Samada pilihanraya bersama atau tidak, BN yakin tidak mustahil genggam semula Selangor!
Monday, 24 September 2012
Dalam tempoh 1,650 hari dari tarikh Pilihan Raya Umum Ke-12, apa yang rakyat Selangor telah saksikan.
Apa hasil ekonomi baru Selangor? Dalam tempoh lebih empat tahun ini berapa banyak rumah mampu milik dibina? PKNS buat apa? Berapa banyak kawasan pertumbuhan baru dibuka? Jika semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN), Selangor ada Lembah Bernam, Lembah Beringin, apa yang Menteri Besar kerajaan PKR Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim buat?
Adakah setakat menggorek pasir dipelusok daerah sehingga meninggalkan tompok-tompok lubang dipermukaan bumi Selangor yang tidak ubah macam muka jerawat Saifuddin Nasution, membuatkan Khalid berasa bangga?
Tak habis-habis yang dipasang Abdul Khalid di seluruh pelosok negeri adalah poster-poster dan sepanduk yang tertera ucapan 'terima kasih, terima kasih dan terima kasih'. Terima kasih kepada siapa? Kepada diri sendirikah?
Apabila Abdul Khalid mengambil alih portfolio agama daripada Datuk Dr. Hasan Ali yang dipecat Pas, rakyat Selangor tertunggu-tunggu apakah polisi yang akan dilakukan Menteri Besar itu untuk memerangi gejala sosial di negeri itu. Macam mana bentuk tindakan. Namun, sehingga kini Exco Agama ini masih sepi. Sunyi.
Difahamkan, rakyat Selangor terutama orang Islam sudah nampak tembelang main politik Abdul Khalid ini di sebalik pemecatan Hasan. Itu belum masuk lagi isu Loji Air Langat 2, pungutan sampah, masalah UiTM (peralihan tapak asal UiTM di Serendah ke Melaka), kerugian Unisel dan banyak lagi kemelut yang terpaksa ditanggung rakyat Selangor dek sangat main politik di negeri itu.
Penulis dimaklumkan dari sumber yang boleh dipercayai, Hasan sendiri mendapat sokongan padu daripada para penyokongnya di 22 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor. Ada tujuh wakil rakyat daripada pembangkang dipercayai bersama Hasan. Tetapi kerana 'disumbat mulut', ahli Pas terpaksa berdiam diri.
Pemecatan Hasan pun akibat daripada kelantangan beliau menegur agenda pluralisme dan seksualiti bebas Anwar Ibrahim. Contoh terbaik sumbat mulut yang mana ahli Pas diarahkan untuk tutup mulut serapat mungkin daripada berbicara mengenai isu ini.
Apa yang berlaku di Selangor kala ini cukup memeningkan rakyat negeri itu. Sama seperti nasib yang menimpa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
Apabila Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali pada Sidang DUN Khamis lalu membongkar cerita yang tidak ketahuan sahihnya mengenai kos tinggi sampai mencecah RM300,000 digunakan Hasan untuk mengubah suai pejabatnya ketika menjawat jawatan Exco kerajaan negeri tempoh hari, ramai mempersoalkan motif Azmin.
Jujurkah dia? Mengapa benda ini timbul setelah pemecatan Hasan? Mengapa tidak ditegur dan dibangkitkan semasa Hasan dalam Pas dahulu?
Dalam soal Selangor, nampaknya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pun sudah lama terhidu pembohongan demi pembohongan yang ditimbulkan oleh Abdul Khalid dan juak-juaknya dari DAP dan Pas ini. Banyak janji untuk rakyat dari mulut Abdul Khalid masih menerawang untuk ditunaikan di Selangor malah beliau sanggup mengatakan bahawa manifesto bukan janji pilihanraya?
Kerana itu sudah dua kali Najib yang merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor meluahkan keyakinan beliau bahawa negeri itu akan kembali ke pangkuan BN pada PRU-13 nanti. Terbaru, nada sama di Hulu Langat tidak lama dahulu!
Secara umum, mood kemenangan untuk diraih BN itu sudah ada. Kerajaan BN betul-betul touch point pada rakyat. Najib tidak sekadar bercakap tetapi melakukannya dan menepati janji.
Penulis dimaklumkan usaha pakatan pembangkang untuk mempertahankan Selangor daripada jatuh ke tangan BN cukup keras dan penuh siap siaga. Maklumlah negeri kaya yang boleh dijadikan tempayan dana pilihan raya mereka.
Dalam soal 'hidup mati' ini, antara yang ketara tindakan pakatan pembangkang ialah membuat sebanyak mungkin bantahan terhadap pendaftaran baru pengundi dan pertukaran alamat pemohon ke Selangor. Inilah alasan yang tak masuk akal diberikan oleh Khalid semata-mata untuk mengadakan pilihanraya secara berasingan bagi DUN Negeri?
Ini lebih-lebih lagi ke kawasan 'kubu kuat' Parlimen atau DUN yang disyaki akan menggugat kedudukan pakatan. Pelbagai taktik dilakukan oleh ahli-ahli Pas, PKR dan DAP untuk menafikan hak individu yang dijamin perlembagaan ini dalam dua kategori permohonan berkenaan. Kalau tidak dibawa tok penghulu, dibawanya tuan rumah terbabit untuk menafikan hak pemohon bertukar alamat.
Penulis mengajukan pertanyaan kepada Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar tentang perkara ini. Lantas, beliau tidak menafikan bahawa ada parti yang sanggup mengeluarkan bajet semata-mata untuk menyuruh ahli dan para penyokongnya membuat bantahan terhadap si polan itu, si polan ini yang mendaftar di Selangor atau bertukar alamat.
Untuk satu bantahan, kosnya cuma RM10. Tetapi kesan dari bantahan ini, sekali pun melibatkan hanya seorang, bahananya terpalit ke seluruh pemohon dalam bahagian pilihan raya berkenaan.
Motif si pembantah cuma satu, dengan harapan orang kena bantah (OKB) tidak hadir siasatan awam, tergendala pendaftaran/pertukaran alamat sekali gus mengganggu pewartaan Daftar Pemilih Suku Ke-4 2011.
"Tapi untuk seluruh negeri Selangor, siasatan awam ke atas kesemua 421 bantahan ini sudah selesai melalui keputusan Pengarah SPR negeri yang dibuat baru-baru ini.
"Sebanyak 30 peratus daripada 421 bantahan ditolak manakala yang lain diterima. Kebanyakan bantahan melibatkan isu pertukaran alamat meskipun permohonan ini sebahagian besarnya tulen disebabkan pemohon berpindah rumah dan bertukar tempat kerja," kata beliau sambil menyebut kawasan Subang paling banyak melibatkan bantahan iaitu 90 bantahan, sementara yang lain membabitkan kawasan Gombak, Shah Alam dan Puchong.
Untuk siasatan awam berkaitan negeri lain difahamkan tidak banyak melainkan Kelantan yang hampir sama angkanya dengan Selangor. Siasatan awam di negeri-negeri lain dijangka selesai secepat mungkin.
Di Selangor ketika ini terdapat 1.8 juta pengundi. Ia termasuk 13 peratus atau 170,000 pengundi muda yang akan pertama kali menunaikan tanggungjawab mereka.
Kalau pun kerajaan PKR Selangor berkemungkinan mengambil keputusan enggan membubarkan DUN negeri serentak dengan pembubaran Parlimen di Pusat, ia tidak akan menjadi satu masalah.
Lebih teruk lagi imej pakatan pembangkang akan bertambah kusut masai lagi apabila isu pembaziran ditempelak nanti oleh seluruh rakyat Selangor.
Untuk pengendalian PRU-13 ini sahaja, SPR memerlukan bajet lebih RM200 juta. Jika Selangor tidak membubarkan DUNnya, bajet tambahan RM30 juta lagi diperlukan untuk pilihan raya negeri berasingan. Kelak, rancangan pembangunan negeri pun tergendala gara-gara asyik berkempen, berpolitik.
Sekolah-sekolah nanti pula akan masih digunakan untuk saluran mengundi, pembelajaran murid terganggu, guru pun pening kepala. Contohilah sahaja Kelantan, 22 tahun Pas memerintah, tak kalut pun soal mengadakan pilihan raya negeri berasingan dengan Pusat.
Yang ketara di mata rakyat Selangor kini adalah pakatan pembangkang yang kian kalut. Senjata utama 'sifu' Abdul Khalid, Anwar adalah menyumbat mulut yang mahu menutup segala kelemahan dan kepincangan negeri daripada terus menjadi pokok perbualan utama rakyat.
Dalam kes Raja Petra, Anwar sendiri pun tidak cukup berani berhadapan dengannya lalu menghubungi Wikileaks dan meminta supaya Raja Petra dikeluarkan dari forum yang akan dilakukan secara langsung bersama-sama dengan pengasas Wikileaks Julian Assange.
Selain sumbat mulut dalam kes Hasan, arahan dan ugutan tutup mulut terhadap Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Pusat, Hu Pang Chaw menyerlahkan sifat autokratik dan kuku besi dalam Pas. Arahan tutup mulut yang dipraktikkan pakatan pembangkang ini umpama 'demokrasi' yang merentap ahli dan penyokongnya daripada mengutarakan sebarang pendapat dan pandangan dalam media daripada didengari rakyat. Ia 'demokrasi' yang melarang surat khabar dan media rasmi lidah Melayu daripada menjadi bahan bacaan utama para penyokong.
Jika dalam 'tsunami' politik di Selangor pada 2008 pun UMNO masih berupaya meraih 18 daripada 35 kerusi ditandingi, maka tidaklah mustahil misi menggenggam kembali Selangor yang memiliki keseluruhan 56 kerusi DUN akan berjaya.
Ia asalkan 50 peratus atau 9 daripada baki 17 kerusi yang kalah ditandingi UMNO tempoh hari dimenangi (9 + 18 > 27 kerusi), MCA bertambah satu lagi kerusi dari 2 kerusi yang dimenangi (dari 14 ditandingi) manakala MIC menang tiga kerusi. Maka dua pertiga bakal beralih ke BN.
Selangor mampu digenggam kembali oleh BN dan ianya tidak mustahil! Asalkan semua parti komponen BN terus bersatu hati menerusi anjuran program turun padang bersama dalam menyelesaikan isu dan permasalahan rakyat. Ini termasuklah seperti yang ditunjukkan di Hulu Langat sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini terus berteka-teki berhubung tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) sebaliknya beliau pada peringkat ini lebih gemar membiarkan rakyat membuat sebarang spekulasi.
Terbaru, apabila beliau mengumumkan tarikh Perhimpunan Agung UMNO 2012 yang akan diadakan pada 27 November sehingga 1 Disember ini. Apapun kesatuan hati ini semakin ketara dari hari ke hari, bulan ke bulan menjelang PRU-13 dan kita boleh menjangkakan bila pembubaran Parlimen akan berlaku. Wallahuallam.
Sumber - Belantan
0 comments:
Post a Comment