Powered by Blogger.

Isu Selangor : JMB gagal laksana tanggungjawab?

Thursday 22 November 2012

Sebahagian penghuni Kondomimium Vanice Hill berkumpul bagi mendesak kerajaan negeri campur tangan berhubung masalah pengurusan JMB di Kajang, semalam.


Penghuni Kondominium Venice Hill di Batu 9, dekat sini mendesak kerajaan negeri agar campur tangan dalam menyelesaikan isu berkaitan pihak pengurusan kediaman mereka yang masih gagal diselesaikan sejak setahun lalu.

Ini berikutan barisan Jawatankuasa Badan Pengurusan Bersama (JMB) lama bukan sahaja gagal melaksanakan tanggungjawab menguruskan bangunan di situ, pada masa sama enggan melepaskan jawatan masing-masing.

Pengerusi JMB yang baharu dilantik, Low Kok Chin berkata, kegagalan jawatankuasa itu menyelenggara bangunan di situ dengan sempurna menyebabkan penghuni terpaksa menanggung derita.

Menurutnya, selain soal kebersihan, pihak berkenaan juga gagal memastikan keselamatan penghuni terjamin.

"Penghuni sangat kecewa dan marah dengan pengurusan sedia ada.

"Kami bukan sahaja berhadapan dengan masalah kecurian membabitkan orang luar, tetapi juga masalah sampah dan sebagainya,"katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang turut dihadiri kira-kira 100 penghuni di sini bagi mendesak kerajaan negeri menyelesaikan masalah yang menimpa mereka sejak sekian lama.

Tambahnya, mesyuarat agung tahunan (AGM) jawatankuasa itu yang diadakan pada 12 November tahun lalu menyaksikan terdapat penduduk mahu ahli JMB dilantik semula biarpun tiada dalam agenda mesyuarat.

"Pada 7 Disember, unit Pesuruhjaya Bangunan (COB) Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengadakan pertemuan dengan JMB sedia ada dan yang baharu dilantik agar mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) dalam tempoh empat bulan.

"Sepatutnya EGM diadakan sebelum 7 April lalu tetapi sehingga kini masih belum ada apa-apa perkembangan.

"Keadaan ini menyebabkan penghuni terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah termasuk berkaitan bekalan air,"tegasnya.

Sementara itu, seorang penduduk, Thor Eng Hock, 45, berkata, sudah tiba masanya kerajaan negeri campur tangan mengenai masalah itu kerana mereka tiada pilihan lain.

"Sekiranya JMB yang baharu dilantik tidak dibenarkan menjalankan tugas, kami mahu satu sesi pemilihan semula diadakan demi kebaikan kepada semua sesuai dengan amalan demokrasi yang dipraktik di negara ini," katanya.

Sumber 

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP