Powered by Blogger.

Dasar pakatan 'politik diutamakan rakyat dipinggirkan'?

Sunday, 20 January 2013



Tahniah diucapkan kepada kerajaan negeri Selangor pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan mempunyai penasihat ekonomi, Anwar Ibrahim yang juga ketua pembangkang.

Dalam rakyat Selangor kalut mengangkat air dengan baldi hingga ke tingkat lapan pihak pembangkang masih dengan agenda politik yang tidak sudah-sudah seolah-olah kuasa politik lebih penting daripada membantu rakyat Selangor yang terputus bekalan air.

Di Stadium Merdeka penyokong pembangkang berpuluh-puluh ribu berkumpul untuk mendengar kerajaan Barisan Nasional (BN) dan pemimpinnya 'dibelasah' hingga lembik dengan ucapan berapi-api, namun bak kata orang anjing menyalak bukit tak ada maknanya jika hati rakyat semakin sangsi dengan perjuangan pembangkang yang tidak berpijak di bumi yang nyata.



Kemelut antara kerajaan negeri dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang mana mereka mempunyai saham di dalamnya menjelaskan satu perkara kepada rakyat. Jika Syabas bermasalah ini bermakna kerajaan negeri turut mempunyai saham ada masalah yang sama.

Sepatutnya kerajaan negeri Selangor berterima kasih kepada Syabas kerana membenarkan mereka berhutang duit subsidi air (jika masih ada yang tertunggak) yang diberikan 20 meter padu kepada setiap rumah yang ada meter individu.

Kerajaan negeri Selangor sepatutnya membantu Syabas dan rakyat membuat migrasi dari meter pukal ke meter individu bukannya menyalahkan Syabas dalam soal ini. Jika bantuan sedemikian telah diberi tidaklah rakyat yang merasa diri mereka tertipu dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-12 menyaman kerajaan negeri Selangor, Menteri Besar dan Syabas sekali gus.

Rakyat Selangor tidak meminta banyak kepada kerajaan negeri, jika benar komited ingin menjadi kerajaan - berlaku adil lah kepada rakyat tanpa mengira parti dan kelompok tertentu.



Sepatutnya tempoh lima tahun diberi mandat soal kebajikan rakyat dan air, pungutan sampah dan jalan raya telah diselesaikan bukannya memberi pelbagai alasan dalaman yang tidak relevan dengan rakyat itu sendiri.

Isu air dan kemungkinan bekalannya tergganggu telah kedengaran hampir 20 tahun lalu. Ini disebabkan negeri seperti Selangor ibarat semut menghurung gula. Di mana rakyat Malaysia bertumpu di negeri ini untuk mencari sesuap nasi.

Soal air tidak boleh dikompromi kerana ia mencakupi semua aspek kehidupan dari kelahiran, pekerjaan hingga ke proses kematian. Walaupun ketiadaan air disebabkan masalah pam kenyataannya kerosakan pam disumbang oleh tekanan air yang amat rendah kerana kolam takungan air di Semenyih berada pada paras sederhana.

Justeru, pemimpin seperti peringkat exco dan Menteri Besar Selangor sendiri perlu sedar kepentingan mengatasi masalah air dengan pembinaan Langat 2 yang mampu menampung keperluan bagi jangkamasa panjang.



Ulasan intelek dan akademik telah diperdengarkan, dan ternyata Langat 2 adalah jawapan bagi menampung segala kekurangan air. Biarlah air berlebih dari tidak cukup kerana kurang hujan atau fenomena El-Nino yang entah bila akan muncul kembali.

Namun dalam rakyat mengeluh ketiadaan air di beberapa tempat di Cheras dan Ampang mereka diajak pula ke Stadium Merdeka untuk bangkit menentang Kerajaan BN seolah-olah kerajaan yang ada menindas rakyat tahap maksimum. Apa yang menyedihkan duit rakyat yang hadir dikerjakan oleh pemimpin pembangkang yang bersenang-lenang menaiki kenderaan canggih di darat dan di udara, untuk kononnya membayar sewa stadium.

Persoalan yang ingin dilontarkan dan perlu dijawab oleh pemimpin pembangkang siapa yang menindas siapa dalam soal air di Selangor. Syabas adalah sebuah syarikat umpama timun dan kerajaan negeri Selangor sebagai durian yang besar merupakan entiti yang ada suara dalam Syabas. Jika timun menggelek durian ibarat mereka mencari nahas.

Namun jika durian menggelek timun maka timun tak mampu berbuat apa-apa. Buktinya, disebabkan kerajaan negeri mempunyai kuasa, mereka tidak mengeluarkan Arahan Pembangunan (DO) pembinaan Langat 2 dan Syabas tidak mampu untuk mempengaruhi keputusan tersebut.

Secara kesimpulan Kerajaan Negeri Selangor lebih mengutamakan politik dari menyelesaikan masalah rakyat yang terhimpit akibat air tidak dapat meleleh keluar dari lubang paip.



Ini dibuktikan dengan perhimpunan di Stadium Merdeka yang hanya memfokuskan kepada agenda politik walaupun ada yang hadir dengan bau ketiak masam kerana tidak mandi asal mereka dapat menumbangkan kerajaan dengan budaya politik enau dalam belukar langsung tidak mempedulikan pihak lain asal ia dapat melepaskan pucuknya.

Masanya telah tiba untuk rakyat memilih semula kerajaan BN yang mengutamakan rakyat dan kebajikan mereka. Kepada Syabas, anda telah melakukan yang terbaik sebagai sebuah syarikat yang diberi amanah untuk membekalkan air.

Benarlah kata pepatah, orang yang sentiasa berada dalam kerugian adalah orang yang tidak menggunakan masa dengan bermanfaat demi agama, bangsa dan negara. Baru dengar guruh di langit air di tempayan menjadi korban dibuang ke tanah begitu sahaja. Lima tahun yang penuh demonstrasi dan hipokrasi.

Sumber

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP