Calon PKR Akan Hancur Menjelang PRU13
Friday, 21 December 2012
KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) mencadangkan supaya semua parti menghantar nama-nama calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) untuk ditapis atau melalui proses pemeriksaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pengerusi PPPR Datuk Johan Jaafar berkata cadangan itu bagi memastikan calon-calon yang bakal bertanding 'bersih' daripada rasuah selain mengelak sebarang tohmahan tidak berasas ke atas mana-mana individu atau parti dibelakang calon itu.
"Kita mengambil semangat bahawa semua parti telah menyatakan sokongan untuk memerangi gejala rasuah. Maka itu, kami mengharapkan sokongan semua pihak dalam soal ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat panel itu di sini, hari ini.
Beliau berkata tapisan itu membabitkan semua calon dari semua parti sama ada mereka yang sudah menjadi anggota Parlimen atau Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) yang bakal dicalonkan semula atau pertama kali bertanding.
Menurutnya mekanisme tapisan atau pemeriksaan itu akan ditentukan oleh pihak SPRM.
Dalam pada itu, Johan berkata PPPR turut mencadangkan supaya semua anggota pentadbiran kerajaan di peringkat pusat dan negeri serta anggota keluarga terdekat tidak melibatkan diri dalam permohonan untuk kontrak kerajaan.
Beliau berkata cadangan itu untuk mengelakkan berlakunya konflik kepentingan dan juga menutup ruang dan peluang bagi perlakuan rasuah.
PPPR turut mengesyorkan agar semua Anggota Parlimen dan Adun mengisytiharkan harta setiap tahun kepada SPRM bagi membuktikan komitmen mereka terhadap perang melawan rasuah.
"Mereka bukan sahaja harus berbuat demikian sebelum menjawat jawatan tetapi juga setelah setiap tahun semasa menjawat jawatan. Tidak ada pengecualian dalam hal ini," katanya.
Sementara itu, Johan berkata program jabatan angkat akan diperluaskan ke jabatan dan agensi lain dalam usaha menutup ruang dan peluang rasuah.
Buat masa ini, katanya PPPR telah mengadakan siri perbincangan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
"Ia diharapkan dapat membaiki nama baik jabatan dan agensi berkenaan di mata rakyat termasuk soal persepsi," katanya.
Selain itu, PPPR yang bermesyuarat hari ini turut berpendapat bahawa pemberian dalam bentuk apa sekalipun termasuk hamper pada hari-hari perayaan, patut dihentikan walau apa pun niat dan motifnya.
"Kami menyedari pemberian cara ini adalah sebahagian daripada budaya rakyat negara ini. Bagaimanapun, kami berpendapat ada kemungkinan bahawa pemberian ini digunakan bagi tujuan tertentu sebagai 'mengambil hati' atau pujukan," katanya.
Memandangkan penjawat awam mempunyai pekeliling khusus kerajaan berkaitan hal itu, Johan berkata PPPR menyeru agar pihak swasta merangka tatacara khusus mengenai hal itu sesuai dengan konsep tadbir urus dan amalan baik bagi meningkatkan integriti pegawai.
PPPR turut mengesyorkan dewan bandaraya, majlis perbandaran dan kerajaan tempatan menggunakan model DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) atau mana-mana model yang telus dan baik bagi mengelakkan rasuah dalam urusan pemberian lesen Bazar Ramadan serta bazar lain sewaktu musim perayaan.
BERNAMA
1 comments:
Dapat dirasakan kesemua calon-calon PKR, PAS dan DAP kini menggeletar lutut. Didoakan supaya peraturan berkaitan dilaksanakan untuk PRU 13 ini. Nescaya semua calon mereka tidak layak bertanding.....
Post a Comment