Powered by Blogger.

Hipokrasi Dalam Menangani Isu Air Di Selangor

Monday 4 June 2012

alt

Pada tahun 1998, sebahagian besar Lembah Klang telah menghadapi krisis air yang memberi kesan kepada hampir 1.8 juta penduduk. Nyata keadaan ini telah memaksa penduduk berada dalam tempoh catuan air dari bulan Mac hingga April 1998.

Krisis air tahun tersebut berpunca apabila paras air di empangan semakin menurun dan kuantiti air mentah yang dibekalkan juga semakin merosot. Krisis air 1998 dikatakan berpunca daripada dua faktor; kemanusiaan dan iklim.

Waktu itu, kegiatan pembalakan giat dilakukan di kawasan-kawasan tadahan hujan yang menjadi punca bekalan air untuk penduduk di Lembah Klang. Kegiatan pembalakan ini memusnahkan kawasan tadahan hujan dan memberi kesan kepada paras air di Empangan Semenyih, Empangan Batu, Empangan Sungai Langat, Empangan Klang Gate dan Loji Ampang Intake.

Menyedari reaksi dan kesan kegiatan pembalakan ini kepada bekalan air di Lembah Klang, Menteri Besar Selangor pada ketika itu Datuk Abu Hassan Omar telah mengarahkan segala kegiatan pembangunan dan penerokaan di kawasan tadahan hujan dihentikan.

Walau bagaimanapun, melalui tinjauan yang dilakukan terdapat aktiviti pembalakan secara haram tetap diteruskan di beberapa kawasan tadahan hujan. Jelas aktiviti pembalakan secara haram ini sering menjadi duri dalam daging bagi mana-mana kerajaan negeri sehingga kini, apabila kegiatan ini mengundang padah dan pelbagai masalah lain yang berkaitan dengan alam sekitar.

Faktor iklim pula dikaitkan dengan fenomena El-Nino yang melanda negara sekitar tahun 1997 hingga 1998. Fenomena El-Nino menyebabkan suhu meningkat hingga mencecah 40 darjah celcius mengundang kepada permasalahan jerebu dan kemarau.

Rentetan daripada fenomena ini, paras air di empangan-empangan yang membekalkan air ke Selangor dan Lembah Kelang menyusut. Ditambah dengan kegiatan aktiviti pembalakan haram di kawasan tadahan hujan seperti yang dinyatakan diatas, maka gabungan dua faktor ini cukup untuk mencetuskan krisis bekalan air pada ketika itu.

Lim Kit Siang, dalam satu sidang media yang diadakan pada 14 April 1998 telah mempersoalkan langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Abu Hassan Omar hingga menyebabkan penduduk Lembah Klang pada ketika itu mengalami krisis air.

Antara kenyataan yang dikeluarkan oleh Lim Kit Siang dalam sidang akhbar berkenaan ialah ‘Such a situation should not have happened as the water authorities should have had adequate time and experience since the start of the water shortage crisis to plan in advance to ensure that there is an efficient contingency strategy to deal with the worsening of the crisis.’

alt

Pada 29 June 1998, satu sidang media diadakan di Petaling Jaya oleh Lim Kit Siang sebagai ketua pembangkang pada ketika itu bagi menjemput Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu dan Menteri Besar Selangor, Datuk Abu Hassan Omar untuk menghadiri Forum Krisis Air yang dianjurkan oleh ‘Council for Justice, Freedom, Democracy and Good Governance’. Forum Krisis Air itu diadakan di ‘Selangor Chinese Assembly Hall’ pada 2 Julai 1998.

Antara ahli panel forum ialah Mohammad Sabu (PAS) , Dr. Sanusi Othman (Parti Rakyat), Dr. Mohammad Nasir (Parti Sosialis Malaysia) , Dr. Tan Seng Giaw (DAP) , Lim Guan Eng (DAP) , Teng Chang Khim (DAP) dan Lim Kit Siang (DAP). Forum yang dianjurkan ini jelas menunjukkan peranan yang dimainkan oleh gabungan parti-parti pembangkang pada ketika itu dalam menjuarai isu krisis air yang melanda Lembah Kelang.

Mengambil iktibar dari krisis air 1998, kerajaan pusat telah mengambil beberapa inisiatif untuk mengelakkan krisis yang lama daripada berulang. Antara inisiatif yang diambil ialah dengan meluluskan projek Penyaluran Air Mentah Pahang – Selangor yang memakan belanja sehingga RM 3.936 billion dan juga projek Loji Rawatan Air Langat 2.

Namun apabila tampuk pemerintahan Selangor diambil alih, kerajaan negeri PKR seperti sengaja melengah-lengahkan projek ini bagi memberi tekanan kepada kerajaan pusat untuk melaksanakan penstrukturan semula air di Selangor. Malah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mendakwa bekalan air di Selangor mencukupi sehingga tahun 2019.

Kenyataan yang dibuat Tan Sri Khalid Ibrahim ini agak mengejutkan kerana setelah pelbagai forum yang dianjurkan oleh kumpulan pembangkang pada tahun 1998 dan maklum balas yang diterima mereka, tindak tanduk yang ditunjukkan kini seolah-olah menidakkan sesuatu yang pernah mereka perjuangkan pada satu ketika dahulu.

Ahli –ahli panel tahun 1998 seperti Mohammad Sabu, Dr. Tan Seng Giaw, Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang seolah-olah terkunci mulut kerana tidak memberi kenyataan balas bagi membidas kenyataan yang dikeluarkan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim itu. Walau bagaimanapun, MP Klang, Charles Santiago mempunyai pendapat yang agak berlainan.

Pada 23 Julai 2010, MP Klang dari DAP, Charles Santiago dalam satu sidang media mengakui permintaan air semakin meningkat di Selangor dan Lembah Klang. Beliau mendakwa projek bekalan air mentah Pahang – Selangor akan gagal kerana projek itu hanya akan menjamin bekalan air yang mencukupi di Selangor dan Lembah Klang sehingga tahun 2025 sahaja.

alt

Dalam sidang media itu juga, Charles Santiago meminta supaya kedua-dua kerajaan negeri dan pusat berhenti mempolitikkan isu air dan bekerjasama dalam mencari penyelesaian jangka masa panjang.

Pendapat Charles Santiago ada asasnya dan selari dengan titah yang dikeluarkan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah supaya kerajaan negeri tidak mempolitikkan isu air kerana ia sumber yang amat diperlukan rakyat untuk membangunkan negeri.

Kita tak mahu lagi melihat pemandangan di tahun 1998 berulang dimana orang-orang tua terpaksa berbaris dan mengangkut air terutama bagi mereka yang tinggal di unit rumah-rumah pangsa dan apartmen.

Kerajaan negeri Selangor seharusnya cepat membuat keputusan dan memberikan kerjasama dalam meneruskan projek bekalan air mentah Pahang – Selangor dan Loji Rawatan Air Langat 2 sebelum keadaan menjadi kritikal dan yang menjadi mangsa akhirnya adalah rakyat.

TQ KLPOS

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP