Powered by Blogger.

Sultan Selangor : Usah terpengaruh dakyah pemikiran bebas?

Thursday, 15 November 2012

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (depan tiga dari kiri) mengaminkan doa awal tahun yang dibaca imam masjid negeri sewaktu berkenan hadir di majlis ambang maal hijrah dan pelancaran sambutan maal hijrah 1434H peringkat negeri selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, malam tadi. 


Terlebih dahulu sukacita beta mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru 1434 Hijrah kepada seluruh umat Islam khususnya orang Melayu di negeri Selangor dan beta berharap kita dapat menyambut tahun baru Islam ini dengan penuh azam dan pemikiran yang bernas untuk membangunkan orang Melayu serta mengucapkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana telah mengurniakan kepada kita keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan.

Di kesempatan ini, beta berkenan untuk menyampaikan nasihat dan peringatan kepada umat Melayu berikutan isu berhubung kebebasan beragama yang telah ditimbulkan baru-baru ini.

Sebagai ketua agama Islam dan pelindung kepentingan serta hak-hak orang Melayu di Selangor, beta bertanggungjawab sepenuhnya pada setiap masa menentukan bahawa agama Islam yang suci dan kepentingan orang Melayu terpelihara dan dijaga dengan sempurna.

Sudah sampai masanya umat Islam khususnya orang Melayu di negeri ini, berwaspada dan menilai semula kedudukan mereka, supaya tidak terpengaruh dengan hasutan dan dakyah oleh pemikiran bebas, liberalisme atau pluralisme yang boleh merosakkan akidah seseorang dan seterusnya boleh menjadi syirik terhadap Allah SWT.

Pemimpin-pemimpin Melayu dahulu yang bijaksana telah menetapkan dengan jelas definisi orang Melayu sebagaimana dalam Perkara 160(2), Perlembagaan Persekutuan adalah :-

Pertama: Mereka hendaklah mengamalkan budaya Melayu, Kedua: Bertutur bahasa Melayu dan Ketiga: Beragama Islam

Jika salah satu daripada perkara di atas tidak diamalkan oleh seseorang, maka ia bukanlah lagi ditafsirkan atau dianggap sebagai orang Melayu.

Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa agama Islam adalah agama Persekutuan. Ini menjelaskan bahawa agama Islam lebih tinggi kedudukannya berbanding agama-agama lain. Perlembagaan juga menetapkan kedudukan dan hak-hak keistimewaan orang Melayu yang perlu dilindungi.

Sekiranya orang Melayu dengan sewenang-wenangnya menukarkan agama Islam yang maha suci ini (murtad), maka pepatah Melayu lama Tidak Melayu hilang di dunia" tidak boleh diguna pakai lagi kerana bangsa Melayu terhakis dan akan lenyap daripada muka bumi ini.

Beta tidak rela orang Melayu meninggalkan agama Islam yang maha suci ini, sebaliknya beta mahukan orang Melayu mempertahankan kesucian agama Islam ini dengan kekuatan dan kebijaksanaan seperti yang telah di lakukan oleh Nabi Muhammad SAW, para sahabat, para mujahid dan pemimpin-pemimpin Islam yang terdahulu.

Kebelakangan ini, beta dapati kesucian Islam telah dinodai apabila hukum hakam agama dan tafsiran al-Quran telah sewenang-wenangnya menjadi modal politik bagi meraih sokongan. Kekeliruan timbul apabila orang yang tidak berilmu atau orang tidak layak mentafsir ayat-ayat al-Quran atau perkara berkaitan hukum Allah melakukan tafsiran mengikut fahaman dan kehendak masing-masing yang tidak menepati makna yang sebenarnya. Ayat-ayat al-Quran bukanlah seperti sepotong sajak yang boleh ditafsirkan mengikut selera dan fahaman sendiri.

Di sini beta mengingatkan supaya jangan dicampuradukkan agama dengan politik kerana ia boleh mengeliru dan memecah belahkan masyarakat. Sebaliknya beta menyeru supaya orang-orang Melayu bersatu padu, membantu antara satu sama lain dan mengeratkan silaturahim sesama Islam serta mempertahankan agama Islam yang suci ini.

Akhir sekali sebagai orang Islam, yakinlah kemungkaran yang dilakukan oleh manusia akan dibalas oleh Allah SWT dengan balasan malapetaka yang dahsyat seperti yang berlaku di zaman silam.

Surah Al-Anfal, ayat 25, Allah berfirman yang maksudnya; “Dan peliharalah diri kamu daripada berlakunya dosa yang membawa bala bencana yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus tetapi akan menimpa kamu secara umum dan ketahuilah bahawa Allah maha berat azab siksaNya".

Marilah kita sama-sama berdoa semoga Selangor yang kita kasihi ini sentiasa diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT serta dijauhkan dari malapetaka. Beta juga berdoa semoga rakyat yang berbilang kaum di negeri ini dapat hidup bersatu padu, aman damai, dan negeri Selangor akan terus maju, makmur dan sejahtera.

Sumber

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP