Isu Selangor : Tiga tahun hidu bau busuk?
Friday, 23 November 2012
Pusat pelupusan sampah yang dibuka berhampiran Kampung Sijangkang, Kuala Langat didakwa menyebabkan kehidupan seharian penduduk terganggu sejak tiga tahun lalu. |
Menghidu udara berbau busuk setiap hari bukanlah sebuah kehidupan yang diingini oleh penduduk Kampung Batu Lapan, Sijangkang di sini. Namun masalah itulah yang terpaksa dilalui oleh mereka sejak tiga tahun lalu.
Penduduk mendakwa masalah itu berpunca daripada tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab membuka pusat pelupusan sampah berdekatan kawasan perkampungan tersebut. Keadaan ini mengakibatkan mereka yang sudah 24 tahun menetap di situ terpaksa menghidu bau busuk sepanjang kerja memproses sampah dijalankan.
Bukan itu saja, penduduk juga terpaksa berhadapan masalah keselamatan di jalan raya apabila berpuluh lori keluar masuk ke pusat pelupusan melalui kawasan penempatan setiap hari.
Tinjauan ke lokasi terlibat mendapati dakwaan penduduk ada benarnya.
Selain bau busuk dan memualkan, keadaan pusat pelupusan sampah yang tidak diuruskan dengan baik itu turut mencemarkan pemandangan kepada sesiapa sahaja yang melalui perkampungan itu.
Seorang penduduk yang dikenali sebagai Lizah, 35, berkata, kehidupan mereka sekeluarga bagaikan tidak bererti sejak tiga tahun lalu kerana terpaksa menghidu bau busuk setiap hari.
Walaupun berada di dalam rumah dan menutup tingkap dan pintu rumah, bau busuk dari tempat pelupusan sampah itu tetap menusuk dalam hidung.
Bau busuk itu bertambah teruk pada sebelah petang kerana tiupan angin dari sungai atau ketika lori-lori sampah datang memunggah sisa buang dan sampah basah dari kilang," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Lizah, baru-baru ini penduduk dikejutkan dengan kehadiran jumlah lebah dan tebuan yang banyak berhampiran pusat pelupusan sampah itu. Kami bimbangkan keselamatan lebih-lebih lagi selepas kejadian anak saudara saya berusia dua tahun disengat lebah yang datang daripada guni sampah berisi manisan.
Saya berharap pihak bertanggungjawab dapat tampil membantu penduduk yang sememangnya berasa terbeban dengan masalah ini,"katanya.
Seorang lagi penduduk yang dikenali sebagai Ajis, 40-an, berkata, penduduk pernah mengemukakan aduan kepada pihak bertanggungjawab agar membantu mereka menyelesaikan masalah tersebut.
Pihak berkenaan ada membuat lawatan ke lokasi, namun apa yang dikesalkan tiada sebarang tindakan diambil. Sedangkan para penduduk di sini terdedah kepada risiko yang boleh menjejaskan kesihatan dan keselamatan," katanya.
Tambahnya, waktu operasi pusat pelupusan sampah yang tidak tetap itu turut menimbulkan gangguan bunyi terutama ketika pekerja syarikat terlibat menurunkan sampah.
Penduduk tidak menghalang sebarang kegiatan sekiranya ia dijalankan secara sah dan menetapi undang-undang termasuk memikirkan soal keselesaan dan keselamatan penduduk setempat,"katanya lagi.
Sumber
0 comments:
Post a Comment