Powered by Blogger.

Lagi pengguna air saman MB?

Sunday, 30 September 2012




Seramai 1,312 pengguna air Selangor memfailkan saman menuntut ganti rugi RM748,410 terhadap Menteri Besar, Tan Abdul Khalid Ibrahim atas kegagalan menerima subsidi air percuma di bawah Skim Air Percuma yang dilaksanakan Kerajaan Negeri.

Selain Abdul Khalid, plaintif, A John Dawson yang mewakili semua pengguna air menamakan kerajaan Selangor dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) sebagai defendan kedua dan ketiga.

Mereka memfailkan saman pemula itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, pada jam 10 pagi melalui Tetuan Kamarudin & Partners menerusi peguam Kamarudin Ahmad.

Kamarudin berkata, saman itu akan diserahkan kepada kesemua defendan dalam masa seminggu.

“Ini adalah kumpulan ketiga pengguna di Selangor mengambil tindakan perundangan berhubung isu air ini dan dijangka sekumpulan penduduk lagi akan membuat perkara sama,” katanya.

Menurutnya, saman difailkan oleh penduduk yang tinggal kawasan penduduk Kinrara Puchong, Bukit Mahkota Cheras dan penduduk Seksyen 18, Shah Alam.

“Pihak plaintif yang menghuni flat kos rendah kecewa dengan dasar diskriminasi diamal kerajaan Selangor.

“Kerajaan lebih mengutamakan golongan kelas menengah seperti mereka yang menghuni di rumah teras dan banglo,” katanya.

Beliau berkata, tuntutan itu membabitkan pengguna air meter pukal.

“Saman ini adalah usaha terakhir plaintif bagi mendapatkan keadilan dan pembelaan memandangkan kerajaan Selangor membuat keputusan untuk tidak melayan tuntutan hak skim air percuma daripada pengguna meter pukal domestik dalam Selangor,” katanya.


Dalam masa sama, Timbalan Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Ameer Firdaus Mohd Shreef berkata, penggunaan meter pukal tidak sepatutnya dijadikan sebagai alasan untuk tidak melaksanakan janji kepada rakyat di negeri ini.

“Lebih mengecewakan kerajaan Selangor dilihat lebih mengutamakan penduduk daripada golongan kelas menengah dan atasan, manakala golongan yang lebih memerlukan telah dinafikan hak mereka,” katanya.

Wakil penduduk Apartmen Lavender Vista, John Dawson berkata, terbukti kerajaan Selangor dan Khalid Ibrahim cuba menipu dan memperdayakan rakyat, khususnya rakyat Selangor dengan mengumpan memberikan air percuma.

Dalam penyata tuntutan, John Dawson mendakwa semasa kempen pilihan raya pada Mac 2008, rakyat Selangor dijanjikan mendapat air percuma bagi 20 meter padu pertama setiap bulan kepada pengguna domestik.

John Dawson mendakwa berdasarkan manifesto semasa kempen, setiap pengguna air domestik di Selangor yang mempunyai akaun dengan Syabas layak menerima subsidi RM11.40 sebulan tidak kira sama ada menggunakan meter individu atau meter pukal.

Mereka mendakwa selepas memenangi pilihan raya Kerajaan Negeri Selangor memulakan skim air percuma tersebut pada 1 Jun 2008.

Bagaimanapun, John Dawson mendakwa, mereka tidak menerima subsidi air percuma itu dan mendapati tiada sebarang potongan meter padu pertama ke atas bil air mereka yang dikeluarkan oleh Syabas.

Dia mendakwa, Abdul Khalid melalui kenyataan akhbar 30 Ogos lalu berkata, pengguna air yang masih memakai meter pukal tidak layak menikmati skim subsidi air percuma.

Sumber - Belantan

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP