Powered by Blogger.

Isu Selangor : Noh tunjuk bukti isu tanah Yayasan Selangor?

Monday 19 November 2012



Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar hari ini menunjukkan enam dokumen yang didakwanya bukti mengenai pengambilan tanah Yayasan Selangor di Klang oleh kerajaan negeri yang didakwa meragukan.

Menurut Noh, dokumen pertama ialah surat Exco kerajaan negeri, Elizabeth Wong kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang memohon agar sebahagian tanah milik Yayasan Selangor di Klang itu dijadikan Pusat Kebudayaan, bertarikh 21 Mac 2011.

Beliau berkata, di dalam surat yang sama Abdul Khalid dengan tulisan tangan meminta Pengurus Besar Yayasan Selangor, Ilham Marzuki supaya menguruskan permohonan Elizabeth kerana sudah dibincang di mesyuarat lembaga dan beliau telah meletakkan cop pejabatnya bertarikh 22 Mac 2011.

"Dokumen ini menunjukkan Abdul Khalid begitu 'sayangkan' Elizabeth kerana permohonan Exco wanita itu diproses hanya dalam masa sehari," kata beliau kepada pemberita di Bangunan UMNO Selangor di sini petang ini.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, satu lagi dokumen menunjukkan Ketua Setiausaha Sulit Menteri Besar telah menghantar surat kepada Ilham meminta beliau mengemukakan ulasan berkenaan cadangan memajukan tanah sebagai Pusat Kebudayaan sebelum 27 Mei 2012.


Kata beliau, satu lagi dokumen menyatakan mesyuarat Exco pada 18 Mei 2011 melalui minit bertarikh 4 Mei telah bersetuju supaya tanah atas nama Yayasan Selangor diserah balik dengan segera tanpa syarat.

Tambah beliau lagi, pihaknya juga mempunyai surat Yayasan Selangor bertarikh 14 Jun 2011, yang ditandatangani oleh Ilham, kepada Menteri Besar di mana Yayasan Selangor perlu menyerahkan semula tanah tersebut tanpa syarat kepada kerajaan negeri.

"Dokumen terakhir bertarikh 12 Julai 2011 daripada Yayasan Selangor kepada Pejabat Daerah Tanah Klang yang ditandatangani oleh Pemangku Pengurus Besarnya, Raja Amir Shah Raja Abdul Aziz.

"Surat itu memaklumkan secara dasarnya mereka tidak bersetuju dengan pembatalan hak milik tanah tersebut dan Yayasan Selangor akan membuat keputusan untuk memohon kelulusan dari Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Amanahnya," kata beliau

Sehubungan itu, Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani meminta Menteri Besar supaya menjelaskan mengenai dokumen-dokumen tersebut dan cara tanah tersebut diambil.

Menteri Besar juga, kata beliau, dicabar menafikan dakwaan telah membuat keputusan pengambilan tanah milik Yayasan Selangor di Klang lebih awal iaitu pada 4 Mei 2011 sebelum pihak yayasan memberikan laporan mengenai cadangan pembangunan tanah tersebut yang sepatutnya sebelum 27 Mei 2011.

Sumber

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP