Powered by Blogger.

Adakah Forum Air Selangor Forum Syok Sendiri Tanpa Syabas?

Monday, 18 June 2012



Kerajaan negeri Selangor menganjurkan Forum Air Selangor minggu lepas bagi memberikan penjelasan kepada orang ramai tentang situasi air di negeri ini berikutan perbalahan media yang tidak berkesudahan antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Pusat dan operator air di negeri ini.

Dalam kenyataan MB Selangor sebelum forum tersebut mengatakan bahawa pihak Syabas akan dijemput jika ianya relevan. Satu kenyataan yang sungguh pelik kerana selaku pemain utama dalam industri air di negeri Selangor, MB masih tidak jelas sama ada Syabas mahupun syarikat yang merawat air itu relevan atau tidak khususnya untuk membincangkan isu air.

Di mana rasionalnya kenyataan tersebut? Kalau mereka yang terlibat dalam industri air tidak ada dalam forum sepenting ini, di mana kewibawaan dan kredibiliti forum tersebut?

Atau lebih kepada forum syok sendiri supaya mendapat publisiti murahan untuk mengaburi mata rakyat Selangor. Apa bezanya forum ini dengan kenyataan media yang selalu dibuat oleh MB jika ia bukan terbuka untuk berbincang dan membahaskan maklumat tepat berhubung isu ini? Sekali lagi MB bermain politik dalam isu ini kerana mengelirukan rakyat Selangor dan pengguna.

Forum tersebut juga dikatakan akan mencari penyelesaian terbaik bagi menghadapi krisis kekurangan bekalan air secara menyeluruh. Bukankah penyelesaian terbaik adalah dengan menjemput kesemua operator air yang terlibat kerana mereka mempunyai data dan maklumat lengkap berkenaan status pembekalan dan permintaan air terkini.

Dengan cara ini, forum yang diadakan menjadi seimbang kerana semua pihak yang terlibat lebih memahami bidang tugas mereka dan dalam masa yang sama akan turut memberikan buah fikiran untuk menangani isu ini dengan lebih berkesan.



Forum ini juga sepatutnya menjadi satu platform untuk mencari penyelesaian jangka panjang, dan segala data dan maklumat yang diperoleh dari pihak yang terlibat dijadikan rujukan kerajaan negeri dalam merangka pembangunan mampan sebagaimana yang diuar- uarkan mereka.

Tambahan pula, negeri Selangor, khususnya peserta forum ini rata-rata merupakan ketua industri di Selangor dan mereka yang terlibat dalam industri besar, dan sederhana, maka wajarlah jika maklumat yang disampaikan itu mempunyai kredibiliti dan tepat.

Kerajaan negeri tidak sepatutnya menolak kewibawaan pihak yang bernaung di bawah industri pembekalan air kerana jika mereka disisihkan, forum yang dibincangkan hanya berat sebelah kepada satu perkara sahaja.

Harap penganjur forum dan kerajaan negeri bersikap neutral jika ingin benar-benar menyelesaikan isu bekalan air di Selangor dan sekali gus mengelakkan krisis bekalan air benar-benar terjadi.

Namun apa yang berlaku adalah tiada keputusan kukuh yang diumumkan semasa forum tersebut selain hanya bercadang untuk meneliti setiap cadangan yang ada. Hakikatnya kita semakin kesuntukan masa. Fikir-fikirkanlah..!!!

Sumber : Ocean 13

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP