Powered by Blogger.

Showing posts with label Belantan. Show all posts
Showing posts with label Belantan. Show all posts

Tanah di Selangor : Tindakan kerajaan PKR kenakan premium tinggi tak bertanggungjawab!

Saturday, 19 January 2013



Malah, bayaran RM1,000 yang dikenakan di bawah Skim Pemilikan Kediaman Persendirian (SPKP) sejak Jun lalu juga tidak menguntungkan rakyat apabila mereka tidak berhak sepenuhnya ke atas tanah berkenaan sekiranya keseluruhan premium tidak dibayar.

Sebelum ini, PKR telah menguar-uarkan membantu untuk mengurangkan beban rakyat dengan mengenakan premium tanah yang rendah namun, semua itu hanyalah janji palsu. Kadar premium tanah yang ditetapkan oleh kerajaan PKR itu meliputi seluruh Selangor. Dua pilihan diberikan sama ada, membayar premium mengikut formula yang ditetapkan oleh kerajaan PKR atau bayaran RM1,000 menerusi SPKP.

Bagaimanapun, di bawah skim berkenaan, pemilik tidak boleh membuat pinjaman menerusi bank selagi tidak menjelaskan premium tanah manakala pindah milik tanah hanya boleh ditukarkan kepada warisnya!

Sebelum ini, kerajaan PKR Selangor telah memperkenalkan SPKP yang mula dilaksanakan awal Jun lalu bertujuan memudahkan rakyat negeri itu memiliki kediaman dengan bayaran premium yang fleksibel. Bagaimanapun, kita mendapati rakyat perlu menjelaskan bayaran premium yang tinggi untuk memperbaharui tempoh pajakan tanah sebelum sah menjadi pemilik hartanah.

Ini berbeza dengan apa yang ditetapkan semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang jauh lebih rendah, PKR ternyata lebih mementingkan keuntungan.

Sebagai contoh, premium untuk tempoh pegangan selama 60 tahun yang ditetapkan kerajaan BN hanya RM2,500 bagi keluasan tanah 464 meter persegi berbanding RM75,000 yang ditetapkan kerajaan PKR. Bagi tempoh pegangan 99 tahun pula premium yang ditetapkan BN sebanyak RM12,500 manakala PKR menetapkan sebanyak RM123,750!

Pembohongan yang dilakukan kerajaan PKR perlu didedahkan agar semua rakyat tidak terpedaya dengan taktik kotor mereka. Mereka dilihat beria-ia menyediakan pilihan kedua kepada rakyat dengan mengenakan bayaran RM1,000 tetapi tidak pula menjelaskan syarat-syarat yang terkandung.

Justeru, ramai rakyat tidak tahu mereka sebenarnya diperdaya dengan taktik pemilikan tanah melalui bayaran SPKP namun, hakikatnya mereka tidak berhak ke atas tanah tersebut! Fikir-fikirkan lah. Wallahuallam.

Sumber

Read more...

Selangor Seleweng : Peruntukan Kerajaan Pusat Untuk Jalan Raya Digunakan Untuk Unisel?

Friday, 18 January 2013



Kerajaan negeri Selangor didakwa menyeleweng peruntukan penyenggaraan tahunan jalan raya yang diberikan oleh kerajaan persekutuan melalui geran Sistem Maklumat Rekod Jalan raya Malaysia (Marris) bagi memperbaiki dan meningkatkan kualiti jalan raya di negeri tersebut.

Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan berkata berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang dibentangkan sebelum ini, kerajaan Pakatan Rakyat hanya menggunakan 58 peratus daripada peruntukan tersebut dan selebihnya digunakan bagi pembangunan Universiti Selangor (Unisel).

"Kerajaan Selangor hanya pakai 58 peratus daripada peruntukan kerajaan pusat untuk kerja-kerja menyelenggara jalan. Mana pergi lagi 42 peratus yang harus diguna?

"Saya juga dapat maklumat, melalui laporan audit ini, RM5.1 juta peruntukan Marris dikeluarkan dan diguna untuk diberi pada satu syarikat di bawah anak syarikat Selangor untuk membiayai projek pembinaan Unisel," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Dalam sidang Dewan Rakyat Mac lalu, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengesahkan bahawa peruntukan Marris berjaya merealisasikan projek-projek penyelenggaraan dan baik pulih di setiap kawasan.

Khalid dipetik berkata, setakat ini sebanyak RM 65,939,561.82 disalurkan untuk perlaksanaan projek Marris yang melibatkan sebanyak 1,065 projek pada tahun 2011.



Khalid turut mendakwa, satu pasukan audit turut ditubuhkan bagi memantau kerja-kerja Marris yang dianggotai oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), Perbendaharaan Negeri Selangor (PNS) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

Kamalanathan yang juga Ketua Penerangan MIC turut mendakwa walaupun kerajaan negeri menggunakan wang Marris bagi membangunkan Unisel namun universiti tersebut terus mencatatkan kerugian.

Katanya lagi, berdasarkan laporan audit kerajaan Selangor mengalami kerugian berjumlah RM39.69 juta dalam tahun 2010, dan RM13.56 juta melalui Pendidikan Industri YS Sdn Bhd (PIYSB) iaitu syarikat yang menjalankan operasi Unisel.

"Walaupun wang Marris dikatakan diguna untuk membangunkan Unisel, namun Unisel tetap tidak membangun dan terus catat kerugian.

"Berdasarkan laporan audit Unisel mengalami kerugian. Pengurangan pelajar berdaftar berkurang dari 12,000 ke 10,000. Yang terkini ia menurun lagi," tambahnya.

Sumber

Read more...

Isu air Lembah Kelang : Aktiviti di surau turut terjejas!

Thursday, 17 January 2013



Penduduk Pangsapuri Lumayan di Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur sabar beratur menantikan giliran untuk mengambil air menggunakan tong air yang disumbangkan oleh Gerakan, semalam.

Ketiadaan bekalan air pili sejak 29 Disember lalu bukan sahaja menyebabkan aktiviti harian mereka yang terlibat terjejas, tetapi turut menyebabkan surau lengang kerana penduduk sibuk mengangkut air.

Di Pangsapuri Lumayan, Bandar Tun Razak, beberapa program yang telah disusun oleh ahli jawatankuasa surau di kediaman itu juga terpaksa dibatalkan akibat ketiadaan sumber asas itu.

Pengerusi surau pangsapuri itu, Azeman Abdul Razak berkata, sambutan Maulidur Rasul yang dijadualkan pada 26 Januari ini telah dibatalkan oleh pihaknya memandangkan jangkaan bekalan air masih terganggu sehingga sambutan Tahun Baharu Cina.

Kami tidak ada pilihan kerana air tiada untuk menjalankan aktiviti itu, malah kelas agama juga kami terpaksa tangguhkan buat seketika sehingga bekalan air kembali seperti biasa.

Lebih mengecewakan, solat hajat yang kami mahu laksanakan semalam juga terpaksa dibatalkan kerana orang ramai perlu mengangkut air setelah pulang daripada bekerja," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, kesengsaraan kira-kira 1,500 penduduk pangsapuri itu sedikit terubat apabila menerima 100 unit tong air berisipadu 10 liter yang disumbangkan oleh parti Gerakan.

Usaha yang mendapat kerjasama Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) itu bagi meringankan beban penduduk yang menghadapi gangguan bekalan air sejak dua minggu lalu.

Sementara itu, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri Lumayan, Azhari Miskah berkata, masalah tersebut mengganggu urusan seharian penduduk yang mendiami 600 unit kediaman di situ.

Sekiranya Syabas memaklumkan terlebih awal mengenai gangguan ini kami mungkin dapat mengatasinya kerana tangki air di pangsapuri ini mampu bertahan selama tiga minggu," katanya.

Azhari berkata, penduduk yang terlibat dengan masalah tersebut merayu pihak-pihak berkenaan segera menyelesaikan masalah tersebut kerana ia menyusahkan kehidupan mereka.

Dalam pada itu, Pengerusi Biro Aduan dan Khidmat Awam Parti Gerakan, Wilson Lau berkata, bantuan tersebut disalurkan setelah beliau melakukan lawatan di pangsapuri itu minggu lalu.

Penduduk meminta bekas air yang berpenutup kerana bimbang air akan tertumpah ke dalam lif sekiranya mereka menggunakan baldi ketika mengangkut air ke rumah masing-masing.

Mereka bimbang akan berlaku kerosakan lif yang pastinya akan lebih menyukarkan urusan mereka terutama ketika tempoh gangguan bekalan air ini," ujarnya.

Sumber

Read more...

Alahai MB Khalid - Apa sudah jadi dengan pakej rangsangan ekonomi Selangor!

Monday, 7 January 2013



Pada tahun 2009 kerajaan negeri dipercayai telah memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi Selangor sebanyak RM 50 Billion. Nampaknya hanya janji dan omong-omong kosong sahaja kerana sehingga hari ini pelaksanaannya masih kabur lagi.

Konsep pakej ransangan ekonomi ialah satu peruntukan segera dengan jangka pelaksanaan dua tiga tahun untuk membantu kepesatan pertumbuhan ekonomi negeri jangka pendek bukan memakan masa panjang 10 – 15 tahun.

Semasa melancarkan Karnival Sungai Klang pada 23 Mac 2009, YAB. Menteri Besar telah mengumumkan Projek Pemulihan Sungai Klang yang menelan belanja sebanyak RM 50 Bilion yang akan disiapkan dalam tempoh 15 tahun. Kalau apa yang dilaporkan oleh Akhbar The Straits Times pada 15 Mac 2010 adalah benar, maka matlamat pakej ekonomi RM 50 Billion tidak akan mencapai matlamat dan sasarannya.

Seperti yang dilaporkan, RM 2 Billion telah diperuntukkan iaitu untuk membersihkan Sungai Klang sebanyak RM 1 Billion dan untuk pembangunan sebanyak RM 1 Billion dalam tempoh pelaksanaan selama 2-3 tahun. Lihatlah keadaan Sungai Klang sekarang! Semakin teruk dimana sampah-sarap memenuhi permukaan sungai!

Dikatakan tiga syarikat telah dipilih daripada 37 syarikat yang telah membuat tawaran dan sebuah syarikat DPZ Asia dipilih, ‘was approved’ dengan izin, oleh Menteri Besar.


Dalam konteks Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor sebanyak RM 50 billion ini, Menteri Besar sepatutnya memberi jawapan dan penjelasan kepada ( 7 ) soalan berikut kerana rakyat negeri Selangor perlu tahu?

(1) Daripada sumber mana RM 50 Billion didapati.

(2) Bagaimana RM 50 Billion dibelanjakan dan sila beri butir-butir terperinci termasuk jadual pelaksanaan projek.

(3) Selain daripada projek-projek besar infrastruktur, berapa banyakkah diperuntukkan untuk projek-projek kecil dan sederhana yang boleh memberi manfaat kepada syarikat kecil dan sederhana di negeri Selangor.

(4) Sejauh manakah pakej ini dapat membantu pertumbuhan ekonomi negeri Selangor bagi tahun 2009, 2010 dan 2011.

(5) Jika apa yang dilaporkan dalam akhbar The Straits Times pada 15 Mac 2010 betul mengenai empat ( 4 ) syarikat yang akan menjalankan projek pemuliharaan Sungai Klang, mengapa syarikat DPZ Asia dipilih sendiri oleh YAB. Menteri Besar dan tidak melalui proses tender terbuka.

(6) Salah satu daripada tiga syarikat yang Berjaya ialah Wessex Water I-Bhd Consortium. Adakah I-Berhad syarikat yang sama dengan pembangunan I-City Shah Alam.

(7) Adakah kerajaan negeri bersetuju dengan cadangan Presiden, Transparency International Malaysia (TI-M)supaya kerajaan negeri menandatangani ‘Integrity Pacts’ dengan izin, atau ‘perjanjian integriti’ dengan empat syarikat yang telah dipilih untuk mengendalikan projek pemuliharaan Sungai Klang bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa, korupsi dan untuk meminimumkan kos – mempastikan integriti, ketelusan dan pertanggungjawaban.

Apa cerita MB Khalid! Boleh jawap ke?


Read more...

Isu Selangor : Pakatan Rakyat Tidak Takut Dosa Mungkir Janji!

Sunday, 30 December 2012



Pilihan raya tak ubah macam drama romantis yang kadangkala jalan ceritanya tak masuk akal. Senarionya seperti seoarang lelaki yang ingin memujuk wanita idaman menjadi pasangan hidupnya bersedia ‘menabur janji’ asalkan gadis impian setuju memilihnya.

Ungkapan seperti lautan api sanggup direnangi atau “tetap setia sepanjang hayat” begitu mudah diungkapkan selagi gadis idaman belum lagi berada dalam pangkuan. Apa lagi jika lelaki itu masih belum lagi menikmati asam garam kehidupan berumah tangga maka gadis itu akan dipujuk dan dirayu dengan pelbagai janji manis yang sesetengahnya “mungkin nampak romantik dan indah meskipun tidak realistik” sehinggalah gadis itu benar-benar yakin dan bersedia mengahwininya.

Dalam manifesto pilihan raya, “janji yang ditabur” parti politik juga memiliki elemen yang serupa. Parti yang belum pernah mendapat mandat memerintah negara pasti menyenaraikan pelbagai komitmen, impian dan ‘janji muluk’ kerana belum menyedari bebanan yang akan ditanggung bagi merealisasikannya.


Pemimpin parti pembangkang biasanya menetapkan sasaran belum berjaya dicapai kerajaan dalam manifestonya dengan harapan rakyat tidak lagi memilih kerajaan pemerintah dalam pilihan raya. Sebaliknya, memilihnya parti pembangkang itu sendiri untuk membentuk kerajaan baru. Sebagaimana parti-parti politik yang lain, barisan gabungan parti pembangkang di negara ini turut mengemukakan janji pilihan raya dalam manifestonya hampir sebulan sebelum pilihan raya umum negara.

Dalam intisari manifesto bersama barisan gabungan itu, beberapa janji dikemukakan yang dirumuskan kepada lima bidang iaitu ekonomi, pemerintahan, pendidikan, perkhidmatan sosial dan pekerjaan..

Rumusan prinsip utama manifesto itu mengukuhkan ekonomi negara, meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti kerajaan, mewujudkan kontrak sosial baru, memupuk perpaduan nasional, membina demokrasi tulen dan memulihkan imej dan kedudukan negara di pentas dunia. Sebenarnya tiada yang luar biasa mengenai prinsip utama itu. Mana-mana parti politik di dunia sekalipun sudah tentu tidak menjanjikan “perpecahan rakyat, menyembunyikan maklumat daripada rakyat, menghancurkan ekonomi negara, mewujudkan pemerintahan kuku besi dan merosakkan imej negara” dalam manifesto pilihan rayanya.


Malah pemimpin paling kejam di dunia seperti Hitler pernah berjanji kepada rakyat Jerman untuk menyatukan dan menjadikan bangsa Aryan sebagai bangsa agung di dunia meskipun mereka lebih terkenal sebagai pembunuh paling terbilang membabitkan kebinasaan. Begitu juga dengan pemerintah Jepun ketika perang dunia ke-2 yang berjanji mewujudkan Asia yang bersatu dan makmur meskipun akhirnya bangsa Asia “berjaya menjadikan ubi kayu cecah garam sebagai makanan ruji dan pembina profesional landasan kereta api maut diutara Asia Tenggara”.

Selalunya ketika tiada manusia mampu menjanjikan segalanya kerana tujuan utama untuk memiliki sesuatu. Tapi apabila memperolehinya janji akan hanya tinggal di celah gigi. Begitulah juga janji pembangkang dalam manifestonya, begitu indah, begitu asyik dan begitu lunak alunannya. Hakikatnya sejarah lalu membuktikan mulut yang manis sebelum pilihan raya akan bertukar pahit bak hempedu kerana pembangkang tidak pernah takut dengan dosa mungkir janji. Justeru itu mereka sesekali tidak akan terkejut jika rakyat tidak akan mengundi mereka kerana mereka tahu dosa yang telah mereka lakukan sebelum ini.
Wallahuallam.

TQ Belantan

Read more...

Sikap Membisu Menteri Besar Bongkak Menimbulkan Banyak Persoalan

Thursday, 27 December 2012



Tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim enggan mengesahkan pengumuman Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB), mengenai baki hutang Talam Corporation Bhd. (Talam), kurang RM121 juta daripada hutang asal RM236 juta menimbulkan banyak persoalan.

Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong berkata, Abdul Khalid sepatutnya memberikan penjelasan berhubung isu hutang itu termasuk menjawab sama ada siasatan lanjut mengenainya masih berjalan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, Abdul Khalid seperti cuba mengelak daripada menjawab persoalan berkenaan apabila meminta beliau membuat laporan mengenai perkara tersebut kepada Suruhanjaya Sekuriti.

"Berdasarkan pengumuman itu, siasatan lanjut diteruskan. Ini juga menunjukkan Menteri Besar Selangor tidak sedar apa yang beliau sedang lakukan.

"Sebab itu, beliau tidak mengatakan tiada masalah sedangkan kertas putih Kerajaan Negeri Selangor sudah keluar. Kenapa beliau tidak ada keyakinan untuk menyatakannya, apatah lagi ini bukan melibatkan RM1 atau RM2 juta tetapi RM121 juta," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Transformasi Kedai Runcit (Tukar) Pasar Mini Chop Sing Cheong di Taman Pasir Putih Selatan, di sini hari ini.

Semalam, Abdul Khalid enggan mengesahkan pengumuman KHSB berhubung hutang Talam masih berbaki RM115 juta sebaliknya meminta Tee Yong melaporkan mengenai pengurangan hutang Talam sebanyak RM121 juta itu kepada Suruhanjaya Sekuriti.

Beliau juga mendakwa Tee Yong mengeluarkan kenyataan tanpa kajian terperinci mengenai pendedahannya itu.

Mengulas lanjut Tee Yong berkata, soalan yang dibangkitkan adalah adakah hutang sebanyak RM121 juta itu telah dilupuskan semasa pengesahan hutang yang perlu dibayar oleh Talam selepas pengambilalihan syarikat itu oleh Kerajaan Negeri Selangor.

"Inilah persoalannya. Mungkin hanya Kerajaan Negeri Selangor atau KHSB tahu apa yang mereka sedang buat sekarang.

"Ini kerana selepas dua tahun, mereka masih perlukan siasatan lanjut walaupun ada kertas putih atau laporan KPMG Transaction & Restructuring Sdn. Bhd. (KPMG), yang mana mereka kata semua jawapan ada di dalamnya," katanya.

Sumber

Read more...

Isu Selangor : Bukti PKR menindas dan tidak bertindak adil?



Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor disifatkan sebagai sebuah kerajaan yang tidak berlaku adil kepada rakyatnya apabila meminta golongan ibu tunggal di negeri ini membuktikan mereka mengundi pakatan pembangkang dalam pilihan raya umum lalu sebagai syarat mendapatkan bantuan elaun yang dijanjikan sebanyak RM100.

Tindakan kerajaan negeri itu jelas menunjukkan sikap sebenar pakatan pembangkang yang tidak bertanggungjawab, selain menafikan hak rakyat Selangor untuk mendapatkan bantuan elaun tersebut yang sebelum ini dijanjikan kepada mereka pada pilihan raya umum lalu.

Sepatutnya sebagai pentadbir negeri, PKR, PAS dan DAP tidak sewajarnya membeza-bezakan rakyat dari segi latar belakang mahupun ideologi politik mereka. Begitu juga dengan isu tunggal, mereka juga adalah rakyat Selangor sendiri.

Sewajarnya kerajaan negeri memberikan bantuan elaun itu kerana telah pun dijanjikan pakatan pembangkang sebelum ini. Namun, melihat daripada tindakan kerajaan negeri dalam soal itu, jelas mereka tidak berlaku adil kepada rakyat Selangor!

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam yang meminta isu-isu ibu tunggal yang mengemukakan saman terhadap kerajaan negeri bagi menuntut janji pemberian elaun sebanyak RM100 supaya membuktikan di mahkamah bahawa mereka mengundi calon Pas, DAP dan PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-12.

Ini menunjukkan sikap pakatan pembangkang itu adalah bertentangan corak pentadbiran kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) yang memberikan bantuan kepada rakyat tidak mengira latar belakang mahupun ideologi politik mereka.

Dalam soal bantuan Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma) sebagai contoh, kerajaan pimpinan BN memberikan kepada semua pemandu teksi di negara ini tanpa mengira parti apa yang mereka sokong, begitu juga dengan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang mana semua orang berkeluarga dan bujang dapat.

Dalam soal pemberian subsidi minyak, gula dan sebagainya, kerajaan Pusat di bawah BN beri kepada semua rakyat termasuklah 'tauke' DAP sendiri yang mendapat nikmatnya. Kerajaan BN beri dan tidak pula bertanya yang mereka itu orang Pas atau UMNO, sebaliknya beri semua dan adil kepada semua rakyat!

Adakah kerana kerajaan PKR tidak mampu menunaikan manifesto pilihanraya maka ibu-ibu tunggal ditindas dan dikenakan pelbagai syarat bagi menuntut hak mereka! Adakah ini dinamakan kerajaan berkebajikan sepertimana yang dilaung-laungkan? Rakyat Selangor selepas ini perlu berfikir samada masih mahu mengekalkan kerajaan 'berkebajikan' yang sedia ada ataupun sebaliknya. Fikir-fikirkanlah.
Wallahuallam.

Sumber

Read more...

Isu banjir di Rawang - Exco 'Hutan Simpan Selangor' cuba nak mengelak lagi?



Kejadian banjir lumpur di Jalan Sepakat, Kampung Melayu Tambahan dekat Batu 16 sudah dijangkakan akan berlaku oleh penduduk memandangkan tanda-tandanya sudah kelihatan sebelum ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, pihaknya sudah mengawasi kawasan itu sejak lebih dua minggu lalu dan apa yang dirisaukan penduduk akhirnya telah pun berlaku.

"Sepanjang tempoh itu, kami sudah membuat tiga aduan bertulis kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS), namun tiada tindakan susulan termasuk pemantauan dilakukan.

"Malah, dalam tempoh yang sama sudah beberapa kali banjir lumpur berskala kecil berlaku (di kampung itu)," katanya ketika ditemui semasa melawat lokasi kejadian hari ini.

Penduduk terlibat dengan bencana itu mendakwa projek pembinaan jalan pintas dari Rawang ke Serendah yang bermula sejak tiga bulan lalu sebagai punca banjir berlaku kerana lumpur dari kawasan pembinaan telah menyebabkan sungai berdekatan rumah mereka menjadi semakin cetek.

Menurut Subahan, jurutera MPS juga pernah menyatakan kepadanya akan turun padang untuk menyelesaikan masalah tersebut dalam tempoh seminggu.

"Sekiranya projek ini tidak diberhentikan segera masalah yang menimpa penduduk ini tidak akan berakhir," katanya yang turut menyampaikan bantuan kecemasan kepada mangsa yang terlibat.

Tambahnya, beliau juga telah membawa masalah tersebut ke dalam Sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.

"Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Pelancongan, Elizabeth Wong berkata, projek itu diluluskan ketika Barisan Nasional (BN) memerintah.

"Tetapi, mereka kini sudah empat tahun mengambil alih kerajaan negeri dan sepatutnya menggunakan kuasa untuk memantau projek itu," katanya.

Sumber

Read more...

Minta bantuan asing - BN Selangor dedah bukti?

Tuesday, 25 December 2012



Parti Keadilan Rakyat (PKR) didakwa meminta bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) asing yang ada kaitan dengan Yahudi untuk memenangi pilihan raya di negara ini.

Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, bukti-bukti yang sebahagiannya diterima daripada sumber dalaman PKR itu menunjukkan parti tersebut menjalin kerjasama dengan Konrad Adeneur Foundation (KAF).

Beliau berkata, KAF merupakan sebuah pertubuhan yang membantu golongan neo-konservatif Yahudi melalui sebuah jawatankuasa yang dikenali American Jewish Committee (AJC) dan dipercayai menerima dana daripada National Endownment for Democracy (NED) yang juga didakwa turut mempunyai pertalian dengan Anwar.

''Bukti yang ada menunjukkan Penasihat parti tersebut, Anwar Ibrahim Anwar sememangnya menjalinkan kerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan luar, selain menerima dana serta latihan bagi membolehkan mereka menguasai negara ini,'' katanya pada sidang akhbar di sini.

Beliau berkata, dalam membantu PKR, KAF dikatakan menggerakkan operasi di negara ini melalui dua pendekatan yang dikenali sebagai 'dialog politik' termasuk ceramah dan 'pembangunan media' untuk merealisasikan agenda tersebut.


Selain itu, katanya, selain KAF, salah satu cabang di bawah NED iaitu National Democratic Institute for International Affairs (NDI) didakwa turut terlibat secara langsung membantu PKR dan Anwar dari segi dana dan buah fikiran untuk menguasai politik di negara ini.

''NDI didakwa turut menyediakan buku panduan yang menggariskan pendekatan dan kaedah untuk PKR memenangi pilihan raya.

''Kita ada bukti, dokumen serta surat-surat rasmi yang mengaitkan pembabitan Anwar mengenai perkara ini. Malah, buku panduan yang diterbitkan NDI itu turut diterjemah kepada beberapa bahasa iaitu bahasa Melayu, Tagalog, bahasa Indonesia dan Thailand.

''Apa tujuan NDI menghasilkan buku panduan itu yang seolah-olah menjadi 'kitab' kepada pakatan pembangkang khususnya PKR. Apa rasionalnya pihak asing memberi panduan kepada PKR untuk menguasai politik negara ini kalau tidak disusuli dengan agenda-agenda tertentu," katanya.

Dakwa Mohd. Zin lagi, berdasarkan buku panduan yang dikenali sebagai 'Buku Panduan Perancangan Kempen Politik' antaranya menyentuh mengenai pendekatan menyebarkan dakyah bahawa kononnya Malaysia tidak mempunyai kebebasan media dan beragama.

Buku panduan itu, dakwa beliau, turut menerbitkan prakata daripada individu yang dikenali sebagai 'Stephanie Lynn' yang merupakan Pengarah Program Kanan NDI dan bertanggungjawab menguruskan program-program agensi itu di Malaysia dan Myanmar.


Pada masa yang sama, Mohd. Zin turut menjelaskan gerakan Anwar dan agensi asing itu bermula selepas pilihan raya umum 2004.

''Ia kemudiannya berlanjutan bagi menghadapi pilihan raya umum 2008 dan berterusan menerusi gerak kerja untuk pilihan raya umum akan datang,'' katanya.

Pada masa yang sama, beliau mendakwa, kaedah yang dilancarkan oleh Anwar dan agensi asing itu turut melibatkan pendekatan 'kempen kebencian' bagi menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan BN termasuk menyentuh isu-isu sensitif.

''Contoh paling nyata ialah mereka secara halus menggunakan isu Hindraf bagi membangkitkan kemarahan rakyat. Begitu juga pada pilihan raya negeri Sarawak sebelum ini apabila pemimpin-pemimpin PKR tidak jemu menggunakan isu Kristian bagi mewujudkan perpecahan rakyat berbilang kaum.

''Anwar sendiri pernah mengucapkan mengenai 'Arab Spring' bagi memberi idea kepada rakyat bahawa 'Malaysia Spring' akan berlaku. Beliau menggunakan pengaruh golongan muda dan contoh-contoh kejatuhan rejim di negara-negara Asia Barat untuk menghasut rakyat membenci pemimpin mereka. Semua itu merupakan idea dan buah fikiran KAF dan NDI," tegasnya.

Kata beliau, kempen kebencian itu dilihat amat berbahaya dan berunsurkan subversif yang boleh menggugat keselamatan rakyat dan negara.

''Berdasarkan maklumat yang diterima, KAF juga turut menaja ejen-ejen yang terpilih dalam pakatan pembangkang untuk mengikuti latihan meliputi penyusunan propaganda; gerak kerja unit khas DUN (Dewan Undangan Negeri) dan pasukan Khas; Perisian SisMap (sistem pangkalan data) serta menggodam e-mel individu yang disasarkan terutamanya agensi kerajaan," katanya.

Sumber

Read more...

Isu Selangor : Khalid..Mana Janji Kau Pada Rakyat???

NorHabatin Mohd. Khan (kiri) dan ibunya, Fatimah Baharin (kanan) terpaksa berkongsi rumah bersama 10 yang lain di sebuah unit pangsapuri di Petaling Utama, Petaling Jaya, Selangor kerana sukar mendapatkan rumah mampu milik lain.


Sebuah keluarga terpaksa tinggal bersesak dalam sebuah unit pangsapuri di Petaling Utama di sini sejak lima tahun lalu kerana sukar mendapatkan rumah mampu milik.

Ini menyebabkan ruang tamu rumah mereka juga dijadikan tempat tidur, selain tempat makan mereka sekeluarga pada setiap hari.

Norhabatin Mohd. Khan, 40, yang tinggal bersama ibu, empat anaknya, tiga adik perempuan, dua adik ipar dan seorang anak saudaranya terpaksa berhimpit disebabkan masing-masing tidak mampu menyewa secara bersendirian.

Ibu tunggal itu berkata, harga rumah sekarang yang tidak mampu dimiliki golongan sepertinya turut menjadi faktor mengapa mereka berkongsi rumah beramai-ramai.

"Sudah lima tahun kami tinggal begini dengan membayar sewa bulanan RM500, yuran penyenggaraan RM55 dan bil elektrik dan air kira-kira RM50," katanya ketika ditemui sempena lawatan Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang) ke atas keluarganya baru-baru ini.

Bukan tidak mahu mendiami rumah yang lebih selesa, tetapi di mana mahu mencari duit untuk memiliki rumah kos rendah di sini, kata kerani di sebuah syarikat swasta di Petaling Jaya itu.

Bagaimanapun, ketika lawatan itu, kebanyakan ahli keluarga berkenaan keluar bekerja.

Sementara itu, Pengerusi Serang, Budiman Mohd. Zohdi yang mengetuai lawatan itu berkata, pihaknya masih menanti jawapan kerajaan negeri mengenai percanggahan maklumat yang dikeluarkan dalam sebuah akhbar tempatan dengan ucapan Exco terbabit Sidang DUN pada Mac lalu.

"Kami ingin bertanya di mana lokasi 6,470 rumah kos rendah yang kononnya dibina kerajaan negeri, malah kami juga mahu mengetahui apakah syarat-syarat permohonan yang ditetapkan dan berapa ramai anak muda Selangor berpeluang memiliki rumah itu," katanya.

Budiman turut mempersoalkan status Skim Perumahan Pasangan Muda yang dilancarkan pentadbiran terdahulu yang difahamkan sebidang tanah di Seksyen 24, Shah Alam sudah pun diperuntukan untuk tujuan itu.

"Hari ini, kami mengunjungi rumah seorang anak muda yang mengalami masalah untuk memiliki rumah kos rendah, malah terpaksa berkongsi dengan tiga pasangan lain," ujarnya.

Dalam pada itu, Serang turut mengedar 1,000 topeng kempen Mana Rumah Selangorku (Mask) kepada golongan muda di Pasar Malam Taman Sri Manja.

Sumber

Read more...

Isu Selangor - MB Khalid berkeras tetap tidak turun cukai pintu?

Monday, 24 December 2012

Penduduk kampung Baru Subang dan Kampung Baru Sungai Buloh mengadakan demonstrasi di hadapan Bangunan Majlis Bandaraya Shah Alam membantah kenaikan cukai pintu.


Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor tidak akan menurunkan cukai pintu di negeri ini termasuklah di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meskipun telah berjanji untuk melaksanakannya pada pilihan raya umum lalu. 

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri akan mengenakan cukai pintu berdasarkan kegunaan tanah yang mana kadarnya akan dinaikkan sekiranya tanah itu dibangunkan untuk tujuan tertentu seperti industri dan sebagainya.

"Kalau tanah itu tidak dibangunkan, maka cukai pintu yang dikenakan adalah rendah. Apabila tanah itu digunakan untuk bangunkan kilang dan sebagainya, maka cukai pintunya akan berubah (meningkat).

"Cukai pintu yang kita berikan itu adalah munasabah mengikut kegunaan tanah. Kalau tidak bayar cukai pintu, bagaimana kita mahu bangunkan Shah Alam," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Pada 15 Disember lalu, Pengerusi MCA Bahagian Subang, Lee Wei Kiat menyelar tindakan MBSA menaikkan cukai pintu sehingga 10 kali ganda ke atas penduduk Kampung Baru Subang dan Kampung Baru Sungai Buloh berkuatkuasa pada tahun depan.

Sambil menyifatkan kenaikan cukai pintu itu sebagai keterlaluan, Wei Kiat turut mendesak supaya MBSA dan kerajaan negeri di bawah pimpinan pakatan pembangkang menarik balik kenaikan cukai tersebut.


Pada 17 Disember lalu, Koordinator Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed pula menyatakan kenaikan tersebut bercanggah dengan manifesto pakatan pembangkang pada pilihan raya umum 2008 yang mahu menurunkan 20 peratus cukai pintu bagi kediaman dan 10 peratus peratus bagi premis peniagaan di Selangor.

Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid ketika mengulas mengenai kenaikan kadar cukai pintu yang dikenakan ke atas penduduk Kampung Baru Subang dan Kampung Baru Sungai Buloh berkata, pihaknya telah mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi memberikan penerangan mengenai kenaikan cukai tersebut.

Jawatankuasa khas tersebut katanya, akan dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaikan Kilang Haram negeri, Ean Yong Hian Wah dan dianggotai oleh Timbalan Datuk Bandar MBSA (Mohtar Hani) dan wakil-wakil daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Perbendaharaan Selangor.

"Jawatankuasa ini akan menerangkan dan memberikan pandangan mengenai isu kenaikan cukai pintu ini. Jawatankuasa ini akan adakan penerangan sebelum bulan Jun tahun depan kerana pembayaran cukai pintu mesti dijelaskan dalam bulan tersebut," ujarnya.

Sumber

Read more...

Karnival Sayangi Selangor perkasakan misi BN Selangor

Saturday, 22 December 2012



Barisan Nasional (BN) Selangor akan meneruskan pendekatanya untuk memperkasakan lagi misi merakyatkan BN Selangor menerusi Karnival Sayangi Selangor pada 29 Disember hingga 1 Januari 2013, di i - City, Shah Alam.

Koordinator BN Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamad berkata, program tersebut yang dianjurkan untuk kali kedua merupakan menifestasi BN Selangor bagi menyatakan kesediaan BN merampas kembali Selangor dari Pakatan.

"Karnival ini juga mendapat kerjasama daripada badan korporat dan swasta serta dijangka akan menarik sehingga 500,000 pengunjung sepanjang empat hari berlangsung.", katanya kepada media semalam.

Antara aktiviti menarik sepanjang berlangsungnya karnival itu ialah pameran dari pelbagai agensi kerajaan dan juga pameran kerjaya melibatkan badan korporat dan swasta.


Terdapat juga 86 gerai jualan terdiri dari produk-produk Industri Kecil dan Sederhana dari Selangor, jualan makanan dan juga buah-buahan tempatan oleh pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Bagi golongan lepasan sekolah, karnival ini turut menyediakan pameran pendidikan bagi para pelajar mendapatkan maklumat berkaitan.

Zin yang juga merupakan Setiausaha UMNO Selangor berkata, selain itu, terdapat juga persembahan kebudayaan, pertandingan memasak, pertandingan bintang kecil dan juga aktiviti untuk seisi keluarga di Taman Permainan Air i-City.



"Acara kemuncak ialah pada 31 Disember 2012. Pada sebelah malam pula turut diadakan persembahan konsert kebudayaan bersama artis-artis tempatan dan luar negara serta pertunjukan bunga api.

"Kehadiran seluruh rakyat Selangor untuk turut serta memeriahkan Karnival Sayangi Selangor ini amat dialu-alukan.

"Saya pasti ianya dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan disamping bersama-sama turut serta dalam aktiviti-aktiviti menarik yang telah dirancang", katanya.

Sementara itu, Zin yang juga Ahli Parlimen Sepang berkata jentera BN Selangor sudah bersedia untuk menempuh cabaran PRU-13 .

Sumber

Read more...

Isu Selangor : Jalan 225 rosak teruk, perlu tindakan MBPJ?

Monday, 17 December 2012


Jalan 225 di Petaling Jaya, Selangor mengalami kerosakan teruk sehingga boleh menjadi punca kemalangan, terutama dalam kalangan penunggang motosikal. - UTUSAN/Safrizal Azmi

Keadaan jalan yang berlubang dan rosak teruk di Jalan 225 di sini terus menghantui pengguna dan penduduk berhampiran.

Penduduk mendakwa keadaan jalan itu disebabkan oleh kenderaan berat yang sering menggunakannya untuk ke tapak pembinaan projek berhampiran.

Lebih mengecewakan mereka ialah sikap berdiam diri dan ketiadaan sebarang tindakan diambil pihak berkuasa tempatan menyebabkan keadaan jalan di situ semakin teruk dan membimbangkan.

Timbalan Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA Selangor, Kelvin Chong berkata, sebelum ini kerja-kerja penurapan jalan telah dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Mac lalu.

Namun selepas enam bulan jalan di situ kembali rosak dan menimbulkan persoalan sama ada turapan dibuat mengikut spesifikasi.

"Aduan telah dikemukakan kepada MBPJ, namun sehingga kini tidak ada sebarang tindakan diambil.

"Jika alasan ketiadaan peruntukan, MBPJ perlu tahu pemaju juga harus dipertanggungjawabkan dalam masalah ini," katanya kepada wartawan selepas melawat lokasi itu baru-baru ini.

Tambah Kelvin, sejak akhir-akhir ini banyak kemalangan terutama melibatkan penunggang motosikal berlaku di situ.

Katanya, seorang peguam sukarela telah menawarkan diri untuk membantu penunggang yang kemalangan akibat jalan rosak itu untuk menuntut pampasan.

"Mereka yang terlibat dengan kemalangan akibat jalan tersebut boleh menghubungi pejabat MCA Selangor di talian 03-7876 3535," katanya.

Sumber

Read more...

Isu Selangor : Ronnie Liu diselar gagal selesai isu banjir?

Tuesday, 11 December 2012



Bekas pemimpin DAP, Tan Tuan Tat menyelar sikap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu yang suka menyalahkan pihak lain berbanding mencari penyelesaian berhubung isu banjir di Lembah Klang.

Menurut bekas Pengerusi DAP Cawangan Sungai Pelek itu, Ronnie gagal menjalankan tugasnya kerana tidak berbuat apa-apa atau sekurang-kurangnya mengambil langkah proaktif mengurangkan kesan ekoran bencana alam itu.

Jelas beliau, kerajaan Selangor Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga gagal menunaikan janjinya menamatkan keperitan penduduk di Kota Alam Shah, Klang, Selangor akibat banjir sejak 2009.

"Saya mahu bertanya kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mana perginya wang peruntukan sebanyak RM3.5 juta untuk Jalan Tengku Kelana dan RM5 juta untuk Majlis Perbandaran Klang (MPK) bagi menyelesaikan masalah banjir itu.

"Inilah buktinya kerajaan cakap tidak serupa bikin dan Ronnie pula memberi pelbagai alasan termasuk tidak mendapat bantuan kewangan mencukupi daripada kerajaan Persekutuan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tan Tuan Tat (tengah) sewaktu mengadakan sidang akhbar berhubung isu banjir di Lembah Klang di Kuala Lumpur, semalam.

Ronnie dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor baru-baru ini memberitahu, masalah banjir yang berlaku di daerah itu berpunca daripada faktor permukaan bumi yang lebih rendah daripada paras laut serta sikap manusia yang suka membuang sampah.

Selain menyalahkan pemaju yang tidak mematuhi undang-undang dan peraturan, Ronnie turut menuduh kritikan berpanjangan terhadap isu tersebut bermotifkan politik.

Tuan Tat berkata, sebagai pihak berkuasa negeri, Ronnie sepatutnya boleh mengambil tindakan tegas ke atas pemaju yang gagal mematuhi peraturan di samping mengarahkan mereka membina tebatan banjir dalam setiap projek yang mahu dilaksanakan.

Sebaliknya, kata beliau, Ronnie lebih berminat menjalankan kerja-kerja melobi diri sendiri menjelang pemilihan parti tidak lama lagi berbanding menyelesaikan masalah rakyat.

"Pada 12 Julai lalu, penduduk tempatan telah menyerahkan memorandum bagi mendesak kerajaan negeri berbuat sesuatu, tetapi sampai hari ini mereka berdiam diri.

"Peruntukan RM1 juta juga disalurkan bagi tujuan pembinaan infrastruktur di Pandamaran, tetapi tidak banyak inisiatif dilaksanakan untuk mengatasi banjir di kawasan ini, sedangkan kos pembinaan sistem perparitan tidak melebihi RM400,000," katanya.

Sumber

Read more...

Isu sampah Selangor : Longgokan sampah di Pasar Bangi Lama ganggu aktiviti perniagaan?

Monday, 10 December 2012



Longgokan sampah yang tidak dikutip lebih dua minggu telah mencetuskan kebimbangan peniaga dan penjaja di Pasar Bangi Lama di sini.

Dakwa peniaga, selain mengundang kehadiran tikus dan lalat, serta mencemar pemandangan, longgokan sampah berkenaan turut mengganggu aktiviti perniagaan mereka.

Ketua Pusat Perkhidmatan dan Penyelaras Kawasan Parlimen Serdang, Datuk Yap Pian Hon berkata, pihaknya telah menerima aduan daripada peniaga berhubung masalah itu.

Menurutnya, longgokan sampah itu bukan sahaja menyakitkan pandangan tetapi menimbulkan rasa jijik dan bau busuk kepada peniaga dan pelanggan.


"Saya telah membawa perkara ini ke Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) agar tindakan dapat diambil dengan segera," katanya ketika melakukan tinjauan ke lokasi berkenaan di sini.

Beliau ditemani oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Bangi Lama, Yong Hok Chai dan Ketua Wanita MCA Bangi Lama, Low Mon Sin.

Yap turut mempersoalkan sikap tidak bertanggungjawab Ahli Parlimen Serdang dari DAP dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bangi terhadap masalah yang dihadapi peniaga di situ.

"Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan operasi perniagaan peniaga, tetapi juga boleh mengancam kesihatan penduduk berhampiran kerana dikhuatiri akan menyebabkan penyakit," katanya.

Sumber

Read more...

Kedangkalan Menteri Besar adalah punca kepada segala masalah yang berlaku di Selangor?

Saturday, 8 December 2012



Penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata masalah utama rakyat Selangor adalah terpaksa berhadapan dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang sering berdolak dalih untuk menyelamatkan diri.

Katanya, tindakan kerajaan negeri yang seolah-olah menipu rakyat dengan menawarkan jaminan kebajikan dalam manifesto pilihan raya umum tanpa mengambilkira kemampuan untuk melaksana akan mengakibatkan rakyat berubah arah.

"Dulu semasa berjanji tidak bagi tahu bahawa ada syarat-syarat kepada janji itu tetapi sekarang setelah berkuasa ada pula syarat-syaratnya.

"Tidak betul jika tindakan memberikan manifesto hanya sekadar untuk berjanji untuk buat tetapi kita tidak buat," katanya ketika dihubungi.

Khalid pada Rabu memberitahu bahawa bukan semua rakyat di Selangor layak untuk mendapat manfaat daripada manifesto yang diisytiharkan pakatan pembangkang sebelum berjaya menjadi kerajaan negeri.

Beliau berkata kerajaan negeri hanya bertanggungjawab menjaga kepentingan golongan yang kurang berkemampuan.

Sehubungan dengan itu Agus menggesa agar kerajaan Pakatan Rakyat menilai terlebih dahulu kemampuan kewangan negeri sebelum berjanji kepada pengundi di Selangor terutamanya.

"Lain kali dalam pilihan raya yang akan datang kalau tidak dapat buat sesuatu yang baru kepada rakyat jangan berjanji.

"Begitu juga dengan isu PTPTN, penurunan harga kereta, jadi mereka perlu fikir baik-baik sebelum berjanji," beliau menjelas.


Ketua Pembangkang negeri Selangor, Datuk Satim Diman sebelum ini mendakwa sumber kewangan yang tidak kukuh adalah faktor kerajaan PKR Selangor tidak mampu melaksanakan program-program rakyat sepertimana yang dijanjikan dalam manifestonya.

Beliau berkata Khalid mencari pelbagai alasan untuk mengenepikan hak rakyat Selangor yang dianggarkan berjumlah RM2.4 bilion. Pengakuan Khalid bukti pembangkang tidak ikhlas.

Dalam perkembangan sama, Ketua Penerangan Umno Selangor Abdul Shukor Idrus berkata pengakuan Khalid itu semalam membuktikan janji-janji yang dimuatkan dalam manifesto pembangkang bertujuan mengaburi mata pengundi untuk mendapatkan kuasa di negeri itu.

"Mereka sebenarnya mudah membuat janji, dan hari ini mereka tidak mampu untuk melaksanakannya pelbagai alasan yang diberikan untuk mengatakan janji-janji itu bersyarat.

"Dengan kenyataan MB itu, sudah terbukti kesemua janji yang telah dibuat oleh mereka tidak pasti samada boleh dilaksanakan hanya untuk menarik minat rakyat sebelum mendapatkan kuasa," kata beliau.

Abdul Shukor selain itu mendakwa pembangkang tidak berlaku ikhlas dengan memaklumkan syarat-syarat manifesto lebih awal.

"Kalau begitu mengapa sebelum ini semasa membentangkan manifesto mereka terus maklumkan apa syaratnya," katanya.

Justeru katanya, Buku Jingga yang ditawarkan kepada rakyat akan mengalami nasib yang sama.

"Ini bererti apa juga manifesto selepas ini termasuk Buku Jingga adalah untuk mengaburi mata rakyat semata-mata dan ianya belum pasti untuk diberikan kepada rakyat.

"Ianya telah pasti akan menjadi janji palsu jugak dan harapan kita janganlah rakyat terpedaya lagi dengan janji mereka yang sebegitu atau manifesto yang akan datang kerana sudah pasti tidak akan dilaksanakan," ujar beliau. - AntaraPos

Sumber

Read more...

Isu Selangor : Orang Asli Laguna Park lega kampung dibersihkan?

Wednesday, 5 December 2012

Teh Kim Poo (dua dari kanan) melihat keadaan pintu dan tingkap rumah salah seorang penduduk Perkampungan Orang Asli Laguna Park, Pulau Indah, Pelabuhan Klang pada program gotong-royong di situ baru-baru ini.


Sebanyak 45 keluarga Orang Asli di Perkampungan Orang Asli Laguna Park, Pulau Indah di sini melahirkan kelegaan apabila menerima kunjungan rombongan Barisan Nasional (BN) Parlimen Klang yang hadir bagi menjayakan program gotong-royong membersihkan kawasan kampung mereka di sini baru-baru ini.

Tok Batin Perkampungan Orang Asli Laguna Park, Intan Indik, 52, berkata, program tersebut memang diperlukan terutamanya bagi membantu menyelesaikan masalah longkang tersumbat, penyenggaraan landskap dan membina semula bahagian belakang dua buah rumah penduduk yang runtuh akibat tanah mendap.

Intan memberitahu, kampung tersebut sudah setahun tidak disenggara oleh pihak berwajib menyebabkan keadaannya kelihatan seperti kampung tinggal.

"Kekangan kewangan dan ketiadaan peralatan yang cukup menghalang kami daripada melakukan kerja-kerja pembersihan dengan sendiri.

"Kami amat terharu dengan keprihatinan sukarelawan yang bertungkus lumus membersihkan serta memberi nafas baru kepada kampung ini," katanya.

Antara kawasan yang dibersihkan adalah persekitaran kawasan kediaman, balai raya dan parit di kawasan perkampungan berkenaan. Program sehari itu disertai kira-kira 30 ahli BN Parlimen Klang serta 20 ahli Pergerakan Wanita UMNO Klang.

Program itu mendapat kerjasama kira-kira 60 anggota dan pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Laguna Park dan para pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran negeri.

Sementara itu, Penyelaras BN Parlimen Klang, Datuk Dr. Teh Kim Poo berkata, program gotong-royong itu adalah antara inisiatif pihaknya dalam usaha menjadikan perkampungan tersebut bersih dan indah khususnya bagi mendidik masyarakat setempat supaya sentiasa menjaga kebersihan.

"Aktiviti seperti ini dapat membantu dan mendidik penduduk supaya menjaga persekitaran mereka bagi mengelakkan pembiakan nyamuk Aedes," katanya.

Kim Poo berkata, pihaknya kesal dengan sikap lepas tangan Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang membiarkan kawasan tersebut terbiar tanpa melakukan penyenggaraan secara berterusan.

"Kawasan perkampungan Orang Asli ini seperti dianaktirikan oleh MPK kerana dibiarkan kotor dan tidak terjaga. Ahli majlis perbandaran juga tidak pernah menjenguk kawasan ini sedangkan banyak masalah yang patut diselesaikan untuk keselesaan penduduk kampung," katanya.

Sumber

Read more...

Isu banjir Selangor : Minta selesai masalah banjir di Kg. Sungai Kertas?

Friday, 30 November 2012

Mangsa banjir, Zul Akmal Ali melakukan kerja-kerja pembersihan di hadapan rumahnya daripada lumpur selepas kejadian banjir malam kelmarin, di Kampung Sungai Kertas, Selangor, semalam.

Mangsa banjir di Kampung Sungai Kertas, Gombak di sini meminta pihak berwajib segera mencari jalan penyelesaian masalah banjir lumpur yang melanda kawasan itu malam, semalam.

Seorang mangsa yang juga Ketua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kampung Sungai Kertas, Abdul Wahab Sulaiman berkata, kejadian banjir itu telah meninggalkan kesan kepada mereka sekeluarga kerana ia merupakan kejadian kedua terburuk dalam tempoh empat tahun.

"Banjir semalam telah menyebabkan semua peralatan elektrik kami rosak.

"Tanah lumpurnya bukan tanah biasa tetapi tanah liat," katanya ketika ditemui hari ini.

Katanya, kejadian tersebut berkemungkinan berlaku disebabkan paras air sungai di Empangan Batu meningkat dan tanah yang datang daripada projek perumahan berdekatan kediaman mereka.

"Tanah-tanah yang terdapat di kawasan projek itu mengalir bersama limpahan air sungai lalu mengakibatkan banjir lumpur,"katanya.

Bagi Siti Khadijah Sulaiman, 58, pula berkata, sebelum ini kampung mereka pernah beberapa kali dilanda banjir kilat.

"Apa yang mengejutkan kali ini banjir disertai lumpur dan ia amat menyulitkan kami untuk melakukan kerja-kerja pembersihan,"katanya.

Peniaga kedai runcit, Siti Khamimah Jamil, 50 pula memanjatkan rasa syukur kerana kejadian banjir semalam tidak banyak merosakkan barang-barang perniagaannya.

"Kami berharap kejadian banjir kilat bersama lumpur biarlah yang terakhir dan berharap pihak bertanggungjawab mencari jalan agar tidak berulang,"katanya.

Tinjauan di Kampung Sungai Kertas di sini mendapati penduduk sibuk membersihkan kediaman masing-masing daripada lumpur yang dibawa banjir semalam.

Semalam, hujan lebat pada lewat petang telah mengakibatkan banjir kilat berlaku di beberapa kampung berhampiran.

Antaranya, Kampung Nakhoda, Kampung Laksamana, Kampung Sungai Tua Gantian dan Kampung Ulu Yam Bharu.

Sumber

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP