Tahniah , Teruskan Menipu Rakyat - Dr Khir
Tuesday, 25 December 2012
1. Cukai Taksiran Hartanah atau lebih dikenali sebagai cukai pintu merupakan salah satu sumber kewangan utama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Pengutipan cukai ini penting bagi membolehkan PBT melaksanakan perkhidmatan yang baik kepada penduduk setempat terutamanya dari segi penyediaan dan penyelenggaraan kemudahan awam, kawasan rekreasi dan jalan-jalan yang berada di bawahnya.
2. Jika tidak silap saya pada 2007, banyak PBT di Selangor telah melakukan penilaian semula ke atas nilai hartanah komersial dan kediaman. Hasil dari penilaian tersebut cukai taksiran telah meningkat antara 5-10 peratus (%).
3. Ini menyebabkan kerajaan Selangor ketika itu dikritik hebat oleh pembangkang ketika itu. Parti-parti di bawah Pakatan berlumba-lumba menyerang kerajaan negeri dan menyatakan kutipan cukai naik tetapi fasiliti tidak terurus.
4. Tidak cukup dengan itu, PAS dan PKR telah memasukkan dalam manifesto pilihan raya mereka pada 2008 untuk menurunkan cukai pintu sebanyak 10% bagi premis perniagaan dan 20% untuk premis kediaman.
5. Pada ketika itu tampak hebatlah Pakatan. Siapa yang tidak percaya kepada janji tersebut yang dibawa oleh seorang "tokoh korporat terkemuka" dan seorang bekas Menteri Kewangan Malaysia.
6. Malangnya selepas hampir 5 tahun memerintah jangankan hendak mengurangkan cukai pintu, malah dinaikkan lagi mencanak-canak tingginya. Lebih memalukan cukai taksiran ini dinaikkan secara senyap-senyap sehingga menimbulkan kekeliruan kepada rakyat. Jika berdasarkan kenyataan akhbar terdapat kenaikan 100% dan lebih.
7. Kerajaan Negeri sepatutnya bersikap profesional dengan membuat pengumuman terbuka jika melakukan sebarang kenaikan taksiran bukannya "buat-buat bodoh" seolah-olah tidak ada apa-apa berlaku.
8. Apabila diasak Tan Sri Khalid Ibrahim menyalahkan Kerajaan Persekutuan. Menurut beliau kenaikan cukai taksiran kerana Jabatan Harta Benda di bawah Kementerian Kewangan menaikkan nilaian hartanah. Kenyataan ini sangat tidak masuk akal kerana penilaian oleh jabatan tersebut tidak semestinya diikut oleh PBT dalam menentukan cukai taksiran. Malahan PBT boleh sahaja mengguna pakai kadar lama tanpa sebarang masalah jika Khalid benar-benar mahu menunaikan janji pilihan rayanya.
9.. Ini bukan kali pertama kerajaan pakatan memungkiri janji dan menipu rakyat. Para pembaca hanya perlu melakukan carian dalam blog ini sahaja pun sudah banyak penipuan dilakukan oleh kerajaan negeri.
10. Dan saya percayalah ini bukan kali terakhir Pakatan akan menipu rakyat. Berdasarkan Buku Jingga mereka banyak lagi janji dan manifesto akan dimungkiri kerana tidak dapat dilaksanakan secara realiti.
11. Apa pun saya berbangga dengan rekod Barisan Nasional yang akan tetap berkata benar biar pun pahit. BN bukan parti yang sempurna tetapi sekurang-kuranngya ia menyatakan apa yang benar dalam melaksanakan polisi. Jika ia tidak mampu memberi bulan dan bintang maka ia tidak menjanjikan bulan dan bintang.
12. Terserah kepada rakyat sama ada masih mahu mempercayai janji-janji manis Pakatan atau kembali kepada realiti yang ditawarkan oleh Barisan Nasional.
Dengar guruh di langit, air dalam tempayan jangan dicurahkan,takut nanti hujan tak jadi kita kehausan.Mudah berjanji, mudah pula termakan janji;lain yang dijanji lain pula yang dilakukan.
Sumber
0 comments:
Post a Comment