Powered by Blogger.

Harga Rumah Mahal di Selangor, Salah Kerajaan Pusat!

Friday 19 October 2012




Jadi Kerajaan Negeri Selangor cukup mudah. Letaklah beruk, kera, lotong, cikah mahupun tapir tempang sekalipun, mereka mampu menyaingi prestasi Kerajaan Negeri Selangor. Letak jugalah kepala tokong, kepala batu nisan, kepala colok mahupun longgokan buah limau di altar sembahan, mereka juga boleh bercakap seperti anggota Kerajaan Negeri Selangor.

Dengan kata lain, menjadi anggota Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat, tidak memerlukan akal, tidak memerlukan daya fikiran dan tidak memerlukan inisiatif, sebaliknya cukup dengan memberikan pelbagai alasan dan yang paling utama, menyalahkan UMNO dan Kerajaan Pusat.

Itulah yang berlaku apabila Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad memberikan alasan mengapa harga rumah begitu mahal di Selangor. Kata Iskandar, harga rumah di Selangor mahal sebab Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan gagal menyemak harga rumah dan mengekalkan harga rumah yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat.

Dengan kata lain, Iskandar  Samad cuba untuk menyatakan bahawa harga rumah sebenarnya di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat, manakala Kerajaan Negeri Selangor sekadar boleh bagi usul dan cadangan sedangkan pada masa yang sama, Kerajaan Negeri Selangor tidak ada kuasa langsung tentang penyebab harga sesebuah rumah dinaikkan.
Hakikatnya, Iskandar Samad samalah seperti pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang lain, yang kuat berbohong dan kuat temberang terutama apabila terdesak dan tidak tahu jawapan.

Antara faktor harga rumah dibuat ialah harga tanah dan premium selain cukai yang dikenakan. Kalau sudah harga tanah tinggi, kalau sudah premium dan cukai tanah dinaikkan, maka secara tidak langsung, naiklah harga rumah yang baru disiapkan itu.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2011 bagi negeri Selangor, penyumbang utama hasil Kerajaan Negeri adalah terdiri daripada Premium Geran Tanah, Cukai Tanah Semasa dan Pemberian Jalan Raya/Lorong. Butiran hasil ini telah menyumbang sebanyak RM993.98 juta (60.8%) daripada jumlah hasil tahun 2011 yang berjumlah RM1,634 juta.

Sekaligus menunjukkan kenaikan cukai tanah, cukai pintu dan premium tanah di bawah kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah menyumbang kepada kenaikan beratus-ratus peratus harga rumah berbanding pada zaman pentadbiran UMNO dan Barisan Nasional.

Menyalahkan Kerajaan Pusat, UMNO dan Barisan Nasional merupakan kaedah yang paling mudah, murah dan setara dengan akal serta otak para penyokong Pakatan Rakyat. Bagaimanapun, sesuatu yang tidak diberitahu oleh para pemimpin Pakatan Rakyat Selangor ialah, hak terhadap geran tanah, cukai tanah dan premium tanah adalah HAK MUTLAK KERAJAAN NEGERI. Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai hak atau boleh mempertikaikan tindakan Kerajaan Negeri menaikkan kesemua cukai serta premium berkenaan.

Kalau sudah segala-galanya dinaikkan oleh Kerajaan Negeri Selangor, bagaimana harga rumah boleh diturunkan atau paling tidak pun, dijual lebih murah sebaik-baik sahaja disiapkan? Sudah tentulah pemaju terpaksa menaikkan harga rumah berkenaan demi menampung segala macam cukai dan premium yang dikenakan oleh Kerajaan Negeri Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat.

Kalau setakat memberikan usul dan cadangan kemudian menyalahkan Kerajaan Pusat kerana tidak mengawal harga rumah yang telah disiapkan oleh pemaju, orang buta dan pekak pun boleh buat.
Iskandar Samad sepatutnya menjawab tentang cukai dan premium yang telah dinaikkan sekaligus mendorong kepada peningkatan harga rumah termasuklah rumah mampu milik yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan.

Yang mampu dilakukan ialah memberitahu kononnya, cekapnya Kerajaan Negeir Selangor di bawah kepimpinan Khalid Ibrahim mengutip segala hutang dan cukai, bukannya menaikkan cukai dan premium tanah.

Pastinya, Iskandar Samad akan jadi syaitan bisu yang tidak akan mendedahkan sama sekali tentang perolehan besar Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat daripada cukai dan premium tanah kerana itu akan menunjukkan kezaliman dan keserakahan Kerajaan Negeri Selangor berbanding menceritakan tentang air percuma atau TAWAS yang TEWAS dan sebagainya.- Selangor Daily

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP