Powered by Blogger.

Minta bantuan asing - BN Selangor dedah bukti?

Tuesday 25 December 2012



Parti Keadilan Rakyat (PKR) didakwa meminta bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) asing yang ada kaitan dengan Yahudi untuk memenangi pilihan raya di negara ini.

Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, bukti-bukti yang sebahagiannya diterima daripada sumber dalaman PKR itu menunjukkan parti tersebut menjalin kerjasama dengan Konrad Adeneur Foundation (KAF).

Beliau berkata, KAF merupakan sebuah pertubuhan yang membantu golongan neo-konservatif Yahudi melalui sebuah jawatankuasa yang dikenali American Jewish Committee (AJC) dan dipercayai menerima dana daripada National Endownment for Democracy (NED) yang juga didakwa turut mempunyai pertalian dengan Anwar.

''Bukti yang ada menunjukkan Penasihat parti tersebut, Anwar Ibrahim Anwar sememangnya menjalinkan kerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan luar, selain menerima dana serta latihan bagi membolehkan mereka menguasai negara ini,'' katanya pada sidang akhbar di sini.

Beliau berkata, dalam membantu PKR, KAF dikatakan menggerakkan operasi di negara ini melalui dua pendekatan yang dikenali sebagai 'dialog politik' termasuk ceramah dan 'pembangunan media' untuk merealisasikan agenda tersebut.


Selain itu, katanya, selain KAF, salah satu cabang di bawah NED iaitu National Democratic Institute for International Affairs (NDI) didakwa turut terlibat secara langsung membantu PKR dan Anwar dari segi dana dan buah fikiran untuk menguasai politik di negara ini.

''NDI didakwa turut menyediakan buku panduan yang menggariskan pendekatan dan kaedah untuk PKR memenangi pilihan raya.

''Kita ada bukti, dokumen serta surat-surat rasmi yang mengaitkan pembabitan Anwar mengenai perkara ini. Malah, buku panduan yang diterbitkan NDI itu turut diterjemah kepada beberapa bahasa iaitu bahasa Melayu, Tagalog, bahasa Indonesia dan Thailand.

''Apa tujuan NDI menghasilkan buku panduan itu yang seolah-olah menjadi 'kitab' kepada pakatan pembangkang khususnya PKR. Apa rasionalnya pihak asing memberi panduan kepada PKR untuk menguasai politik negara ini kalau tidak disusuli dengan agenda-agenda tertentu," katanya.

Dakwa Mohd. Zin lagi, berdasarkan buku panduan yang dikenali sebagai 'Buku Panduan Perancangan Kempen Politik' antaranya menyentuh mengenai pendekatan menyebarkan dakyah bahawa kononnya Malaysia tidak mempunyai kebebasan media dan beragama.

Buku panduan itu, dakwa beliau, turut menerbitkan prakata daripada individu yang dikenali sebagai 'Stephanie Lynn' yang merupakan Pengarah Program Kanan NDI dan bertanggungjawab menguruskan program-program agensi itu di Malaysia dan Myanmar.


Pada masa yang sama, Mohd. Zin turut menjelaskan gerakan Anwar dan agensi asing itu bermula selepas pilihan raya umum 2004.

''Ia kemudiannya berlanjutan bagi menghadapi pilihan raya umum 2008 dan berterusan menerusi gerak kerja untuk pilihan raya umum akan datang,'' katanya.

Pada masa yang sama, beliau mendakwa, kaedah yang dilancarkan oleh Anwar dan agensi asing itu turut melibatkan pendekatan 'kempen kebencian' bagi menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan BN termasuk menyentuh isu-isu sensitif.

''Contoh paling nyata ialah mereka secara halus menggunakan isu Hindraf bagi membangkitkan kemarahan rakyat. Begitu juga pada pilihan raya negeri Sarawak sebelum ini apabila pemimpin-pemimpin PKR tidak jemu menggunakan isu Kristian bagi mewujudkan perpecahan rakyat berbilang kaum.

''Anwar sendiri pernah mengucapkan mengenai 'Arab Spring' bagi memberi idea kepada rakyat bahawa 'Malaysia Spring' akan berlaku. Beliau menggunakan pengaruh golongan muda dan contoh-contoh kejatuhan rejim di negara-negara Asia Barat untuk menghasut rakyat membenci pemimpin mereka. Semua itu merupakan idea dan buah fikiran KAF dan NDI," tegasnya.

Kata beliau, kempen kebencian itu dilihat amat berbahaya dan berunsurkan subversif yang boleh menggugat keselamatan rakyat dan negara.

''Berdasarkan maklumat yang diterima, KAF juga turut menaja ejen-ejen yang terpilih dalam pakatan pembangkang untuk mengikuti latihan meliputi penyusunan propaganda; gerak kerja unit khas DUN (Dewan Undangan Negeri) dan pasukan Khas; Perisian SisMap (sistem pangkalan data) serta menggodam e-mel individu yang disasarkan terutamanya agensi kerajaan," katanya.

Sumber

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP