Powered by Blogger.

Kompleks Sukan PKNS Kelana Jaya: MB serah pengurusan PKNS tentukan pembangunan

Wednesday 28 March 2012


Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan menyerahkan kepada pihak pengurusan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berhubung pembangunan di kawasan Kompleks Sukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Kelana Jaya.

Beliau berkata, pihaknya tidak menghalang untuk PNKS untuk melaksanakan apa juga projek pembangunan di lokasi berkenaan dengan nilai yang sesuai. 

Sungguhpun begitu katanya, beliau tidak membenarkan PKNS menjual tanah tersebut selain meminta agar anak syarikat kerajaan negeri itu melakukan sendiri kerja-kerja pembangunan di tanah berkenaan bukannya kepada syarikat lain.

"Kita (kerajaan negeri) tidak halang pegawai PKNS bagaimana untuk melaksanakan pembangunan hartanah berkenaan (Kompleks Sukan PKNS di Kelana Jaya).

"Tetapi PKNS tidak boleh buat amalan mengambil 30 peratus daripada hasil projek manakala 70 peratus kepada syarikat lain menerusi konsep usaha sama.

"Sebaliknya PKNS harus melaksanakan sendiri sebarang projek pembangunan di kawasan berkenaan yang mana 70 peratus hasil diperolehi oleh PKNS manakala 30 peratus diberikan kepada syarikat usahasama yang berperanan sebagai pelabur," katanya.

Abdul Khalid (PKR-Ijok) berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ismail Sani (BN-Dusun Tua) mengenai PKNS yang dikatakan akan menjual tanah di Kompleks Sukan PKNS Kelana Jaya untuk tujuan komersial.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai perkara itu, Abdul Khalid turut meminta agar pengurusan PKNS perlu membuat perbincangan dengan masyarakat tempatan sebelum melaksanakan apa-apa  pembangunan di kawasan berkenaan.

Malah katanya, hasil daripada projek projek pembangunan itu, PKNS boleh menyalurkan untuk membina projek-projek lain melibatkan rumah mampu milik di negeri ini.

"Namun, semua pembangunan harus dilakukan secara profesional," ujarnya.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP