelak Dr Hasan kononnya cadangan debat itu adalah talian hayat untuk orang ramai datang setelah ceramah bekas pemimpin PAS itu tidak dapat sokongan ramai seperti didakwa.

Ini pastinya satu tamparan buat Dr Hasan dan meneruskan debat dengan Khalid setidak-tidaknya dapat mengembalikan maruah Dr Hasan lagipun rakyat Selangor pasti ingin tahu apa sudah jadi dengan PAS Selangor sejak berada dalam kelambu pembangkang bersama PKR dan DAP.

Paling tidakpun dakwaan Dr Hasan mengatakan Khalid antara parasit yang merosakkan PAS kerana ahli parlimen itu lebih rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat disentuh jika debat itu diadakan.

Isu campur tangan pihak tertentu termasuk Khalid dalam kes serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke Gereja Methodist satu ketika dahulu juga antara topik boleh dibangkitkan kerana peranan PAS yang sepatutnya mempertahan agama Islam cukup tercabar apabila pihak lain berusaha memurtadkan orang Melayu beragama Islam.

Banyak lagi isu-isu berkaitan PAS Selangor boleh dibangkitkan Dr Hasan termasuk kedudukan Exco Agama yang dipegang beliau sebelum ini tetapi kini dipegang Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim – bukannya kepada Exco PAS.

Mengenakan syarat supaya Khalid jadi Pesuruhjaya PAS terlebih dahulu sebelum berdebat dengannya adalah sesuatu yang tidak logik kerana kedua-dua mereka mempunyai kelebihan masing-masing.

Apa alasan sekalilpun, Dr Hasan harus menerima tawaran bertemu Khalid bagi membolehkan Khalid menjelaskan apakah nasib dan masa depan PAS Selangor dalam berdepan pilihan raya umum akan datang.

Ini kerana PAS Selangor dilihat seperti sudaH hilang taring dan bisa sebaliknya hanya mengikut rentak PKR dan DAP tambahan pula PAS hanya ada tujuh kerusi DUN sahaja.

Sekurang-kurangnya seperti kata Dr Hasan sendiri pada Selasa, (sepatutnya) di pentas ini (debat), beliau boleh dapat menjelaskan apa yang PAS Selangor tawarkan untuk mengagungkan Islam, memartabatkan Melayu dan mendaulatkan Institusi Raja di negeri Selangor dalam menghadapi PRU-13.

Percayalah Dr Hasan, ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisa dan bertembung Khalid sekurang-kurangnya membuktikan kedua-dua mereka ‘gentleman’.

Sumber : Agenda Daily

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP