Powered by Blogger.

Masih lagi dengan masalah sampah di Selangor - MPS pandang sebelah mata?

Monday, 17 September 2012


Begini lah keadaan hampir setiap longkang dipenuhi sampah yang terdapat di Taman Industri Bolton, Batu Caves.

Longgokan sampah yang bertaburan di sekitar Taman Industri Bolton di sini membuktikan satu perkara iaitu masalah penjagaan kebersihan kawasan belum diselesaikan oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Boleh dikatakan hampir di setiap lorong kedai di situ terdapat longgokan sampah pelbagai jenis sehingga menyakitkan mata yang memandang.

Timbul persoalan, apakah warga kerja MPS tidak pernah ke kawasan ini? Atau, mereka bersikap acuh tak acuh dengan pemandangan kotor itu?

Tinjauan hari ini mendapati, kawasan longkang dan sekitar tempat meletak kenderaan menjadi tong sampah tidak rasmi kawasan itu.

Orang ramai yang ditemui pula menyatakan kekesalan mereka apabila sampah tidak dikutip dengan sempurna dan tidak mengikut jadual. Akibatnya mereka terpaksa menghidu bau busuk apabila sampah tidak dibersihkan dan dibiarkan berkulat di atas jalan raya.

Seorang peniaga, Kho Peck Suan, 35, berkata, sebelum ini terdapat sebuah tong sampah diletakkan di Jalan TIB 1/1 berhadapan kedainya.

Namun menurutnya, tong sampah tersebut tidak lagi kelihatan sejak beberapa bulan lalu, malah dakwanya, tukang sapu juga tidak lagi melakukan tugas mereka di situ.

"Sebelum ini ada tong sampah diletakkan tetapi saya tidak tahu ia hilang ke mana sekarang?

"Jadi, orang ramai terpaksa membuang sampah di tempat yang sama dan ada juga yang tidak bertanggungjawab membuang ke dalam longkang," katanya.



Pada April lalu, akhbar ini pernah melaporkan rintihan peniaga-peniaga di situ yang menderita dengan sampah yang tidak terurus berhampiran Kompleks Muhibbah.

Mereka mendakwa masalah itu bermula apabila sebuah rumah sampah di Kompleks Muhibbah dirobohkan dan orang ramai tidak mempunyai tempat lain untuk membuang sampah mereka.

Sementara itu, seorang lagi peniaga yang hanya ingin dikenali sebagai Lawrence, 51, berkata, MPS pernah turun padang ke kawasan itu dua bulan lalu namun bukan untuk membersihkan longgokan sampah.

"Ketika itu mereka hanya menjalankan operasi menangkap tikus dan langsung tidak membersihkan sampah walaupun ia berada di depan mata.

"Pada pendapat saya, tikus tidak akan pupus di kawasan ini selagi longkang masih tersumbat dengan sampah dan yang bertaburan di sana-sini," katanya.

Ronnie Liu...Lu jangan jaga sama rumah urut saja, sampah pun mau tengok juga lo..!!!

Sumber - Oyabun

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP