Powered by Blogger.

Demo Aman 'Selamatkan Padang PKNS' : Desak MB Jelas Isu Perwartaan

Monday 4 June 2012

alt


PETALING JAYA, 3 Jun 2012 - Penduduk Kelana Jaya serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang meneruskan bantahan terhadap cadangan membangunkan padang bola PKNS di sini, mendesak kerajaan negeri Selangor memberi penjelasan terhadap isu dua status pewartaan padang itu yang dilihat saling bercanggah.

Penyelaras Barisan Nasional Seri Setia, Datuk Abdul Halim Samad yang turut bersama kira-kira 200 orang yang mengadakan bantahan itu pada Ahad berkata, Menteri Besar hendaklah memberi penjelasan tentang dua status pewartaan yang berbeza itu dankemungkinan berlakunya penyelewengan dalam perkara tersebut.

"Kami mahu projek ini dibatalkan sama sekali. Ada yang mencadangkan agar projek itu dipindahkan ke tempat lain agar tidak mengorbankan padang harian kesayangan para penduduk di kawasan ini,” katanya kepada pemberita.

Sehubungan itu, beliau menyeru Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Menteri Besar supaya memberikan satu penjelasan sama ada wujud penyelewengan atau tidak terhadap isu tersebut.

Abdul Halim berkata, satu laporan polis akan dibuat sekiranya MBPJ dan Menteri Besar gagal memberi penjelasan yang munasabah kepada para penduduk.

Rabu lepas media melaporkan terdapat dua dokumen yang saling bercanggah dalam Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2 (RTPJ2) di mana dokumen Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menunjukkan padang itu diwartakan sebagai tapak perniagaan dan perkhidmatan manakala dokumen sama Jabatan Pembangunan Bandar dan Desa Selangor menunjukkan kawasan itu diwartakan sebagai tanah lapang dan rekreasi.

Sebelum itu, ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Derek John Fernandez mahu satu siasatan dijalankan dengan segera jika Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor serta Jabatan Perancangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya gagal tampil memberikan jawapan yang munasabah.

Beliau turut mempertikaikan berlakunya percanggahan diantara dokumen RTPJ 2 milik Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor dan dokumen milik Jabatan Perancangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya membabitkan fakta-fakta yang melibatkan padang kompleks sukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Kedua-dua dokumen tersebut saling bercanggah diantara satu sama lain apabila padang kompleks sukan PKNS didakwa sudah diwartakan sebagai tanah komersil namun menurut dokumen milikan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor, padang tersebut masih diletakkan sebagai kawasan rekreasi.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George juga menyifatkan kerajaan negeri pimpinan PKR cuai dalam hal ehwal pentadbiran agensi mereka sendiri, malah mendakwa pembangunan negara akan mundur ditangan pembangkang memandangkan pentadbiran berskala kecil seperti isu padang kompleks sukan PKNS gagal dilaksanakan oleh pentadbiran kerajaan negeri.

"Bagaimana boleh terjadi percanggahan ini? Mengapa tiada inisiatif mahupun perancangan daripada kerajaan negeri untuk menyeragamkan RTPJ 2 ini? Adakah terdapat kepentingan mereka dalam percanggahan itu?," katanya.



"Amat memalukan jika kerajan negeri tidak berupaya mentadbir hinggakan tidak tahu apa yang berada di 'tangan kiri' dan apa yang berada di 'tangan kanan'.



"Saya mahu melihat apa pula alasan yang akan diberikan diatas kegagalan dan percanggahan ini," tegas Jacob George.


TQ KLPOS

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP