Powered by Blogger.

Wawancara : BN Kena Tawan Semula Selangor!

Tuesday, 3 April 2012



UTUSAN : Bagaimanakah Datuk Seri melihat perkembangan Selangor di bawah pentadbiran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas?

NOH: Ini kerajaan cacamerba. Tidur sebantal, tetapi mimpi lain-lain. Kita lihat janji-janji mereka sewaktu kempen pilihan raya dulu, masih banyak belum dilaksanakan. Hari ini rakyat sudah nampak dan mula sedar penipuan yang dibuat ini. Saya rasa rakyat sudah mula kembali menyokong Barisan Nasional (BN).

Kalau kita tengok, bukan sahaja rakyat sudah mula sokong, malah wakil-wakil rakyat daripada PKR pun sudah ramai lari. Jadi ini menunjukkan pemimpin mereka sendiri pun tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku dalam PKR. Di Selangor dua orang sudah lompat, satu PKR lompat di Pelabuhan Klang dan kemudian baru-baru ini (wakil rakyat) Pas pula kena pecat.

Apa keistimewaan Selangor yang memerlukan ia ditawan semula oleh BN?

Selangor ini negeri maju dan yang menyebabkan ia maju adalah BN. Selama berpuluh tahun kita memerintah, Selangor adalah pusat pembangunan ekonomi Malaysia. Dengan itu kita kena tawan balik Selangor supaya negeri yang sudah maju ini tidak hancur dan jahanam.

Dulu waktu kita memerintah, kita berjaya mewujudkan sebuah keluarga harmoni dan bersatu padu. Kita juga berjaya memberikan kekayaan kepada keluarga ini, tetapi apabila dia (pembangkang) memerintah, perpaduan sudah tidak berapa mantap lagi, harmoni pun tidak ada dan hari ini kerja dia hanya menjual harta. Harta ini kalau lama jual, ia akan habis.

Cara dia membawa kekayaan kita tengok adalah dengan menjual harta. Dia juga tidak berjaya menjana ekonomi Selangor. Dari segi pendidikan dia tidak berjaya, Unisel (Universiti Selangor) pun rugi, asrama Yayasan Selangor pun dirobohkan.

Dasar-dasar yang dibuat kerajaan sebelum ini tidak dilaksanakan contoh dalam bidang pertanian. Dalam bidang ini, Selangor akan ketinggalan. Ini kuasa kerajaan negeri, tetapi kalau kerajaan negeri tidak mahu bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, maka rakyat akan rugi. Contohnya, baru-baru ini tanah Tapak Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Selangor ini ada 11 dan banyak lagi yang belum kita wartakan. Jadi kalau tanah tidak diwartakan memang hak kerajaan negeri sebab ini tanah dia dan dia ambil balik tanah ini dan itu yang berlaku di TKPM Kuala Selangor. Juga berlaku kepada penanam nanas, Cikgu Hamzah Pandi.

Kenapa kerajaan PKR bertindak menjual harta dan tanah? Sebab dia tidak berminat dalam bidang pertanian, dia lebih suka menjual tanah, supaya cepat untung. Dia buat pertanian pun gagal, contoh macam dekat kawasan nanas sebelah tanah Cikgu Hamzah. Cikgu Hamzah buat nanas 100 ekar berjaya dengan bimbingan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM). Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) pula tanam nanas 50 ekar, semuanya hilang. Tanam pisang 20 ekar habis, lepas itu dia ada rumah sembelihan pun sudah ditinggal macam itu sahaja. Ladang bela kambing dan lembu terbengkalai. Ini dulu semua kita buat, tetapi apabila tiada kesinambungan, maka rakyat akan rugi dan negeri pun rugi.

Adakah ini bermakna pakatan pembangkang tidak mampu mentadbir Selangor?

Nak urus sampah pun tidak reti dan tidak berapa jadi, macam mana. Urus pasir pun kelam kabut. Nak mengurus majlis pun saya dengar macam Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), dia punya kaunselor pun masih tidak boleh penuh kerana terlebih banyak politik.

Adakah penduduk sedar bahawa mereka ini telah ditipu oleh kerajaan PKR?

Saya tengok gelombang sokongan rakyat bertambah. Dulu mereka sokong PKR tetapi sekarang mereka sudah sedar dan kembali menyokong kita. Bukan sahaja rakyat, malah pemimpin mereka pun banyak yang sudah keluar.

Hari ini rakyat Selangor sudah mula sedar janji-janji manis yang dibuat pada pilihan raya hanyalah janji. Lebih-lebih lagi apabila dia tengok BN bila berjanji kita buat. Pembangkang ini dia cakap tidak serupa bikin.

Apakah janji BN bagi meyakinkan rakyat Selangor supaya mengundinya semula?

Kalau kita menang esok, kita sudah ada pengalaman memerintah. Kita juga dulu mungkin ada kelemahan, jadi apabila diberi peluang kali kedua, saya yakin kita boleh menjanjikan pemerintahan yang lebih baik daripada pengalaman kita dan kita belajar daripada kesilapan yang kita buat dahulu.

Apakah kesilapan kerajaan BN yang lepas?

Kadang-kadang kita terlupa untuk mendapat nasihat dan kadang-kadang kita terlepas pandang. Lepas itu ada projek terbengkalai yang kita tidak selesaikan segera termasuk masalah rakyat dekat luar bandar. Sebab itu, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan mesti turun padang selesaikan masalah. Ini salah satunya.

Dulu mungkin kita lalai dan ingat kita sahaja ada kuasa. Di kampung pun kita hanya ada satu ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). Sekarang kita ada dua termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), jadi sudah ada saingan untuk kita membantu rakyat.

Bagaimanakah jika pembangkang tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor secara serentak pada pilihan raya akan datang?

Itu hak dialah, tetapi bagi saya ada juga kebaikan kalau tidak dibubarkan. Esok kalau BN menang besar di seluruh negeri seperti 2004, pada masa itu kalau Selangor nak buat (pilihan raya) saya yakin rakyat sudah mula sedar, dia akan bagi sokongan kepada kita. Rakyat pun boleh fikir kenapa dia takut nak buat. Kelantan beberapa tahun bersama-sama kita, 20 tahun lebih, tak ada masalah pun, dia menang juga walaupun dia bubar sekali dengan kita. Jadi maknanya Selangor ini dia banyak politik.

Bagaimanakah caranya untuk menarik sokongan pengundi yang sebelum ini menyokong pembangkang?

Kita telah menggerakkan jentera parti. Pemuda dan Puteri juga kita telah letakkan. Ini bukan sahaja bergerak bersama UMNO, tetapi dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Ertinya bukan hanya di antara kita sahaja. Jadi masalah pengundi ini memang kita beri penekanan cukup penting.

Kalau ikut jentera, kita cukup banyak jentera. Ahli kita ramai dan jentera di peringkat bawah semua lebih baik daripada pembangkang. Sebab itu kalau kita tengok dalam kerja-kerja amal, bantuan rakyat di peringkat akar umbi, banjir dan sebagainya, kita lebih ramai. Kita lebih mampu membantu rakyat berbanding pembangkang yang saya tengok tidak ramai pun bilangan mereka.

Jadi rakyat akan boleh membuat penilaian parti mana yang mampu untuk menyelesaikan masalah mereka. Dalam erti kata kita melibatkan diri dan turun menyelesaikan masalah rakyat, tanya masalah rakyat. Kalau ini kita boleh buat, maka rakyat akan menilai bahawa BN bukan sahaja boleh membangunkan negeri tetapi juga boleh membantu rakyat.

Apakah reaksi terhadap kewujudan kuasa ketiga seperti Perkasa dan Jati?

Saya tengok kuasa ketiga ini, wadah perjuangan mereka tak lari daripada UMNO. Dalam perjuangan ini kita mesti ada matlamat dan matlamat mereka saya tengok pun tidak ada beza sangat dengan UMNO iaitu mempertahankan agama, bangsa, kedudukan raja-raja dan orang Melayu. Mereka ini NGO dan tidak akan bertanding pilihan raya melainkan dia ada parti, ataupun dia bertanding secara Bebas.

Berapakah bilangan calon muda yang akan bertanding pada pilihan raya akan datang?

Saya tidak menafikan pasti ada golongan muda. Mengenai berapa ramai, bagi saya ia bukan kuota sebaliknya mengikut keperluan dan tempat. Ada tempat kita boleh ketengahkan tokoh Pemuda dan ada tempat tertentu kita boleh ketengahkan tokoh Wanita. Ada juga tokoh muda tidak berfungsi yang mungkin tidak boleh disambung. Soalnya, penerimaan rakyat kepada dia. Tetapi sudah tentu kita nak ada pemimpin pelapis, kita memerlukan pemimpin pelapis.

Yang veteran ini bagus macam mana pun akhirnya akan pergi juga. Kita mesti ada pelapis kerana perjuangan yang berjaya mesti disambung oleh pelapis kita. Macam Selangor, kita berjaya tetapi apabila PKR memerintah tiada kesinambungan. Kita jangan mempersia-siakan apa yang kita perjuangkan selama ini.

Adakah BN Selangor telah menyerahkan senarai calon yang akan bertanding?

Saya tengok pertama kali Perdana Menteri meminta semua bahagian menghantar senarai nama calon. Sekarang dalam proses. Semua bahagian dia minta kalau Parlimen hantar tiga nama dan kalau DUN pun tiga nama. Jadi kalau dalam DUN itu, ramai orang boleh dicalonkan. Dapat atau tidak dapat itu terserah kepada pimpinan.

Selangor ada 1.8 juta pengundi dan 170,000 terdiri daripada pengundi baru. Apa komen?

Pengundi muda dan pengundi baru ini penting. Sebab itu kita tubuhkan Sekretariat Orang Muda yang kita bagi peluang kepada anak-anak muda untuk terlibat dalam program yang kita anjurkan. Sebab pendekatan orang muda ini lain sedikit, biarlah orang muda membela hal orang muda. Dalam masa sama, pemimpin veteran juga tidak boleh lari daripada bersama dengan pemuda. Kena buat macam Datuk Najib.

Kita tengok dengan budak-budak muda dia boleh bersama. Saya semalam pun main bola, satu jam main bola dengan budak-budak muda ini, untuk mendekati mereka.

Saya tengok respons bagus, walaupun kita main bola taklah hebat sangat. Dulu hebat, sekarang tidak hebat, tetapi dia orang seronok, kerana kita dapat main bersama-sama mereka. Duduk tepi padang bersorak dengan mereka, jangan ada jurang antara golongan muda dengan veteran.

Apakah komen Datuk Seri berhubung sikap pengundi Melayu, Cina dan India di Selangor sekarang?

Selangor ini kalau nak menang kita kena dapat sokongan semua bangsa. Sebab kawasan-kawasan pilihan raya ini saya tengok boleh dikatakan hampir sama banyak Melayu dan bukan Melayu. 49 peratus Melayu kalau tak silap saya dan 51 bukan Melayu. Daripada angka ini menunjukkan di Selangor ini kita nakkan semua kaum mengundi. Oleh itu, kita mesti mendekati dan menyelesaikan masalah semua kaum.

Saya yakin, insya-Allah Selangor menang. Sebab saya boleh terasa bahang, jentera kita dulu bila nak berjumpa dengan UMNO ini hendak dapat 200 hingga 300 orang pun susah. Tetapi sekarang apabila kita buat siri jelajah, sambutan anak muda luar biasa. Dulu susah sedikit, sekarang ini ramai. Macam baru-baru ini, Datuk Najib datang , satu kawasan Parlimen sahaja (Hulu Langat) boleh kumpulkan lebih 10,000 orang.

Dengan aura yang ada pada Datuk Najib, ke mana beliau pergi mendapat sambutan. Saya juga sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan, saya pergi ke tiap-tiap kawasan Parlimen, macam tadi saya pergi ke Kuala Selangor, malam ini saya pergi ke Hulu Langat, ada kawasan hampir 1,000 orang datang, macam Gombak.

Semua kawasan tak kurang daripada 700 orang. Itu jentera di peringkat cawangan, belum lagi masuk sampai jawatankuasa kecil, jadi mereka cukup bersemangat. Yang pakai baju biru, dulu saya tengok baju biru ini lepas Parlimen bubar baru nampak orang pakai. Bendera BN pun sama, lepas bubar baru nampak bendera BN. Sekarang kita sudah pakai lambang BN itu termasuk pada baju. Sambutan daripada parti komponen juga amat baik. 

Bolehkah dipertahankan semua kerusi yang dimenangi oleh UMNO?

Saya yakin. Dulu UMNO bertanding 35 kerusi, menang 18. Sekarang ini kalau bertanding 35, saya yakin insya-Allah jadi 30 kerusi. Dulu MCA bertanding 14 kerusi dan menang dua. Kali ini saya tengok MCA boleh menang lebih daripada dua kerusi, sekurang-kurang lima.

Sebelum ini, MIC bertanding tiga kerusi dan tidak menang. Sekarang ini kita tengok, MIC boleh menang satu atau dua kerusi.

Banyak pengundi di Selangor adalah dari negeri lain yang membawa fahaman politik berbeza-beza?

Saya tengok, rakyat kita di Malaysia dia boleh berubah-ubah. Majoriti ini, fahaman mereka bukan tidak boleh ditukar. Kalau dia sokong UMNO, dia juga boleh sokong Pas, dia tengok engagement kita. Kadang-kadang kita boleh menang banyak, 2004 kita boleh menang banyak. Pada 1999, pembangkang main isu, undi Melayu lari daripada BN, Terengganu pun kalah.

Pada 2004, tak ada isu, majoriti menang banyak. 2008 timbul lagi isu-isu tertentu, sudah lari lagi. Jadi saya tengok, politik ini adalah berdasarkan persepsi. Kita kena betulkan persepsi ini. Saya tengok penyokong tegar tak ramai yang kita kata kalau letak songkok pun dia akan pangkah.

Sekarang ini orang tengok calon macam mana, macam mana janji-janji kepada rakyat. Ini yang rakyat tengok. Penyokong tegar itu ada, tetapi tak berapa ramai. Kalau nak kira tegar, UMNO tak boleh kalah, sebab UMNO ahli dan jentera kita ramai.

Bolehkah dikatakan Pilihan Raya Umum Ke-13 adalah satu ujian kepada Datuk Seri sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor ?

Saya ambil ini sebagai satu cabaran dan ini Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi saya. Tanggungjawab saya, mesti nak pastikan BN menang. Jadi kerana itu saya dan rakan-rakan kita sudah berikrar bekerja keras bagi memastikan kita menang kerana ini menentukan maruah kita dan hidup matinya BN di Selangor.

Alhamdulillah saya mendapat sokongan cukup baik, perpaduan UMNO Selangor pun padu di bawah pimpinan Datuk Najib. Saya sendiri bila saya turun ke kawasan-kawasan saya tengok sambutannya memang luar biasa. Insya-Allah saya akan cuba tidak menghampakan harapan rakyat Selangor dan harapan Perdana Menteri untuk memastikan Selangor menang.

Sepertimana kata-kata Perdana Menteri ketika merasmikan jentera pilihanraya BN Selangor di Pelabuhan Klang tempohari, tidak ada ‘tempoh lanjutan’ kepada Pakatan Rakyat Selangor untuk memerintah lagi!


Sumber : Belantan

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP