Powered by Blogger.

"Saya Tidak Sanggup Lihat PAS Memusuhi Islam" - Hasan Ali

Saturday 12 May 2012


KENYATAAN AKHBAR YB DATO DR HASAN MOHAMED ALI
ADUN GOMBAK SETIA

Kenyataan Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk melaksanakan hudud di negara ini memang sudah dijangka mendapat tentangan keras daripada DAP sebagai parti komponen dalam Pakatan Rakyat. Alasan TG Abdul Hadi Awang bahawa hudud akan dilaksanakan setelah fenomena pengangguran dan kemiskinan dapat ditangani tidak sedikitpun mengubah pendirian DAP.

Pengerusi DAP itu dengan keras dan tegas mengulangi kenyataannnya bahawa atas apa alasan pun DAP sememangnya tidak dapat menerima syariat Islam dan perlaksanaan hudud. Seingat saya Setiausaha Agung DAP dalam salah satu sidang akhbarnya tahun lepas juga menyatakan perkara yang sama dengan apa yang ditegaskan oleh Karpal Singh. PAS tidak boleh sama sekali membuat kenyataan mengenai hudud apa lagi melaksanakannya sebelum mendapat restu daripada dua komponen parti yang lain khususnya DAP.

Ini bukan kali pertama kenyataan sedemikian diutarakan oleh pimpinan tertinggi DAP. Rakyat Malaysia termasuk ahli dan penyokong PAS memang dapat menduga respon daripada DAP berhubung dengan isu Negara Islam dan hudud tersebut.

Bagi saya, sebagai pemimpin parti Islam, tidak dibenar membuat apa-apa kenyataan berhubung dengan dasar perjuangan partinya, sama sekali tidak dapat diterima oleh akal orang yang siuman. Bagi saya juga, apa hak DAP untuk menyelar dan menidakkan kenyataan umum yang dibuat mengenai perlaksanaan hudud yang seperti diketahui pada dasarnya melibatkan penganut Islam sahaja. Saya menganggap tindakan pimpinan utama DAP begitu keterlaluan hingga tidak langsung mengambil kira sensitiviti umat Islam khasnya ahli dan penyokong PAS termasuk mereka di akar umbi yang ingin melihat syariat Islam dan hudud dilaksanakan. Itu jugalah janji PAS kepada mereka.

Secara peribadi, saya tidak sanggup dan rela ulama-ulama dihina sedemikian rupa. Saya tidak sanggup melihat ahli dan penyokong PAS terbabit sama dihina dan hilang maruah disebabkan pimpinan utamanya dicabar sedemikian rupa. Ahli dan penyokong PAS tidak seharusnya menganggap isu ini sebagai perkara yang mesti diletakkan ke pundak pemimpin tertinggi tersebut sahaja. Ahli dan penyokong PAS mesti menggalas sama tanggungjawab melaksanakan misi dan visi perjuangan PAS dan menjadikan PAS parti yang bermaruah bukan parti yang boleh ditunggangi sesuka hati seperti sekarang oleh pihak luar yang sememangnya mempunyai track record memusuhi Islam.

Dalam hubungan ini saya ingin kembalikan ingatan ahli dan penyokong PAS mengenai deskripsi yang diberi oleh Presiden PAS terhadap Karpal Singh satu masa dahulu berhubung dengan isu yang sama bahawa Karpal Singh tidak lebih daripada ubat yang sudah tamat tempoh. Bagi saya bukan sahaja setakat itu tetapi beliau tidak lebih daripada manusia yang sudah melangkah ke zaman “menopause” dalam arena politik yang tidak perlu lagi diberi perhatian sehingga boleh merugikan masa, tenaga dan pemikiran.

Sedikit pengalaman saya selama 4 tahun menjadi Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor, apa yang disarankan oleh pimpinan tertinggi PAS itu, itulah juga yang sering saya timbulkan waktu di amanahkan untuk mendokong portfolio Hal Ehwal Islam dan Adat-Adat Melayu di negeri Selangor. Demi mempertahankan posisi yang saya ambil selama ini, saya telah menjadi mangsa dan dipecat daripada parti Islam itu.

Saya ingin menegaskan kepada ahli dan penyokong PAS serta masyarakat Islam di negara ini, inilah realiti kedudukan, kemampuan dan cabaran yang berterusan serta tekanan yang dihadapi oleh sebarang usaha untuk melaksanakan hasrat murni merealisasikan hukum hudud dan syariat Islam. Saya terus berasa pesimistik terhadap usaha tersebut di dalam PAS disebabkan kehadiran majoriti golongan parasit yang menguasai saf kepimpinan tertinggi parti ketika ini. Saya meramalkan di bawah gagasan Pakatan Rakyat jalan ke arah itu semakin sempit dan semakin gelap. Telahan saya ini semakin hampir ke realiti lantaran sikap Karpal Singh tersebut serta kata-kata yang pernah diucapkan oleh beliau sendiri bahawa PAS perlu melangkah mayat beliau terlebih dahulu sebelum dapat melaksanakan hudud.

YB DATO DR HASAN MOHAMED ALI
ADUN GOMBAK SETIA
Pinggiran TTDI,
Kuala Lumpur
11 MEI 2012

Sumber : Gerakan Timur

1 comments:

usin 12 May 2012 at 16:37  

karpal dh tua. tak lama lg mati. lepas tu pas boleh la langkah mayat dia. itupun kalau waris2 dia bagi. kalau tak, melepas!!!!

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP