Powered by Blogger.

Haji Hadi Akan Ikut Cakap Karpal Singh- Noh Omar

Monday, 21 January 2013



Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar yakin Pas akan akur dengan desakan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mahu parti Islam itu tidak mengingkari kesepakatan yang dipersetujui.

Menurutnya, Pas mungkin akan akur walaupun dalam keadaan terpaksa untuk menurut kesepakatan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Pembangkang pada 8 Januari lalu yang membenarkan kalimah ALLAH digunakan untuk bukan Islam.

“Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden Pas akan ikut desakan itu kerana mahu pastikan Pas terus berada dalam pakatan pembangkang walaupun terpaksa membelakangkan prinsip perjuangan mereka.

“Saya lihat pemimpin Pas itu akan menurut desakan dan telunjuk Karpal walaupun sebelum ini keputusan Majlis Syura PAs jelas bertentangan dengan pendirian yang sudah disepakati.

“Hadi pastinya tidak berani menolak desakan itu kerana tanpa DAP, Pas tidak akan menang dalam Pilihan Raya Umum,” katanya ketika diminta mengulas isu Karpal Singh yang mendesak Pas kaji semula keputusan berhubung penggunaan kalimah ALLAH seperti yang disepakati bersama parti pembangkang lain.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Program Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan Parlimen Tanjong Karang di Dewan Sekolah Agama Menengah Tanjong Karang, semalam.

Dalam program itu, seramai 550 nelayan hadir menerima elaun RM200 dan membincangkan masalah berkaitan untuk tindakan lanjut Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Noh yang juga menterinya berkata, setakat ini banyak bantuan disalurkan kepada nelayan termasuk bantuan baik pulih rumah dengan nilai maksimum RM10,000.

Sumber dari sahabat Kita Gempur

0 comments:

Post a comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP