Sungai di Selangor tercemar, ancam bekalan air - Pakar?
Saturday, 13 October 2012
Air sungai Langat yang keruh macam teh tarik akibat pencemaran oleh aktiviti manusia
Kebanyakan sungai di Selangor yang menjadi sumber utama bekalan air mentah didapati tercemar dan berpotensi menjadi ancaman serius kepada keperluan asas yang amat penting ini jika tidak ditangani, seorang ahli sains memberi amaran hari ini.
Ketua Unit Permodelan Alam Sekitar, Pusat Penyelidikan Forensik Alam Sekitar (Enforce) Universiti Putra Malaysia, Dr Hafizan Juahir, berkata bahagian air bersih di sungai-sungai ini semakin pendek akibat aktiviti guna tanah yang terlalu tinggi, terutama pembangunan kawasan perumahan.
Sebagai contoh, beliau mendedahkan panjang Sungai Langat, sungai utama di antara beberapa sungai di Selangor yang menjadi sumber air mentah ialah 149.3 km tetapi bahagian air bersih hanya tinggal 49.3km sahaja manakala selebihnya 100km sudah tercemar.
Dalam satu temuramah dengan Bernama, Hafizan berkata, pencemaran sungai dikategorikan kepada empat kelas iaitu 1 dan 2 belum tercemar, manakala 3 dan 4 tercemar secara serius.
"Sepanjang 100km Sungai Langat sudah masuk dalam kelas 3, 4. Dan jika kualiti air sungai lebih teruk daripada ini, ia sudah dikira sungai mati," katanya.
Hafizan menjelaskan data-data ini adalah terkini yang diperolehi oleh para pelajar beliau yang membuat persembahan penemuan mereka mengenai keadaan Sungai Langat hanya tiga hari lepas.
Beliau berkata di daerah Hulu Langat kini keadaan semakin meruncing dan mengancam sungai akibat terlalu banyak pembangunan terutama kondominium, rumah-rumah kedai dan peningkatan populasi yang memberi impak negatif terhadap kualiti air akibat air cucian, sisa-sisa domestik dan sampah yang masuk dalam sungai.
"Saya adalah ahli sains dan penyelidik. Saya bercakap berdasarkan fakta mengenai kualiti air. Saya lihat secara terperinci setiap parameter kualiti air atau pun trend indeks kuailiti air. Jadi kuantiti air yang bersih sahaja pun tinggal sikit sahaja," tambah beliau.
Hafizan berkata ramai orang terkeliru apabila bercakap mengenai sumber air kononnya negara yang kerap hujan untuk mengisi empangan seperti di Malaysia tidak perlu bimbang tentang sumber air.
"Empangan hanya air untuk tujuan rawatan sebelum kita bekalkan kepada pengguna akhir seperti kita semua, pengguna domestik atau perindustrian. Tetapi sumber air daripada ini tadi perlu kita teliti daripada mana datang sumber air ini. Sumber air ini datang daripada sungai.
"Kalau nak mengharapkan hujan, memang jumlah hujan kita tinggi tetapi ia jauh daripada mencukupi dengan keadaan pembangunan yang pesat, pertambahan dan peningkatan dalam populasi. Tidak dapat tidak, permintaan bekalan air bersih dan air terawat terus meningkat dari semasa ke semasa," katanya.
Sumber - Oyabun
0 comments:
Post a Comment