Powered by Blogger.

Non Revenue Water- Khalid Gagap Bagi Idea Bodoh!

Friday, 8 June 2012

Sejak dari mula lagi, saya telah menegaskan bahawa Isu Air yang dibangkitkan sebelum ini merupakan isu penting dan melibatkan kepentingan rakyat Selangor dan penduduk Lembah Klang. Saya telah mengingatkan kepimpinan Kerajaan Negeri Selangor terutamanya Menteri Besar Khalid Ibrahim bahawa Isu Air merupakan perkara penting melibatkan rakyat Selangor dan perkara ini tidak wajar dipolitikkan.

Namun begitu, seperti yang kita maklum, perkara sepenting ini dibuat main-main oleh Menteri Besar malah lebih sedih lagi Isu Air ini sengaja dipolitikkan demi kepentingan politik sempit Kerajaan Pakatan di Selangor. Segala fakta yang saya utarakan sebelum ini tidak dijawab dengan konkrik oleh pihak Menteri Besar malah beliau dengan angkuh menyangkal segala dakwaan saya berdasarkan fakta-fakta yang mengelirukan demi tujuan politik semata-mata. Kepentingan rakyat Selangor yang memerlukan air bersih dan terawat tidak lansung ditangani dengan baik.

Menteri Besar dengan sambil lewa mengakui bahawa sumber air mentah di Selangor adalah melebihi 100%. Ini adalah berdasarkan kepada jumlah air mentah yang berada di empangan di Negeri Selangor. Ingin saya nyatakan di sini bahawa, air terawat yang digunakan oleh Rakyat Selangor adalah daripada air sungai dan bukannya air dari empangan. Air dari empangan hanya akan disalirkan ke sungai-sungai apabila paras air sungai adalah rendah. Keduanya, loji merawat air yang ada sekarang sudah tidak mampu untuk menghasilkan air terawat jika dibandingkan dengan ‘demand’ yang semakin meningkat. Ketiga, ada loji terawat yang sudah mencapai tahap maksima penghasilan air (overload) dan ada loji yang mampu merawat tetapi tidak mempunyai sistem pengagihan air yang dapat menyalurkan air kepada pengguna.

Jawapan dangkal lain yang diberikan oleh Menteri Besar terhadap kenyataan saya bahawa reserve air hanyalah sekitar 2.4% sahaja iaitu penggunaan Non-Revenue Water (NRW) yang tinggi sekitar 30%. Menteri Besar dengan sambil lewa mencadangkan bahawa jika NRW ini diturunkan sehingga 20%, maka masalah reserve air yang rendah tidak wujud lagi. Suka saya nyatakan di sini bahawa, masalah NRW yang tinggi adalah atas tanggungjawab kerajaan negeri sendiri. Untuk makluman semua pihak, sejak pengambilalihan oleh syarikat konsesi dalam menguruskan pengagihan air pada tahun 2005, NRW adalah setinggi 42.78%.

Sejak dari itu jika saudara-saudari masih ingat, syarikat konsesi melakukan tindakan penukaran paip dan penguatkuasaan kes curi air secara besar-besaran. Sejak 2005, jumlah NRW menurun dari 42.78% kepada 32.31% pada tahun 2011. Masalah timbul sejak Kerajaan Pakatan mengambil alih Negeri Selangor. Kerajaan Negeri telah membekukan Perbelanjaan Modal (CAPEX) Syarikat Konsesi. Ini secara langung menyebabkan pihak syarikat tidak berupaya untuk meneruskan kerja-kerja penggantian paip yang lama dan telah rosak. Ini juga menyumbang kepada jumlah NRW yang tinggi. Sikap Kerajaan Negeri yang menunding jari kepada pihak Konsesi adalah tidak masuk akal sedangkan kerajaan negeri yang membekukan CAPEX ini. Tanpa modal yang cukup, syarikat konsesi tidak berupaya untuk melakukan kerja-kerja pembaikan paip. Ini boleh diarahkan kerana Kerajaan Negeri melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dan Kumpulan Peransang Selangor (KPS) memegang 30% dari saham syarikat konsesi sendiri. Agak menghairankan apabila Kerajaan Negeri yang juga sebahagian dari board of director syarikat sengaja membekukan CAPEX tetapi pada masa yang sama menuduh pihak syarikat konsesi tidak melaksanakan kerja-kerja untuk menurunkan peratus NRW.

Berdasarkan maklumat bahawa kerajaan negeri turut memegang saham pada syarikat Konsesi ini, maka kenyataan Setiausaha Politik Menteri Besar sebelum ini yang menuduh pengurusan air dilaksanakan oleh Syarikat kroni adalah tidak timbul, sedangkan kerajaan negeri sendiri merupakan sebahagian dari syarikat tersebut. Setiausaha Politik MB Selangor juga dengan lantang menyatakan bahawa kerajaan negeri akan berusaha membekalkan air bersih kepada rakyat Selangor, hakikatnya sehingga kini tiada sebarang plan yang jitu dan meyakinkan mengenai usaha kerajaan negeri itu. Apa yang dilaungkan hanyalah kata-kata politik semata-mata tanpa sebarang proposal bagi menangani isu air ini.

Sehingga kini, 33 pusat rawatan air mampu untuk menyalurkan 4,326 juta liter sehari. Bagaimanapun, penghasilan air terawat bagi kesemua pusat rawatan ini hanyalah 4,219.2 juta liter sehari. Jika dibandingkan antara nilai penghasilan dan penyaluran kepada pengguna, maka beza yang ada hanyalah 106.8 juta liter sehari. Jumlah 106.8 ini adalah nilai 2.4% reserve air itu. Jumlah ini adalah sangat rendah kerana dalam hari tertentu, penggunaan air di kawasan Lembah Klang adalah 7% lebih tinggi dari Average Demand Capacity. Dengan jumlah 2.4% ini, pihak konsesi air tidak mampu untuk menampung ‘demand’ yang meningkat terutamanya di musim kamarau dan musim perayaan.

Saya juga ingin memaklumkan trend terhadap ‘water demand’ ini. Sejak dari tahun 2005 hingga 2010, demand adalah menigkat sebanyak 3.5%. Peningkatan 3.5% demand dijangka meningkat secara tahunan dari 2013 sehingga 2015. Kerana kapasiti untuk menyalurkan air hanyalah 4,326 juta liter sehari dengan nilai reserve hanya 106.8 juta liter sehari iaitu 2.4%, dijangkakan rakyat Selangor akan menghadapi masalah air menjelang 2014 nanti.

Hakikatnya, krisis air yang dijangka berlaku pada tahun 2014 atau lebih awal adalah berdasarkan kajian dan unjuran berasaskan bukti dan maklumat sebenar oleh pakar air berwibawa dan diiktiraf. Kerajaan Negeri tidak mengemukakan bukti yang jelas tentang unjurannya mengenai krisis air ini. Saya sebagai rakyat yang bertanggungjawab ingin memaklumkan kepada rakyat Selangor bahawa jangkaan masalah kekurangan air ini adalah benar dan akan berlaku. Namun ianya dinafikan oleh kerajaan Negeri malah tanpa ada rasa tanggungjawab mereka mempolitikan isu ini untuk kepentingan peribadi.

Kerajaan negeri juga mempunyai saham di loji-loji rawatan air yang diuruskan oleh syarikat-syarikat konsesi ini. Sikap lepas tangan kononnya syarikat ini tidak berkaitan dengan kerajaan Negeri adalah satu sikap lepas tangan yang begitu memalukan sekali.

Saya yakin kepimpinan Kerajaan Negeri akan terus menafikan isu ini dan mengalihkan isu ini dengan kenyataan-kenyataan politik tanpa fakta taknikal yang kukuh. Mereka akan ‘menjerit’ menyatakan mengenai pemberian air percuma, syarikat konsesi adalah syarikat kroni Barisan Nasional, mutu air yang rendah dan jumlah Non-Revenue Water yang tinggi namun hakikatnya semua masalah dan tuduhan yang mereka lemparkan ini terpalit kembali kepada Kerajaan Negeri. Pemberian air percuma adalah langsung tidak menyeluruh. Masih ramai lagi rakyat yang miskin dan tidak mampu terpaksa membayar harga air yang tinggi kerana menggunakan meter pukal. Ini langsung tidak disentuh oleh mereka. Tuduhan syarikat konsesi adalah kroni Barisan Nasional tidak masuk akal memandangkan kerajaan Negeri juga turut mempunyai saham dalam syarikat ini malah terlibat dalam mesyuarat lembaga pengarah. Mutu air yang rendah adalah kerana kerajaan negeri tidak memantau kilang-kilang yang beroperasi di persisir sungai di negeri Selangor ini. Tiada tindakan tegas dikenakan menyebabkan sisa-sisa kilang terus dibuang ke dalam sungai tanpa dirawat terlebih dahulu. Akhirnya, kenyataan mengenai NRW juga berpunca dari sikap kerajaan Negeri yang sengaja membekukan Perbelanjaan Modal (CAPEX) syarikat konsesi. Pembekuan ini menyebabkan syarikat konsesi tidak dapat menukar paip-paip lama yang berkarat dan rosak seterusnya menjejaskan kualiti air.

Sekali lagi saya ingin menyatakan kepada seluruh rakyat Selangor bahawa krisis air ini adalah serius. Memang negara kita mempunyai jumlah hujan yang cukup, namun hakikatnya air terawat memerlukan loji dan teknologi rawatan yang sistematik. Kerajaan Barisan Nasional telah memulakan projek ini kerana kami memandang kehadapan. Namun sikap Kerajaan Negeri yang sanggup membekukan projek Langat 2 amatlah dikesalkan. Sehingga kini tiada alasan diberikan tetapi sekadar mahu menunjukkan kuasa yang tidak menguntungkan sesiapa. Barisan Nasional berjanji akan menyelesaikan isu ini apabila kembali memerintah Selangor selepas PRU ke 13 nanti.

Sekian, terima kasih.

Sayangi Selangor, Yakini BN.

Dato’ Sri Ir Mohd Zain Mohamed

Koordinator BN Selangor


Sumber : Kita Gempur

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP