PKR Bergolak: Geran RM300J Bukti PKR Amal Politik Kotor – Zin Mohamed
Tuesday, 26 June 2012
Parti PKR Selangor sekarang berada diambang perpecahan yang paling kronik sekali sekarang ini. Seperti kata pepatah, ‘bangkai gajah tidak boleh ditutup’, satu demi satu kepincangan pentadbiran kerajaan negeri yang dipimpin oleh PKR semakin terdedah.
Koordinator BN Selangor, Dato’ Sri Ir Mohd Zin Mohamed berkata, mereka (PKR) sendiri dalam diam saling bercakaran,bukan lagi rahsia apabila kita semua sedia maklum Azmin Ali tidak mempunyai hubungan baik dengan Khalid Ibrahim. Malahan kesan dari hubungan yang goyah ini, pentadbiran kerajaan Negeri Selangor berada dalam keadaan terumbang-ambing. Kesannya, rakyat Selangor terpaksa menanggung akibat pergeseran politik mereka ini.
“Dalam diam, Setiausaha Politik MB Selangor, Faekah Husin yang merupakan antara punca pergeseran politik ini dilihat terus mengukuhkan kuasa beliau. Malah ada desas-desus mengatakan, banyak keputusan Faekah dibuat tanpa langsung merujuk kepada MB sendiri. Isu Geran Selangorku bernilai RM 300 juta merupakan contoh paling sesuai untuk menggambarkan betapa kerajaan Negeri Selangor pimpinan PKR ini mengamalkan politik kotor.
Sehingga kini, Menteri Besar masih lagi berdolak dalih dalam menyatakan sumber sebenar wang RM 300 juta itu. Mereka mengaku ianya adalah dari hutang yang dikutip namun dalam kenyataan lain, MB sendiri mengaku bahawa RM 300 juta ini tidak termasuk hutang Talam yang dikutip oleh kerajaan negeri. Persoalannya kenapa berdolak dalih?,” ujarnya kepada media dalam sidang media isu-isu semasa Selangor di Ibu Pejabat BN Selangor sebentar tadi.
Tambahnya, tiada sebarang data terperinci yang menjelaskan mengenai sumber kewangan RM 300 juta ini. Tambah menghairankan, kelulusan sejumlah besar wang ini langsung tidak melibatkan pegawai Kewangan Negeri tetapi hanya melalui beberapa individu dalam Menteri Besar Incoperated (MBI), termasuk Faekah sendiri.
Perbelanjaan wang yang kononnya dikatakan akan dibuat secara tender terbuka tidak berlaku seperti yang dinyatakan. Berdasarkan maklumat dalaman yang kami terima, pengagihan RM 300 juta ini adalah untuk tujuan infrastruktur yang akan dibuat dalam empat fasa.
“Kami percaya, ini sebenarnya merupakan dana khas Pilihanraya ke-13 yang cuba disembunyikan oleh Kerajaan Negeri dan MB sendiri. Tambah menghairankan, kenapa perlunya kuasa mutlak MB untuk menentukan kepada siapa peruntukan ini disalurkan jika kaedah tender terbuka digunapakai? Berdasarkan makluman dalaman, Faekah Husin sebenarnya yang mengawal pengagihan wang ini. Perkara ini berlaku diluar pengetahuan MB sendiri.
Persoalan yang ditimbulkan dalam Dewan Undangan Negeri mengenai ke mana wang itu sebenarnya dibelanjakan tidak dijawab dengan baik oleh MB Selangor. Sehingga kini, masih belum ada sebarang maklumat rasmi mengenai angka-angka ini selain hanya pengumuman demi pengumuman yang dibuat sekadar untuk mengaburi mata rakyat.
Strategi Kerajaan Negeri membentangkan budget kononnya secara seimbang kerana mengamalkan perbelanjaan berhemah hanyalah wayang semata-mata kerana setiap kali Sidang DUN diadakan, kerajaan negeri akan memohon budget tambahan. Adakah ini sikap berhemah kerajaan negeri?,” tambahnya yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor.
Dalam masa yang sama, tindakan MB mendedahkan butiran sumber wang ini kepada Exco sahaja menunjukkan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan geran Selangorku ini. Apa yang cuba disembunyikan? Adakah geran ini sebenarnya untuk menampung perbelanjaan pilihanraya Pakatan Rakyat dalam kempen PRU akan datang?
Contoh lain yang menunjukkan bahawa Faekah sebenarnya merupakan duri dalam daging yang mengucarkacirkan pentadbiran Kerajaan Negeri ialah tindakan beliau menggunakan kepala surat pejabat MB untuk memberikan surat sokongan untuk syarikat guaman keluarga beliau kepada Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) sebuah GLC milik kerajaan Negeri.
Tindakan Faekah ini diakui sendiri oleh MB, malah MB dengan bersahaja mengatakan ianya tidak menjadi satu kesalahan. Ini merupakan satu percanggahan amalan paling terang dilakukan oleh MB.
“Kita jangan lupa pada tahun 2008, Khalid Ibrahim menggantung tugas Pegawai Khas beliau, Mohd Yahya Sahri kerana menyalahguna kepala surat Pejabat MB Selangor untuk tujuan mengutip derma dari syarikat swasta bagi sambutan 100 hari pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor. Saya mencabar Khalid Ibrahim supaya mengambil tindakan ke atas Faekah seperti yang pernah dilakukan ke atas Yahya Sahri sebelum ini. Kita sama-sama nantikan apakah yang akan dilakukan oleh MB Selangor kepada Setiausaha Politik kesayangan beliau itu.
Sumber : Sahabat Gunung
0 comments:
Post a Comment