MANIFESTO KERAJAAN NEGERI SATU SANDIWARA!
Wednesday, 12 September 2012
KENYATAAN AKHBAR MAJLIS BELIA SELANGOR
Pada tahun 2008 Pilihanraya Umum yang ke 12, pihak pembangkang telah mengeluarkan satu manifesto. Di dalamnya tertera “TAWARAN KAMI SEKIRANYA TERPILIH DI SELANGOR” , disertai “janji-janji” seperti; Urustadbir Berwibawa, Sosial dan Kebajikan, Kesihatan, Ekonomi dan Keselamatan kepada rakyat Selangor.
Ramai rakyat jelata khususnya golongan muda di Selangor apabila mengetahui isi kandungan manifesto ini, melihat seolah ada pembaharuan yang mereka inginkan bukan sahaja untuk diri mereka tetapi juga untuk keluarga, kerjaya dan ekonomi mereka. Tetapi pada hari ini kita semua telah tertipu oleh sandiwara politik, yang bertopengkan ketulusan dan amanah oleh pihak pembangkang. Pengarah sandiwara yang berpandukan skripsi manifesto ini telah membuat satu pembohongan kepada rakyat Selangor. Sahih dan nyata, Menteri Besar telah berkata manifesto itu bukan satu janji pilihanraya.
Ini bererti, manifesto yang dibuat hanyalah bersandarkan omong-omong kosong dan apa yang telah ditawarkan kepada rakyat Selangor sudah pasti tidak akan ditunaikan. Tidak ada mana-mana parti politik atau kerajaan di dalam dunia ini yang berfikiran waras membuat satu manifesto yang sudah pasti dikaji selidik dan dikategorikan terlebih dahulu, tetapi tidak akan melunaskan apa yang mereka tawar atau janji kepada masyarakat.
Golongan muda dan belia yang sebelum ini dijanjikan langit dan bumi terpaksa menelan air liur selama 4 tahun pemerintahan yang pincang oleh kerajaan negeri Selangor. Urustakbir yang lemah serta penyelewengan kuasa dapat kita lihat berlaku berleluasa di negeri Darul Ehsan ini. Janji yang mereka tawarkan tetapi tidak ditunaikan telah menjejaskan perkembangan sasiah orang-orang muda, penindasan ekonomi kepada generasi muda, sosio ekonomi yang tidak seimbang masih berlaku, kos perumahan yang terlalu mahal, masalah sampah yang tiada kesudaan, pelajaran percuma hanyalah khayalan sahaja, sifat keegoan kerajaan negeri berkenaan isu air di Langat 2 masih kabur dalam mencari penyelesaian, penyelewengan pasir masih berleluasa, campur tangan politik menjejaskan Unisel dan lain-lain lagi.
Kami orang muda Selangor ingin menyatakan kekhuatiran kami apabila sebuah kerajaan negeri yang dipilih oleh rakyat, berpandukan kepada manifesto atau janji yang tidak perlu ditunaikan, maka kami menyeru bukan sahaja kepada orang muda tetapi juga kepada warga Selangor supaya menolak kerajaan yang dayus serta bersifat munafik dan tidak mengotakan apa yang mereka telah janjikan dahulu. Pepatah ada mengatakan, “Siakap Senohong Gelama Ikan Duri, Bercakap Bohong Lama-lama Mencuri”.
Perlu juga kami ingatkan kepada semua manifesto ini juga ada menyatakan, “Sekiranya kami diberi amanah memerintah Malaysia”, berserta dengan tawaran mereka, maka kami mengajak belia dan orang muda Selangor berfikir sejenak, kerana apa yang mereka janji dan tawarkan itu hanyalah satu pembohongan semata-mata.
Terima Kasih.
Badrul Hisham Badrudin
Timbalan Presiden
Majlis Belia Selangor
Sumber - Belantan
0 comments:
Post a Comment