Karnival Sayangi Selangor Dekati Golongan Belia
Sunday, 30 December 2012
Karnival Sayangi Selangor yang berlangsung bermula semalam hingga 31 Disember ini merupakan salah satu pendekatan Barisan Nasional (BN) untuk mendekati rakyat khususnya golongan muda.
Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berkata, masa depan negara terutamanya di negeri Selangor bergantung kepada keupayaan daya produktiviti rakyat khususnya golongan belia.
"Jumlah penduduk di negeri Selangor ini hampir 50 peratus terdiri daripada golongan yang berumur 40 tahun kebawah.
"Mereka ini merupakan satu tenaga sumber manusia yang kuat dan kukuh untuk menjamin sama ada kelangsungan didalam usaha yang sedang dibangunkan oleh PM didalam melakukan gagasan transformasi secara besar-besaran di Malaysia," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Karnival Sayangi Selangor di I-City malam tadi.
Selain itu, Mohd. Zin turut berkata, karnival yang dianjurkan oleh BN Selangor itu adalah untuk semua rakyat Malaysia terutama pada musim cuti persekolahan.
"Tujuan dan matlamat karnival ini dianjurkan adalah untuk semua rakyat Malaysia khususnya rakyat negeri Selangor untuk menghabiskan masa bercuti panjang pada hujung tahun ini dan bagi memperkuatkan lagi barisan kita untuk menghadapi tahun baru.
"Kehadiran pengunjung disini bersama kami urus setia di peringkat BN negeri Selangor ini supaya bersesuaian dengan amanat yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak", katanya.
Pada sebelah petang, orang ramai yang berkunjung ke tapak Karnival turut dihiburkan dengan pertandingan Gendang India dan pertandingan memasak.
Pada karnival tersebut, lebih 100 gerai kepada pengunjung yang menjual pelbagai produk termasuk hasil keluaran industri kecil dan sederhana serta produk daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor akan dijual pada harga berpatutan.
Karnival itu turut mendapat kerjasama daripada badan korporat dan swasta menerusi pameran kerjaya dengan 6,000 tawaran peluang pekerjaan untuk diisi oleh rakyat.
Dalam pada itu, pengunjung juga berpeluang berhibur bersama keluarga dalam Konsert Ambang Tahun Baru 2013 yang diadakan pada malam kemuncak karnival iaitu pada 31 Disember ini yang menampilkan artis tempatan seperti Alyah, Fiq, Logeswaran, Jinbara dan sebagainya termasuk penampilan khas artis Bollywood.
Selain itu, acara kemuncak karnival tersebut dijangka dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan turut serta mengadakan countdown ambang tahun baru 2013 yang disusuli dengan pertunjukan bunga api.
Sumber
0 comments:
Post a Comment