Powered by Blogger.

Isu Selangor - MB Khalid berkeras tetap tidak turun cukai pintu?

Monday 24 December 2012

Penduduk kampung Baru Subang dan Kampung Baru Sungai Buloh mengadakan demonstrasi di hadapan Bangunan Majlis Bandaraya Shah Alam membantah kenaikan cukai pintu.


Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor tidak akan menurunkan cukai pintu di negeri ini termasuklah di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meskipun telah berjanji untuk melaksanakannya pada pilihan raya umum lalu. 

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri akan mengenakan cukai pintu berdasarkan kegunaan tanah yang mana kadarnya akan dinaikkan sekiranya tanah itu dibangunkan untuk tujuan tertentu seperti industri dan sebagainya.

"Kalau tanah itu tidak dibangunkan, maka cukai pintu yang dikenakan adalah rendah. Apabila tanah itu digunakan untuk bangunkan kilang dan sebagainya, maka cukai pintunya akan berubah (meningkat).

"Cukai pintu yang kita berikan itu adalah munasabah mengikut kegunaan tanah. Kalau tidak bayar cukai pintu, bagaimana kita mahu bangunkan Shah Alam," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Pada 15 Disember lalu, Pengerusi MCA Bahagian Subang, Lee Wei Kiat menyelar tindakan MBSA menaikkan cukai pintu sehingga 10 kali ganda ke atas penduduk Kampung Baru Subang dan Kampung Baru Sungai Buloh berkuatkuasa pada tahun depan.

Sambil menyifatkan kenaikan cukai pintu itu sebagai keterlaluan, Wei Kiat turut mendesak supaya MBSA dan kerajaan negeri di bawah pimpinan pakatan pembangkang menarik balik kenaikan cukai tersebut.


Pada 17 Disember lalu, Koordinator Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed pula menyatakan kenaikan tersebut bercanggah dengan manifesto pakatan pembangkang pada pilihan raya umum 2008 yang mahu menurunkan 20 peratus cukai pintu bagi kediaman dan 10 peratus peratus bagi premis peniagaan di Selangor.

Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid ketika mengulas mengenai kenaikan kadar cukai pintu yang dikenakan ke atas penduduk Kampung Baru Subang dan Kampung Baru Sungai Buloh berkata, pihaknya telah mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi memberikan penerangan mengenai kenaikan cukai tersebut.

Jawatankuasa khas tersebut katanya, akan dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaikan Kilang Haram negeri, Ean Yong Hian Wah dan dianggotai oleh Timbalan Datuk Bandar MBSA (Mohtar Hani) dan wakil-wakil daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Perbendaharaan Selangor.

"Jawatankuasa ini akan menerangkan dan memberikan pandangan mengenai isu kenaikan cukai pintu ini. Jawatankuasa ini akan adakan penerangan sebelum bulan Jun tahun depan kerana pembayaran cukai pintu mesti dijelaskan dalam bulan tersebut," ujarnya.

Sumber

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP