Powered by Blogger.

"MB Tak Boleh Diharap" - Penduduk Ijok Berang Dengan Khalid Ibrahim.

Wednesday, 18 April 2012


IJOK 18 April - “Menteri Besar tak boleh harap”, demikian luah seorang penduduk Kampung Ijok ketika ditanya pendapat mengenai Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Ijok.

Haji Mohd Afandy bin Dahalan, 49 memberitahu sejak 2008, Khalid seolah-olah bersikap lepas tangan tentang kebajikan penduduk-penduduk Ijok. Menurutnya, Khalid selaku ADUN di kawasan tersebut menyerahkan segala tanggungjawab pentadbiran kepada wakil yang dilantiknya.

“Kita nampak MB memang tidak bertanggungjawab. Dia tak tahu apa-apa. Semua perkara diserahkan bulat-bulat kepada wakilnya,” kata Afandy. Masalah pula timbul bila wakil-wakil yang dilantik pun lepas tangan sekali. Jadi kita lihat MB memang tidak menjaga orang Ijok,” tambah beliau.

Menurutnya, sepanjang empat tahun menjadi wakil rakyat di Ijok langsung tiada sebarang pembangunan yang dibuat oleh Khalid yang boleh memberikan manfaat kepada penduduk-penduduk Ijok.

Tambah beliau, janji-janji yang dibuat ketika pilihanraya umum yang ke 12 lalu juga masih belum dilaksanakan oleh Khalid.

“Sudah empat tahun berlalu, tiada satu sumber ekonomi pun yang dibawa ke Ijok. Inikah pakar ekonomi? Janji nak berikan hak tanah pada masyarakat India, sampai hari ini masyarakat India di Ijok masih tak dapat menikmati apa yang dijanjikan itu,” katanya.

Menurut beliau, situasi ketika ini lebih teruk jika dibandingkan dengan sewaktu Barisan Nasional berkuasa di mana katanya ketika itu kebajikan rakyatnya terjaga.

Beliau turut membandingkan pentadbiran Khalid dengan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar di mana menurut Afandy walaupun hanya menjadi Menteri Besar selama dua tahun, tetapi banyak pembangunan yang dibawanya ke Kuala Selangor.

“Abu Hassan jadi MB hanya dua tahun, tapi pembangunan untuk Kuala Selangor naik. Ada stadium, perpustakaan dan banyak lagi. Tapi Khalid dalam tempoh empat tahun ni, langsung tiada pembangunan. Yang ada hanya rumah urut yang tumbuh macam cendawan di Kuala Selangor,” katanya.

alt

Seorang lagi penduduk Ijok, Zaini Korman, 61, Pesara, turut bersetuju dengan Afandy. Menurutnya, peruntukan untuk memperbaiki kerosakan pada kemudahan penduduk kampong juga sukar untuk diterima daripada pejabat Khalid.

“Selalunya bila orang kampong minta peruntukan, mesti tak dapat. Saya sendiri sebagai pengerusi surau, minta peruntukan untuk lampu jalan sampai sekarang tiada apa-apa tindakan daripada MB ataupun wakilnya.

“Jalan-jalan yang rosak, tidak dibetulkan. Kutipan sampah tidak teratur, tiada tindakan. Kebajikan kami penduduk di sini langsung tidak terjaga. Mujur wakil Barisan Nasional di sini banyak membantu. Tapi tak banyak yang dapat dibuat kerana yang ada kuasa di Selangor adalah Pakatan Rakyat,” kata Zaini.

Tambah beliau, sebagai Menteri Besar yang datang dari DUN Ijok, sepatutnya penduduk Ijok mendapat sedikit kelebihan dari segi kemudahan tetapi sebaliknya berlaku apabila mereka seolah-olah dianak-tirikan.

“Rugi orang kampung pilih Khalid,” tegas Zaini.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP